addin

Kurangkan beban dalam kesusahan

Oleh Khuzama Ab Rahaman dan Farah Adibah Mohd Apandi

KETIKA Syawal masih berbaki ini, umat Islam mengambil peluang melakukan amalan ziarah- menziarahi bagi merapatkan kembali ikatan ukhuwah.

Amalan itu sangat dituntut untuk diamalkan bukan sahaja sempena musim perayaan, malah ia boleh dilakukan pada bila-bila masa.

Islam meletakkan syarat dan adab yang perlu diamalkan ketika berhasrat mahu menziarahi keluarga, jiran atau sanak saudara.

Merancang perjalanan sebelum berziarah amat penting bagi memastikan diri dan keluarga dilindungi daripada sebarang kejadian yang tidak diingini.

Musibah boleh menimpa seseorang tanpa dijangka dan diketahui bila dan di mana tempatnya. Maka, persediaan awal perlu dilakukan supaya tidak menimbulkan kesukaran sepanjang perjalanan.

Tidak kira sama ada perjalanan itu jauh atau dekat, ia tetap terdedah kepada musibah.

Bagi yang melalui perjalanan jauh, semestinya perlu memastikan segala keperluan mencukupi seperti membawa pakaian, makanan sampingan, ubat-ubatan dan dokumen penting.

Kepentingan keselamatan ketika bermusafir juga harus dititikberatkan dari awal terutamanya soal perlindungan diri sepanjang perjalanan dan perlindungan harta ketika ditinggalkan.

Walaupun perancangan teliti sudah dibuat sebelum memulakan perjalanan, terdapat risiko kemalangan yang tidak dapat dielakkan.

Oleh itu, orang yang ber- musafir disarankan untuk mengurangkan kadar risiko itu dengan menyertai mana-mana pakej perlindungan takaful.

Hari ini kebanyakan pengendali takaful ada menawarkan perlindungan takaful bagi musafir supaya mereka dapat menikmati perjalanan dengan kadar risiko yang minimum.

Perancangan dalam menguruskan risiko ketika bermusafir amat penting bagi menjamin kesejahteraan kepada diri dan ahli keluarga yang tinggal.

Lazimnya, jika berlaku perkara tidak diingini sepanjang tempoh itu, peserta tidak perlu bimbang kerana manfaat takaful akan dibayar bagi mendapatkan pampasan dan juga bayaran rawatan perubatan termasuk jika berlaku kematian atau kecederaan kepada diri dan keluarga.

Ini bergantung kepada syarat dinyatakan di dalam sijil penyertaan yang sudah difahami

dan dipersetujui peserta sejak awal penyertaan.

Perlindungan Takaful juga sebenarnya banyak membantu dan memberi perlindungan berharga ketika peserta Takaful ketika berada di luar negara.

Namun, ia sering diabaikan orang ramai. Kerana itu, ramai yang tidak peduli soal mengambil pelan perlindungan ketika melancong atau bercuti.

Ramai dalam kalangan masyarakat terlepas pandang kepentingan mengambil perlindungan Takaful ketika dalam perjalanan sama ada pulang ke kampung atau bercuti ke destinasi yang jauh.

Sedangkan dalam perjalanan itu, diri dan keluarga terdedah kepada bahaya yang boleh mengancam nyawa atau memusnahkan harta benda.

Pepatah Melayu ada mengatakan ‘malang tidak berbau, geruh tidak berbunyi’. Pepatah ini seharusnya menjadi peringatan kepada masyarakat bahawa kemalangan atau tragedi boleh berlaku tanpa disedari.

Di samping itu, dengan adanya pelan perlindungan Takaful, sekurang-kurangnya jika berlaku sebarang musibah seperti kematian dan hilang upaya, ahli keluarga dan waris tidaklah kebuntuan menghadapi beban kewangan bagi meneruskan kelangsungan hidup kerana mereka bakal memperoleh bayaran tuntutan manfaat.

Justeru, dengan adanya perancangan kewangan yang baik, sekurang-kurangnya ia dapat menjamin kehidupan waris yang ditinggalkan serta jaminan kesenangan sekiranya musibah berlaku kepada seorang individu atau kepada ketua keluarga khususnya.

Kesimpulannya, persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan tidak boleh dipandang ringan.

Walaupun kebarangkalian berlaku musibah itu rendah, keselamatan diri dan keluarga lebih penting supaya perjalanan dilakukan ke sesuatu tempat lebih mudah dan selamat.

Penulis daripada Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Berhad

Disiarkan pada: June 28, 2019 @ 8:42am
d