addin

Solat penentu kebaikan amalan lain

Oleh Sedetik Rasa

Solat adalah kunci kebahagiaan junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW. Apabila dapat mencontohi Baginda SAW, sudah pasti kebahagiaan juga akan menjadi milik kita.

Bukan sahaja tuntutan melaksanakan solat fardu, Nabi SAW sangat menjaga solat sunat termasuk solat malam.

Bagaimanapun, Baginda menasihatkan supaya setiap amalan itu dapat dilaksanakan secara berterusan.

Dalam satu hadis, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Kerjakanlah suatu amalan itu sesuai dengan kemampuan kalian kerana Allah tidak akan bosan sehingga diri kalian yang bosan, sesungguhnya amalan yang paling dicintai Allah adalah yang dikerjakan secara terusmenerus walaupun sedikit.”

Apabila melakukan sesuatu amalan, Baginda akan mengerjakannya secara istiqamah.

Pada Ramadan lalu, kita sudah mendidik diri bukan sahaja untuk menjaga ibadat wajib semata-mata, tetapi berusaha menambah amalan sunat.

Dengan harapan, amalan itu ada kesinambungannya pada bulan seterusnya. Biarpun mula dengan sedikit, paling penting kita istiqamah melaksanakannya.

Bagi orang Mukmin, solat perlu didirikan dengan penuh khusyuk kerana itulah amalan pertama yang akan disoal pada hari akhirat kelak.

Apabila baik seluruh ibadat solat seseorang itu, maka sudah pasti yang lain juga dianggap baik.

Imam Al-Ghazali menyatakan di dalam kitabnya, Ihya’ Ulumuddin, “Apabila solat dilakukan dengan sempurna, ia pasti diterima. Lain-lain amal juga diterima. Tetapi apabila terdapat kekurangan, solat dan lain-lain amalan dikembalikan kepada si pelakunya.”

Sahabat Nabi SAW memiliki kualiti ibadat solat yang sangat baik. Saidina Umar al-Khattab misalnya, pada siang hari beliau akan memanfaatkan masa dengan bekerja sebagai khalifah.

Pada malamnya, beliau bertaubat terhadap kesalahan serta dosa yang dilakukan ketika belum Islam.

Selepas memeluk Islam, beliau benar-benar berubah dan menjadi sahabat Rasulullah SAW.

Begitu juga dengan solat Saidina Ali bin Abi Talib. Apabila masuk waktu solat, badan Ali menggeletar dan wajahnya menjadi pucat.

Sahabat bertanya, “Wahai Amirul Mukminin, ada apa yang tidak kena?”

Beliau menjawab, “Sudah datang amanah yang pernah ditawarkan Allah kepada langit dan gunung-ganang. Tetapi semuanya menolak daripada memikulnya. Tetapi aku berjaya memikulnya.”

Solat adalah rahmat dan kehormatan diberikan Allah SWT kepada hamba-Nya. Khusyuk di dalam solat menjadi kenikmatan roh bagi orang yang mencintainya.

Sesiapa sahaja berpeluang dan dapat merasai kemanisan iman. Dalam konteks iman, Islam tidak membezakan umatnya berdasarkan kedudukan, kekayaan atau keturunan.

Contoh terbaik adalah Bilal. Beliau pada mulanya seorang hamba yang dibebaskan oleh Abu Bakar as-Siddiq.

Beliau dijamin syurga dan mendapat kemuliaan kerana sentiasa menjaga kebersihan fizikalnya dengan berwuduk sehingga dipanggil sebagai ahli wuduk.

Malah, setiap kali berwuduk, Bilal akan menunaikan solat sama ada wajib atau solat sunat.

Seperti diceritakan oleh Abu Bakar as-Siddiq, Nabi Muhammad SAW pernah berkata kepada Bilal pada waktu solat Subuh, “Wahai Bilal, cuba ceritakan kepadaku amal apakah yang paling kamu sukai dalam Islam. Ini kerana aku mendengar bunyi terompahmu di hadapanku nanti di syurga.”

Bilal menjawab: “Tiada amalan yang paling aku sukai melainkan apabila aku berwuduk siang atau malam, aku akan bersolat dengan wuduk itu seperti ditetapkan untukku.”

Disiarkan pada: June 19, 2019 @ 9:09am
d