addin

Laksana ibadat tingkat kualiti roh

Oleh Sedetik Rasa

SEPERTI jasad, roh pada jasad manusia juga mempunyai pelbagai keadaan, bentuk dan sifat. Ada yang dalam keadaan baik dan buruk.

Selain itu, roh turut mempunyai ‘aroma’ wangi dan busuk. Bentuk dan sifatnya juga lebih banyak daripada bentuk dan rupa tubuh.

Allah menggambarkan roh berubah berupa binatang seperti kera, anjing, keldai dan sebagainya sesuai dengan amal dan perwatakan orang berkenaan.

Di dalam surah al-Maidah, ayat 60, Allah berfirman yang bermaksud: “Katakan, ‘Mahu Aku khabarkan kepada kamu perihal yang lebih buruk balasannya di sisi Allah daripada yang demikian itu? Khabar itu adalah berkaitan golongan yang dilaknat oleh Allah dan dimurkai-Nya, serta golongan yang dijadikan antara mereka kera dan babi dan penyembah taghut. Kedudukan golongan ini adalah lebih buruk dan lebih sesat dari jalan yang betul.”

Berdasarkan teori akhlak daripada al-Ghazali, individu yang selalu menurut hawa nafsu memiliki roh atau jiwa pelbagai bentuk.

Contoh, gambaran babi adalah simbol individu yang selalu menurut hawa nafsu seksualnya.

Manakala, roh berbentuk anjing atau serigala adalah simbol individu yang licik dan sombong. Roh berbentuk keldai pula adalah simbol individu yang kurang cerdik, menceroboh dan enggan mengambil pengajaran daripada perkara yang dialaminya.

Asal roh itu adalah suci kerana ia berasal daripada Allah yang Maha Suci.

Perubahan yang berlaku pada roh yang disebabkan manusia sendiri yang tidak konsisten menjaga, memelihara dan merawat kesuciannya.

Ketika roh kembali kepada Allah, roh datang dalam pelbagai sifat, bentuk dan keadaan.

Ketika manusia lahir, roh itu lahir sebagai manusia. Apabila meninggal dunia, roh itu akan kembali kepada Tuhannya dalam pelbagai bentuk.

Bukan dalam bentuk, sifat dan jasad sebagai manusia sahaja, tetapi kemungkinan roh itu kembali dalam bentuk binatang atau syaitan.

Jiwa adalah roh yang diturunkan Allah dari alam roh dan bergabung dalam jasad manusia.

Apabila ada roh, manusia dapat hidup, berfikir, melihat, menghidu, mendengar dan merasakan kewujudan segala perkara yang berada di sekelilingnya.

Roh dalam diri manusia boleh juga diibaratkan sebagai aliran elektrik.

Manakala jasad ibarat rumah yang belum memiliki bekalan elektrik. Ia berada dalam keadaan gelap dan keadaan di dalamnya tidak dapat dilihat.

Sekiranya analogi jasad dan roh itu diibaratkan rumah yang dialirkan dengan kuasa elektrik, maka ia akan menjadi terang benderang dan semua peralatan di dalamnya dapat dilihat.

Roh juga memerlukan makanan. Bagaimanapun, makanannya bukan berbentuk kebendaan. Makanan dimakan oleh jasad dapat mempengaruhi rohani seseorang.

Ali bin Abi Talib dalam ‘Biharul Anwar’ menyatakan, “Sesungguhnya tubuh mengalami enam keadaan iaitu sihat, sakit, mati, hidup, tidur dan bangun. Begitu juga dengan roh. Hidupnya roh adalah dengan ilmu dan matinya disebabkan tidak cerdik. Sakitnya disebabkan keraguan. Sihatnya disebabkan keyakinan. Tidurnya roh disebabkan kelalaian dan bangunnya roh kerana terjaga.”

Sehubungan itu, bagi meningkatkan kemampuan spiritual dan kualiti roh supaya sentiasa sihat dan kuat, setiap individu perlu melaksanakan ibadat solat, puasa, zakat dan berzikir kepada Allah.

Selain itu, antara amalan yang dapat meningkatkan kesihatan dan kekuatan roh adalah dengan berselawat, beristighfar, bertaubat serta mengerjakan ibadat yang disyariatkan Allah.

Disiarkan pada: June 12, 2019 @ 8:16am
d