addin

Islam subur di bandar Grodno

Oleh Kembara Syahadah Muhammad Mujahid Yusup

Sebagai anggota sukarelawan misi kemanusiaan, penulis bertuah kerana berpeluang melawat ke serata negara sambil melaksanakan tanggungjawab membantu ummah.

Antaranya, penulis berkesempatan bermusafir ke Grodno terletak di sempadan Belarus-Poland.

Belarus adalah sebuah negara bekas jajahan komunis. Perjalanan ke Grodno mengambil masa empat jam melalui jalan darat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Minsk.

Islam sampai ke Grodno sekitar 600 tahun lalu apabila tentera Tartar beragama Islam membantu tentera Duke Of Lithuania menentang musuh mereka.

Selepas peperangan tamat, mereka menetap di Grodno. Grodno juga terkenal sebagai bandar integrasi agama kerana Islam, Kristian dan Yahudi bebas diamalkan di sana.

Komuniti Muslim dari Grodno menghubungi Pertubuhan Pencipta Muslim Sedunia dianggotai penulis dan menyampaikan hasrat mereka untuk mencari organisasi yang boleh membantu membina sebuah masjid di sana.

Masjid yang mereka gunakan pada ketika itu sebenarnya sebuah rumah pusat kebudayaan.

Rumah kecil itu hanya mampu memuatkan 10 individu dalam satu masa. Oleh itu, mereka terpaksa menyewa dewan pada setiap Jumaat dan ketika musim perayaan.

Menurut komuniti Muslim di sana, 10 tahun lalu, hanya lima orang hadir untuk solat Jumaat.

Bagaimanapun, kini lebih 150 jemaah akan hadir setiap kali solat Jumaat diadakan.

Perkembangan positif itu membuatkan kami terpanggil untuk membantu komuniti Muslim di sana bagi membina sebuah masjid yang akan dimanfaatkan sebagai pusat sehenti komuniti Muslim serta menunaikan kewajipan solat lima waktu, mengadakan sambutan majlis perayaan dan kelas pengajian agama.

Sebelum pulang ke Malaysia, penulis sempat mengikuti sebuah kelas pengajian al-Quran.

Uniknya, di sana terdapat anak kecil mempelajari al-Quran bersama ibu mereka yang beragama Kristian.

Penulis dimaklumkan, ibu kanak-kanak itu berkahwin dengan lelaki Islam.

Bertepatan sekali apabila Islam amat menggalakkan umatnya bermusafir untuk mencari ibrah dalam kehidupan bagi menambahkan lagi rasa syukur dalam diri.

Bumi yang Allah SWT ciptakan ini amat luas untuk diterokai dan diambil pelajaran daripada setiap yang berlaku.

Wujud pendapat dalam Mazhab Imam Syafie iaitu qaul qadim dan qaul jadid hasil musafir Imam Syafie dari Iraq ke Mesir.

Kewujudan komuniti Islam di Belarus adalah bukti cahaya petunjuk Ilahi tidak akan pernah terpadam.

Sudah pasti Islam akan terus bersinar di atas muka bumi ini seperti dalam firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah, ayat 32 yang bermaksud: “Mereka hendak memadam cahaya Allah (Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendakinya melainkan menyempurnakan cahayanya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka.”

Melalui Tafsir Ibnu Kathir, ayat yang dinyatakan dengan maksud ‘Mereka berkehendak memadamkan cahaya Allah’ iaitu petunjuk dan agama hak yang Allah turunkan melalui Rasulullah SAW.

Hal itu tidak mungkin berlaku seperti yang disampaikan oleh Allah melalui Rasul-Nya. Yang pasti, Islam akan sempurna dan menang.

Penulis penuntut Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Darul Quran, Universiti Sains Islam Malaysia

Disiarkan pada: August 9, 2019 @ 10:18am
d