addin

Wajib bayar fidyah jika sakit

Oleh AL-FIQH

ADAKAH orang yang dalam keadaan uzur seperti sakit yang tidak membolehkan dia berpuasa dan tidak ada harapan untuk sembuh dibolehkan membayar fidyah sebagai ganti puasanya sedangkan dia masih lagi hidup?

Wajib ke atas orang seperti yang disebutkan itu mengeluarkan tiap-tiap hari yang dia tidak dapat berpuasa itu dengan satu mud (cupak) fidyah ketika hidupnya iaitu seperti orang tua yang terlalu uzur atau sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh.

Adakah diwajibkan qada dan fidyah ke atas orang yang berbuka puasa kerana hendak menolong orang lain yang dalam bahaya sama ada manusia atau haiwan.

Atau dia berbuka kerana bimbangkan kesihatan bayi dalam kandungannya atau wanita yang sedang menyusukan bayinya?

Adakah diwajibkan qada sahaja tanpa fidyah atau kedua-duanya dan mereka yang berbuka semata-mata kerana bimbangkan keselamatan diri sendiri?

Wajib ke atas orang itu qada serta membayar fidyah. Berlainan jika dia bimbangkan keselamatan dirinya seperti wanita mengandung, maka dia diwajibkan qada saja tanpa fidyah.

Begitu juga jika dia bimbang keselamatan dirinya dan keselamatan bayi dalam kandungannya, maka dia hanya diwajibkan qada sahaja tanpa fidyah.

Apakah hukum orang yang sengaja membatalkan puasa dengan melakukan persetubuhan sedangkan perbuatan itu berdosa dan tidak pula terdapat syubhat padanya?

Orang itu diwajibkan mengqada puasa dan diwajibkan ke atasnya kifarat dosa. Bagi wanita yang disetubuhi tidak diwajibkan kifarat dan mereka seharusnya ditakzir (didenda) kerana melakukan persetubuhan pada siang hari dalam bulan Ramadan.

Begitu juga tidak dikenakan kifarat ke atas orang yang membatalkan puasa qada Ramadan pada bulan lain daripada Ramadan dengan jimak atau membatalkan puasa Ramadan bukan dengan jimak.

Selain itu, orang yang melakukan jimak (qada bulan Ramadan) bagi mereka yang diharuskan berbuka seperti orang musafir atau mereka yang menyangka waktu masih malam padahal sudah terbit fajar, atau orang yang syak sama ada masih malam atau sudah siang, orang yang melakukan jimak selepas terbatal puasanya disebabkan sesuatu perkara, semua mereka itu tidak diwajibkan kifarat.

Berulang-ulang kifarat disebabkan berulang kali melakukan jimak pada hari-hari berlainan pada bulan Ramadan dan tidak akan menggugurkan kifaratnya disebabkan berlakunya musafir selepas jimak atau kedatangan sakit yang mengharuskan berbuka.

Sumber: Kitab Furu' Al-Masa'il Wa Usul Al-Wasa'il oleh Maulana Al-Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz

Disiarkan pada: May 18, 2019 @ 8:10am
d