addin

Hormat semua agama

Oleh Fadly Samsudin

Kebelakangan ini, terdapat banyak pihak menuntut kebebasan bersuara. Bagaimanapun, adakah kebebasan yang diberi serta turut diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan itu membolehkan semua pihak bersuara tanpa batasnya?

Hakikatnya, kebebasan bersuara atas asas menghormati maruah manusia itu gagal digunakan sebaiknya sehingga muncul individu atau kumpulan melakukan penghinaan ke atas agama atas ‘restu’ meraikan hak asasi.

Satu perkara yang amat menyedihkan berlaku apabila Islam yang menjadi agama rasmi di negara ini begitu teruk dihina dan dicaci.

Ia berdasarkan lebih 10,000 aduan diterima unit pemantau di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang ditubuhkan Mac lalu berkaitan penulisan menghina serta provokasi terutamanya di media sosial.

Jelas bahawa media sosial menjadi platform masyarakat tidak bertanggungjawab mengeluarkan tulisan sehingga berlaku kemarahan dan keadaan huru-hara rakyat di negara ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) antara pihak yang boleh mengambil tindakan terhadap ucapan atau tulisan pengguna terbabit.

Selain itu, Akta Hasutan dan Akta Jenayah Komputer dilihat boleh digunakan ke atas golongan yang sengaja menghina agama di negara ini.

Pensyarah Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, penghinaan terhadap Islam perlu dihentikan kerana masyarakat Islam di negara ini tidak pernah sekalipun menghalang penganut agama lain beribadat atau mengamalkan agama masing-masing.

Menurut beliau, sebagai contoh, ia dapat disaksikan apabila masyarakat Islam tidak pernah mempersoalkan pembinaan patung besar bagi tujuan ibadat agama lain seperti terdapat di Batu Caves, Selangor dan Bachok, Kelantan.

“Itulah hakikat sebenar yang berlaku. Malah, jika dikira rumah ibadat masyarakat bukan Islam dengan masjid dan surau, jumlah rumah ibadat agama lain lebih banyak iaitu hampir setengah juta.

“Sehubungan itu, jika hendak memahami agama, ia perlu bermula dengan kefahaman terhadap agama itu sendiri.

“Ayat yang mula-mula turun di dalam al-Quran adalah seruan untuk membaca (iqra’). Baru kita boleh faham agama. Maka, tidak akan timbul masalah hina agama sendiri atau menghina agama lain.

“Malah, Islam tidak diturunkan di kawasan orang Islam, tetapi ia bermula dengan seorang manusia yang Allah SWT lantik sebagai rasul iaitu Nabi Muhammad SAW,” katanya

Beliau berkata, Islam kemudiannya berkembang di kawasan dihuni penduduk bukan Islam.

“Sebab itu, mana mungkin fenomena menghina agama ini bermula dengan agama Islam. Jika Islam menghina agama lain, bagaimana ia boleh berkembang?

“Bagaimanapun, Islam itu dapat terus berkembang dengan hikmah. Kita bimbang, jika perkara yang berlaku sejak kebelakangan ini (penghinaan) sampai ke tahap kita tidak boleh terima.

“Menghina agama ini bukan hanya dari segi ucapan sahaja, malah mereka yang tidak beramal dengan agama juga dikira sebagai satu penghinaan.

“Contohnya, agama menyuruh menutup aurat (bertudung), ada individu bercakap sebaliknya dengan menyatakan tiada ayat al-Quran yang menyuruh memakai tudung.

“Malah, ada yang mempersendakan perintah menutup aurat itu dengan memberi alasan seperti suami tidak mengarahkan berbuat demikian, sudah putus haid dan menganggap baik dan buruk sesuatu amalan itu di bawah tanggungjawab sendiri (kubur masing-masing),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Wacana Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) bertema Fenomena Hina Agama Tanggungjawab Sivil dan Hak Tanggungjawab Bersuara di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Selain Dr Mohd Ridhuan, tiga lagi panel ialah Penasihat Kuil Sri Singhra Vadivel Jerantut, Pahang, N Balasundram, bekas Ahli Majlis Perbandaran Sepang, Kong Tuck Wah dan Prof Adjung Atma, Datuk Yazid Othman.

Wacana itu dipengerusikan Pengarah Atma, Prof Dr Supyan Hussin.

Menurutnya, amatlah dikesali apabila fenomena menghina agama itu turut datang daripada penganut agama itu sendiri.

“Berlaku juga dalam masyarakat kita hari ini, ada umat Islam melepaskan rasa tidak puas hati sehingga tergamak menghina Rasulullah SAW.

“Maka, sudah tiba masanya tindakan tegas diambil berdasarkan peruntukan yang ada di setiap negeri. Antaranya, akta berkaitan ajaran sesat,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Mohd Ridhuan berkata, tindakan masih tidak diambil terhadap golongan terbabit sehingga mereka semakin berani menonjolkan diri serta menyampaikan pandangan di khalayak ramai tanpa rasa segan silu.

Menurut Yazid yang juga bekas Presiden Konfederasi Wartawan Asean (CAJ) berkata, Rasulullah SAW dalam satu hadis menyatakan, sekiranya seseorang itu beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menghormati jirannya walaupun mereka bukan Islam.

“Sampai begitu sekali penghormatan dan cara Rasulullah berpesan kepada umat Islam supaya melayan masyarakat bukan Islam yang tinggal di dalam negara Islam.

“Malah, Rasulullah SAW turut memerintahkan umatnya supaya memelihara orang bukan Islam sepertimana mereka memelihara saudara seagama,” katanya.

Balasundram berkata, dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini, penerimaan itu merujuk kepada sikap pegangan yang tidak fanatik serta tidak mementingkan diri sendiri.

“Sebaliknya, kita diseru untuk bersikap terbuka, realistik, bertolak ansur, rasa muafakat, sabar, menghormati hak orang lain serta pendekatan untuk merapatkan seluruh rakyat,” katanya.

Penulis wartawan Harian Metro

Disiarkan pada: April 24, 2019 @ 8:55am
d