addin

Kota Jerash tiga pintu

DI JORDAN, ada banyak tinggalan kota bersejarah yang sangat menakjubkan dan hebat!

Antaranya kota Rom. Kota utama Rom di Jordan adalah Amman Citadel.

Kota ini terletak di atas bukit, kira-kira 850 meter dari aras laut. Ia dikatakan sebagai tempat Hercules iaitu pahlawan yang digambarkan sebagai gagah perkasa dan baik hati.

Dalam kalangan masyarakat tempatan, kawasan itu terkenal dengan nama Jabal Al-Qal’ah.

Berdasarkan sejarah, ia pernah berada di bawah pemerintahan beberapa kuasa besar.

Penaklukan demi penaklukan iaitu dari zaman batu hingga zaman pemerintahan Roman, Byzantine dan terakhir, pemerintahan Uthmaniah Turki.

Kota Rom paling luas adalah Jerash. Jika ingin ke Jerash, waktu terbaik untuk berkunjung ke sana adalah pada jam 9 pagi.

Ini kerana untuk meneroka keseluruhan tempat di Kota Jerash, pengunjung perlu mengambil masa tiga hingga empat jam.

Kota Jerash mempunyai tiga pintu utama. Dikatakan juga, jika berada di dalam kota itu, kita diberi pilihan untuk keluar menggunakan pintu menuju Eropah, Palestin dan Tanah Suci Makkah.

Pada masa sama, ada banyak teknologi yang sangat unik di dalam bandar itu. Antaranya, sistem pembesar suara yang dibina di dalam teater.

Untuk menggunakan pembesar suara itu, kita mesti berdiri di tengah-tengah dan berada di titik yang sedia ada.

Apabila bercakap, ia akan bergema seperti kita menggunakan teknologi pembesar suara yang canggih.

Bukan itu sahaja, Rom turut mencipta batu yang boleh mengeluarkan bunyi loceng. Kegunaannya adalah untuk memberi amaran jika berlaku gempa bumi.

Bagaimanapun, batu itu mesti dihentak dengan batu jenisnya sahaja. Jika menggunakan batu jenis lain, ia tidak akan mengeluarkan bunyi. Malah, masjid pertama dibina di Jordan turut terletak di dalam Kota Jerash.

Selain itu, jika berpeluang berkunjung ke Jordan, sebuah lagi lokasi menarik untuk dilawati adalah Ummu Qais di Irbid.

Perjalanan dari Amman menuju Ummi Qais mengambil masa 30 hingga 45 minit.

Di sana, terdapat Tasik Tobari iaitu tasik yang disebut di dalam hadis mengenai kisah Yakjuj dan Makjuj meminum air tasik itu sehingga kering.

Orang Yahudi menamakannya sebagai Tasik Kinneret. Ia adalah sumber air tawar terbesar di timur tengah. Dalam peta dunia, ia ditulis sebagai Sea Of Galilee.

Lebih menarik, tasik itu terletak di tengah-tengah tanah Syam. Negara Syam terbahagi kepada tiga negara iaitu Palestin, Jordan dan Syria.

Tasik itu pada asalnya untuk Syam, tetapi sekarang ia sudah dikuasai Israel. Jika berada di Ummu Qais, kita dapat lihat tiga negara dalam satu masa.

Ummu Qais bukan sahaja mempunyai Tasik Tobari malah kota Rom juga terdapat di dalamnya.

Kota Ummu Qais adalah tempat orang Rom bercuti dan bersantai. Kebiasaannya, orang seni akan datang ke Ummu Qais untuk mendapatkan ilham.

Ummu Qais juga berdekatan kolam air panas. Itu sebabnya tempat ini dipilih sebagai tempat pelancongan bagi mereka.

Selain itu, perkara lain yang menarik mengenai Ummu Qais adalah warna batu bata yang dibina oleh Rom di situ berbeza dengan kota lain di Jordan.

Biasanya, batu itu berwarna coklat muda, tetapi di Ummu Qais, warnanya hitam. Dikatakan, faktor yang menjadikan batu itu berwarna hitam kerana mereka memproses batu berkenaan dengan lahar gunung berapi dan batunya juga ada jantina untuk dicantum antara satu sama lain.

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 11:49am
d