addin

Tidak dipinggir

Oleh Fatimah Syarha Mohd Noordin

ISU wanita dan masjid bukan isu remeh-temeh. Apabila konsep difahami dengan jelas maka wanita Muslimah akan pulang mengimarahkan masjid dengan cinta dan yakin sebagaimana zaman Nabi SAW.

Nabi SAW sangat prihatin ke arah menjadikan masjid mesra wanita dan kanak-kanak.

Sehingga Anas bin Malik berkata, “Aku tidak pernah solat di belakang imam yang ringan dan sempurna solatnya melainkan Nabi SAW. Jika Baginda mendengar tangisan bayi, Baginda akan mempercepat kerana risaukan si ibu.”

Bukan itu sahaja, umum mengetahui bacaan al-Quran itu setiap hurufnya bernilai 10 pahala, apatah lagi membacanya dengan banyak.

Namun, Nabi SAW menegur dengan tegas imam yang memanjangkan solatnya lantaran bacaan yang lama.

Jelas, keutamaan menjadikan masjid mesra orang lemah, tua dan mempunyai urusan lain lebih utama.

Sejarah merakam keakraban wanita dengan masjid sehingga Dr Mohamad Akram Nadwi dalam bukunya Al-Muhaddithat: The Women Scholars in Islam mencatatkan mengenai ahli hadis wanita belajar di masjid dan madrasah.

Bukan sekadar belajar, mereka mengajar hadis, fekah dan undang-undang di dalam masjid. Anak murid mereka termasuk pelajar lelaki dan khalifah.

Bagi menjejaki keilmuan wanita hebat itu, kita boleh merujuk buku Prof Dr Jasser Audah, seorang pakar Maqasid Syariah bertajuk Wanita dan Masjid, Perbincangan Dari Konteks Maqasid Syariah.

Beliau menegaskan, tiada dalil khusus melarang wanita menjalankan tugas menyampaikan ilmu kepada lelaki dan perempuan di dalam masjid.

Berkenaan buku beliau itu, Pengerusi Akademi Intelektual Muda (AIMS) Jufitri Joha menulis, “Dr Jasser membantu kita memahami al-Quran, hadis dan pandangan ulama melalui perspektif objektif tertinggi syariah mengenai pembabitan dan peranan wanita Islam bukan saja wajar digalakkan hadir ke masjid, bahkan terbabit secara aktif dalam pengurusan tertinggi masjid selama mana menjaga adab, akhlak dan menjauhi fitnah.”

Setiap kali lawatan Dr Jasser ke Malaysia, beliau memuji keadaan wanita di Malaysia jauh lebih baik dari negara lain khususnya wanita di rantau Arab dan India.

Menurut beliau, tiada ruang diperuntukkan bagi wanita di masjid di kebanyakan tanah Arab dan India.

Ada yang langsung tidak menyediakan kemudahan bagi mereka atau hanya ruangan yang sempit, tidak selesa dan jauh.

Beliau berkata, situasi ummah hari ini tidak akan mampu diperbaiki sehinggalah dikembalikan fungsinya sebagai nukleus atau titik persamaan, institusi pendidikan dan pusat pengajian.

Manakala hak sesebuah masjid tidak akan tertunai sehinggalah ia dipenuhi semula oleh wanita.

Pengimarahan masjid umpama yang terzahir pada zaman Rasulullah SAW adalah natijah yang dicari.

Bertitik tolak daripada unsur itulah pembinaan kemajuan Islam dapat direalisasi. Antara permasalahan yang menyekat wanita ke masjid adalah kefahaman mereka sendiri menganggap solat di rumah lebih baik dalam semua keadaan, lalu meninggalkan masjid.

Lebih-lebih lagi, apabila mereka tidak dibenarkan ke masjid oleh wali atau masyarakat mereka.

Dr Jasser Audah lagi, wanita Muslimah diketepikan peranan dan kedudukan mereka dalam kehidupan semasa tatkala mereka diketepikan oleh masjid.

Itu bermula dengan peratusan amat tinggi dalam kalangan wanita yang langsung tidak pernah ke masjid.

Ada yang tidak pernah solat serta tidak juga berperanan dalam aktiviti harian masjid seperti aktiviti keilmuan, kebajikan, dakwah dan kemasyarakatan.

Kaedah menyebut, hukum sesuatu adalah cabang dari gambaran keseluruhannya. Namun, ada pihak memahami isu umat Islam masa kini dengan kesimpulan lelaki perlu kembali ke masjid dan menghalang wanita habis-habisan menuju masjid dengan alasan membantu menghindari fitnah dunia.

Pernah berlaku, stesen televisyen yang ditonton sebahagian besar penduduk Britain (BBC) dan di Amerika (ABC) mengeluarkan klip perempuan dihalang masuk masjid dan dilayan dengan kasar ketika cuba memasuki masjid.

Ia memberi perspektif buruk tentang Islam. Padahal, ajaran begitu bukanlah dari Islam.

Dalam al-Quran, terdapat dalil umum ditujukan kepada lelaki dan wanita untuk mengimarahkan masjid.

Antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud: “Hanyasanya (hanya dia dan tiada yang lain) yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Taubah, ayat 18)

Dalam Surah al-A’raf, ayat 31 pula menjelaskan: “Wahai anak Adam (lelaki dan perempuan)! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”

Perkataan ‘rijal’ di dalam al-Quran itu tidak meminggirkan wanita, cuma ia menggunakan seni berbahasa yang unik apabila meletakkan lawan bicaranya adalah lelaki.

Mesejnya adalah untuk lelaki dan wanita. ‘Rijal’ juga secara umumnya bermaksud tokoh atau insan hebat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Di dalam masjid itu ada orang lelaki (rijal) yang suka membersihkan dirinya dan Allah mengasihi orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).” (Surah al-Taubah, ayat 108)

Mufti Wilayah Persekutuan menghimpunkan pelbagai pendapat berbeza. Berikut adalah pilihan pendapat berkenaan:

“Kami berpandangan bahawa sunat dan digalakkan bagi seseorang wanita atau isteri itu menunaikan solat di masjid atau surau.

Namun begitu, perlu diingatkan terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi oleh wanita atau isteri itu.

Antaranya, mendapat keizinan suami. Menurut Imam Nawawi, sunat bagi suami mengizinkan isterinya untuk hadir berjemaah di masjid.

Selain itu, menjaga aurat, tidak berhias-hias (tabarruj) dan memelihara pandangan, tidak memakai wangi-wangian, tiada percampuran lelaki dan perempuan serta segera pulang ke rumah setelah selesai solat.

Disiarkan pada: May 18, 2019 @ 8:20am
d