addin

Usah sia-siakan nikmat di bumi Allah

Oleh Dr Azlan Shaiful Baharum 

APABILA diimbas kembali kenangan ketika berada di Hebron, Palestin beberapa tahun lalu, penulis dapat saksikan golongan yang serba daif dan anak kecil berebut-rebut makanan yang dibawa walaupun sekadar gula-gula dan manisan.

Perkara itu sangat menginsafkan buat kita yang tinggal di bumi Malaysia yang bertuah ini. Kita bukan sekadar dapat menikmati keamanan dan kebebasan berpanjangan, malah dapat menjalani ibadat puasa dengan selesa dan selamat.

Walaupun berpuasa sepanjang siang hari, kita masih menikmati kelazatan makanan pada waktu iftar (berbuka puasa). Umat Islam di Malaysia sangat beruntung kerana masih diizinkan menikmati kehidupan aman dan selesa, dilimpahi pelbagai rezeki dan dapat bersama keluarga tercinta, sahabat handai serta jiran tetangga.

Kita masih dapat menunaikan kewajipan sebagai Muslim dengan sempurna terutamanya ibadat puasa yang sedang kita jalani sekarang ini.

Suasana itu perlu disyukuri sepanjang masa. Bagaimanapun, salah satu perkara yang sering dikaitkan dengan amalan berpuasa di tempat kita ialah limpahan makanan sehingga berlakunya pembaziran.

Disebabkan tidak sempat menyediakan sendiri, ada yang membeli juadah berbuka secara berlebih-lebihan di bazar Ramadan. Membeli juadah berbuka puasa itu tidak salah kerana kita turut membantu ekonomi sesama Muslim.

Mereka berniaga mencari rezeki dan kita memang digalakkan menyokong perniagaan mereka. Apa yang menjadi masalah adalah segelintir kita membeli juadah mengikut hawa nafsu dan selera kelaparan kita.

Ibnu Mas’ud menjelaskan, pembaziran adalah perbuatan mengeluarkan atau menggunakan harta pada jalan yang tidak betul iaitu tidak pada jalan yang diperintahkan oleh Allah serta tidak berlandaskan tuntutan sunah Rasulullah SAW.

Ibnu Kathir pula mentakrifkan pembaziran sebagai perbuatan mensia-siakan nikmat Allah kepada perkara maksiat yang melanggar perintah Allah.

Islam amat melarang umatnya melakukan pembaziran sehingga Al-
lah menyifatkan orang yang suka membazir itu sebagai saudara syaitan.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang melakukan pembaziran ialah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’, ayat 27)

Statisitik yang dikeluarkan SWCorp bagi 2015 menunjukkan sepanjang 30 hari Ramadan, sebanyak 270,000 sisa makanan terbuang ataupun kira-kira 9,000 tan sehari.

Makanan itu sebenarnya boleh diagihkan kepada 180 juta orang iaitu enam kali ganda jumlah penduduk Malaysia yang kini berjumlah 32 juta orang.

Selain itu, dalam laporan akhbar pada 2017, empat kategori makanan sering dibuang terdiri daripada sayur-sayuran, makanan dalam tin yang tamat tarikh luput, sisa makanan yang dihasilkan oleh pengguna dan peniaga serta pembungkusan (plastik) yang digunakan bagi membungkus makanan.

Pada bulan yang mulia ini, ramai yang bermurah hati memberi makanan kepada orang lain. Memberi makanan untuk orang berbuka puasa amat baik sepertimana yang disebutkan dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa (iftar), maka baginya (pemberi) pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikit pun pahala orang yang berpuasa tersebut.” (Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah)

Namun, tahukah kita bahawa amalan baik itu kadangkala tidak mencapai matlamatnya apabila berlaku banyak pembaziran makanan?

Ia terjadi apabila terlalu banyak makanan yang disediakan sehingga tidak dapat diagihkan kepada mereka yang memerlukan seperti golongan tidak mampu atau gelandangan.

Selain itu, ada juga dalam kalangan peniaga bazar Ramadan menjual makanan dan minuman dengan harga tidak munasabah serta tidak mencapai kualiti yang diharapkan pembeli.

Sikap tamakkan keuntungan lumayan sudah tersasar daripada matlamat perniagaan mengikut sunah Rasulullah SAW dan mencari keredaan Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda mengenai sifat tamak ini menerusi sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya, seandainya anak Adam diberikan satu lembah yang penuh dengan emas, pasti dia akan ingin memiliki lembah yang kedua, dan seandainya dia sudah diberikan yang kedua, pasti dia ingin mempunyai yang ketiga. Tidak ada yang dapat menutup perut anak Adam kecuali tanah, dan Allah SWT Maha Menerima taubat bagi siapa saja yang bertaubat.”

Hadis itu menjelaskan sikap segelintir manusia yang tamakkan harta.

Oleh itu, di dalam hadis itu manusia disuruh bertaubat kepada Allah SWT atas sikap mazmumahnya itu. Allah SWT menerima taubat orang yang ikhlas, jujur dan benar.

Apa yang menyedihkan, pembaziran berlaku pada bulan Ramadan. Sepatutnya umat Islam bersikap sederhana dalam segala aspek kehidupan.


Penulis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia

Disiarkan pada: May 21, 2019 @ 9:25am
d