addin

Bersyukur dalam hidup

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

PERTEMUAN bersama saudara serta rakan sempena majlis sambutan hari raya membuka peluang untuk memerhati gelagat serta personaliti orang lain.

Manusia tidak dapat lari daripada berdepan perkara negatif dalam diri. Kita bukan insan maksum yang suci daripada dosa dan kesalahan.

Justeru, persoalan penting adalah bagaimana untuk membersihkan dosa berpunca daripada sifat buruk dalam diri.

Sifat buruk pastinya akan mengundang dosa sedangkan sepanjang Ramadan lalu kita mengharapkan dosa yang dilakukan diampuni Allah SWT.

Muslim terbaik sentiasa berusaha menjauhkan diri daripada perkara yang membawa kepada dosa dan kemurkaan Allah SWT.

Allah SWT sangat mengasihi setiap hamba-Nya yang sentiasa berusaha untuk kembali kepada-Nya melalui jalan taubat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah begitu gembira dengan taubat hamba-Nya melebihi kegembiraan seseorang di antara kalian yang menemukan kembali untanya yang telah hilang di suatu tanah yang luas.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Antara perkara buruk yang sentiasa hadir dalam hati manusia adalah hasad.

Tiada sesiapa pun dalam kalangan kita boleh mengatakan dirinya bebas daripada sifat hasad.

Sifat hasad atau iri hati menyebabkan seseorang tidak boleh melihat sesuatu nikmat itu dirasai orang lain.

Orang yang memiliki sifat hasad berharap nikmat yang dirasai itu segera hilang biarpun nikmat itu tidak berpindah kepadanya.

Namun, dia tetap mengharapkan orang yang menerima nikmat itu tidak terus menikmatinya.

Begitulah buruknya sifat hasad dalam hati manusia. Tatkala melihat orang berpakaian baharu, hasad datang dengan mengatakan orang itu sengaja menunjuk-nunjuk pakaiannya.

Mungkin sahaja pakaian itu dibelinya di tempat yang murah. Ketika melihat dekorasi rumah orang kelihatan cantik, hasad datang mencari kecacatan atau kekurangan rumah berkenaan.

Melihat orang bersama anak-anak dan keluarga berziarah hari raya, hasad datang dengan satu pandangan buruk terhadap kebahagiaan hidup berkeluarga orang lain.

Orang yang memiliki sifat hasad tidak memahami atau sengaja tidak faham betapa luasnya nikmat Allah SWT.

Allah SWT berhak menganugerahkan nikmat kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Hakikatnya, Allah SWT membahagikan nikmat-Nya kepada hamba-Nya yang berusaha dan bergantung harap kepada-Nya.

Jika perkara itu difahami, tidak mungkin manusia berasa hasad atau iri hati dengan nikmat yang diterima orang lain.

Individu yang mempunyai sifat hasad dan melayani sifat buruk terbabit akan memberi kesan sehingga ada yang sanggup menzahirkan dalam bentuk pertuturan dan perbuatan.

Itulah yang menyebabkan pelakunya mendapat dosa daripada hasad yang ada dalam hati. Langkah terbaik untuk menjaga hati daripada sifat hasad ialah segera beristighfar memohon keampunan daripada Allah SWT.

Orang yang mampu menjaga hatinya daripada hasad dengan beristighfar tidak akan sekali-kali membenarkan hasad membarah dalam diri.

Tersemat dalam hati orang begitu tatkala mendapat sesuatu nikmat, lantas dia bersyukur.

Jika masih belum memperoleh nikmat yang dicita-citakan, dia tetap bersyukur dan sentiasa berasa cukup.

Itulah antara jihad individu yang menjaga hatinya daripada dihinggap sifat keji. Lihatlah nikmat yang dikecapi orang lain dengan pandangan murni tanpa rasa sakit hati.

Meskipun orang itu memang ada niat menunjuk-nunjuk, mengapa kita pula perlu terkesan dengan perbuatan itu.

Sedangkan diri kita juga tidak miskin dengan nikmat kurniaan Allah SWT yang tidak terhitung banyaknya.

Manusia memang tidak mudah berasa cukup dengan nikmat yang diperolehnya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Seandainya manusia diberi dua lembah berisi harta, tentu ia masih menginginkan lembah yang ketiga. Yang boleh memenuhkan perut manusia hanyalah tanah. Allah tentu akan menerima taubat bagi sesiapa sahaja yang ingin bertaubat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Rasa cukup dengan nikmat kurniaan Allah SWT akan menjadikan hati sentiasa tenang.

Pesan Rasulullah SAW kepada umatnya: “Kekayaan (yang hakiki) bukanlah dengan banyaknya harta. Namun kekayaan (yang hakiki) adalah hati yang sentiasa berasa cukup.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Disiarkan pada: June 24, 2019 @ 9:35am
d