addin

Jauh langkah ustaz polis

Oleh Mohd Fadly Samsudin

BENARLAH, rezeki setiap manusia itu memang sudah tercatat dan masing-masing mempunyai kadarnya yang tertentu.

Malah ada orang mengatakan, apabila sudah jadi rezeki, ia tidak pernah salah alamat.

Begitulah rezeki diperoleh seorang ‘Ustaz Polis’, Afirol Hizal Ramli, 38, apabila dipelawakan menunaikan umrah selepas dia mengatur program ceramah pendakwah terkenal, Ustaz Datuk Dr Zahazan Mohamed di beberapa masjid, sekolah serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera, Pahang, pada Januari lalu.

Bertitik tolak dari situ, Ustaz Afirul dipilih pula membimbing jemaah ibadat umrah, Oktober ini, bagi pihak syarikat Zahazan Travel & Tours, yang dimiliki pendakwah berkenaan,

Menurut Afirul, ‘Ustaz Polis’ adalah gelaran diberikan kepada kakitangan yang bertugas di Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Dahulu bahagian itu dikenali sebagai Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA). Di daerah Bera, saya sering dijemput menyampaikan kuliah di masjid, surau, bank dan sekolah.

“Secara tidak langsung, selepas pulang menunaikan umrah pada Mac lalu, ramai kenalan mula bertanya dan berminat untuk pergi melaksanakan umrah.

“Alhamdulillah, boleh dikatakan ia berlaku tanpa dirancang. Saya seolah-olah ‘ditarik’ untuk berada dalam bidang ini,” katanya.

Dia tidak menafikan pelaksanaan ibadat umrah adalah sebahagian trip ‘melancong’ ke luar negara.

“Di sana, kita akan ada kira-kira untung dan rugi. Bagaimanapun, kita perlu ingat, perkara lebih utama adalah fokus terhadap ibadat.

“Kata Saidatina Ummu Salamah, Nabi SAW selalu berdoa meminta ditetapkan hati semoga sentiasa taat pada agama dan beribadat kepada Allah SWT.

“Sifat sabar yang tinggi perlu ada dalam diri setiap pembimbing serta syarikat pengendali khidmat ibadat umrah ketika berurusan dengan jemaah.

“Dalam hal ini, kita perlu bersabar termasuk dalam perkara-perkara sekecil menunggu bas, menunggu jemaah serta menunggu giliran naik lif.

“Sebagai mutawif, mereka perlu mengambil positif semua urusan itu,” katanya.

Afirol berkata, ramai orang mengatakan mereka yang dipilih ke Makkah dan Madinah adalah pilihan Allah.

“Dalam ucapan talbiah, disebut sebanyak empat kali kalimah “labbaik” yang bermaksud, “Aku penuhi panggilan-Mu, ya Allah”, kemudian diikuti pujian kepada Allah.

“Itu seolah-olah membenarkan kita pergi kerana menyambut panggilan Allah. Jika kita yakin rezeki datang dari sumber yang halal, maka hati seolah-olah dijentik untuk menunaikan umrah walaupun diri sentiasa ‘membisik’ dosa masih banyak dan jangan pergi lagi.

“Abaikan sahaja bisikan itu. Memang benar kita melakukan banyak dosa, namun paling penting niat dan tujuan kita ke sana adalah untuk berdoa dan memohon keampunan daripada Allah SWT.

“Kita juga pergi ke tempat paling mulia di atas muka bumi ini. Jika ada peluang dan berkemampuan dari segi kewangan, maka kita perlu pergi.

“Jangan pula kita menjadi mangsa ‘talbis Iblis’ atau terpedaya dengan tipu daya Iblis yang akan sentiasa mahu menghalang kita beribadat kepada Allah.

“Banyakkan beristighfar, lakukan solat sunat taubat serta berdoa kepada Allah SWT mohon supaya Dia permudahkan urusan kita menunaikan ibadat yang mulia ini,” katanya.

PROFIL

NAMA: Afirol Hizal Ramli

UMUR: 38 tahun

JAWATAN: Staf Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard, IPD Bera, Pahang

KELULUSAN: Diploma Syariah dan Perbandingan, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah

ASAL: Felda Jenderak Utara, Temerloh, Pahang

SYARIKAT: Zahazan Travel & Tours

Disiarkan pada: June 30, 2019 @ 8:01am
d