addin

Faraid harta berdasar Ashabul-Furud

Oleh Suriany Awaludin

Saya dan suami membeli sebuah rumah teres. Kami hanya mempunyai seorang anak lelaki.

Jika suami meninggal dunia, adakah 50 peratus daripada harga nilai rumah itu difaraidkan kepada ibu, ayah serta adik-beradik suami?

Siti Raihanah

Klang

Pensyariatan bagi pembahagian harta pusaka menurut faraid ada dinyatakan di dalam al-Quran.

Firman Allah bermaksud: “Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua anak perempuan. Tetapi, jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi, jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanya kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah, sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana..” (Surah al-Nisa’, ayat 11)

Sekiranya berlaku kematian kepada pemilik harta, maka semua harta yang ditinggalkan itu termasuk dalam kategori harta pusaka.

Melainkan ada harta itu dibuat pengurusan secara hibah atau wakaf, maka ia terkecuali daripada pembahagian secara faraid.

Selepas diselesaikan hak lain ke atas harta pusaka si mati seperti perbelanjaan pengurusan kematian, hutang piutang, hibah, wasiat dan harta sepencarian, maka baru harta itu boleh dibuat pembahagian faraid.

Bagi pembahagian secara faraid, perlu diketahui siapa waris yang layak menerimanya. Jalan untuk melakukan pembahagian pusaka adalah meneliti terlebih dulu siapa waris yang berhak menerima pusaka dengan jalan Ashabul-Furud.

Seterusnya, dicari siapa yang Mahjud, maka baru bakinya diberikan kepada yang berhak menerima Asabah.

Golongan Ashabul-Furud mengambil pusaka menurut bahagian yang ditetapkan syarak iaitu sama ada 1/2, 1/3, 1/4, 2/3, 1/6 atau 1/8.

Mereka terdiri daripada isteri atau suami, ibu atau nenek, bapa atau datuk, anak perempuan atau cucu perempuan, saudara perempuan kandung, saudara perempuan sebapa dan saudara seibu.

Ashabul-Furud bermaksud waris yang menerima harta pusaka berpandukan ketetapan syarak (al-Quran, sunnah atau ijmak).

Hanya waris yang layak dan lebih utama akan menerima faraid. Sekiranya waris utama tiada, barulah diberikan kepada Ashabul-Furud lain.

Berkaitan persoalan mengenai suami meninggal dan dia pemilik 50 peratus bahagian ke atas sebuah rumah teres, maka pembahagian secara faraid diutamakan kepada Ashabul-Furud terlebih dahulu.

Sekiranya ketika suami meninggal dunia, waris yang diutamakan menurut Ashabul-Furud adalah isteri, anak lelaki, ibu dan ayah.

Waris lain tidak layak dan terhalang dengan adanya Ashabul-Furud berkenaan. Adik-beradik suami termasuk dalam kalangan waris yang tidak layak disebabkan ada ibu, bapa dan anak lelaki berkenaan.

Penulis peguam syarie

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 7:15am
d