addin

Leka 'godaan' wanita

Oleh Suriany Awaludin

SAYA berusia 36 tahun dan sudah lima tahun berkahwin. Usia suami saya pula empat tahun lebih muda.

Saya pernah curi baca mesej suami dengan seorang wanita yang sedang menuntut di sebuah kolej melalui Facebook Messenger di telefonnya.

Dalam mesejnya itu, suami memuji serta kononnya cuba menyelesaikan masalah percintaan wanita berkenaan.

Jika perkara itu berlarutan, saya bimbang akan berlaku hubungan terlarang antara mereka atau wanita itu sengaja mengambil kesempatan ke atas suami untuk mendapatkan wang dan sebagainya.

Apa tindakan yang perlu saya lakukan bagi menyedarkan suami? Jika hendak diikutkan, perbuatan suami itu boleh dianggap curang terhadap isteri kerana statusnya yang sudah berkeluarga.

Isteri kecewa, Manjung, Perak

Laman sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter sudah mengambil tempat penting dalam kehidupan masyarakat kita pada hari ini.

Jika dibuat analisis terhadap kesan penggunaan aplikasi media sosial, sudah pasti ada antara masyarakat mengalami masalah membabitkan rumah tangga sehingga hubungan suami isteri menerima kesan negatif, seterusnya membawa kepincangan dalam hubungan mereka.

Aplikasi media sosial adalah salah satu kemajuan teknologi komunikasi maklumat. Pengaruh media massa berbeza-beza terhadap setiap individu.

Hal itu menyebabkan terjadinya perubahan sosial baik secara positif mahupun negatif.

Kemajuan teknologi maklumat yang menuju ke arah globalisasi komunikasi itu juga cenderung memberi pengaruh kepada masyarakat.

Ini kerana, segala maklumat dapat disebar luas dengan mudah dan cepat sehingga mempengaruhi corak pandangan, gaya hidup serta budaya sesuatu bangsa.

Tidak ketinggalan, Facebook menjadi wadah paling popular digunakan sama ada bagi tujuan perniagaan, penyampaian maklumat dan tidak kurang juga membenihkan percikan nafsu dan godaan syaitan.

Jika Facebook gagal dimanfaatkan dengan bijak, tidak mustahil wujud golongan yang ketagih terhadapnya.

Sekiranya laman Facebook itu diakses dalam satu jangka masa lama, ia boleh menyebabkan penggunanya mengalami ketagihan.

Selain itu, pelbagai pihak akan mengambil kesempatan sama ada meraih keuntungan dengan melakukan penipuan bertujuan untuk menimbulkan aib kepada individu tertentu.

Tidak kurang juga terdapat individu menggunakan Facebook bagi meluahkan perasaan geram, benci dan sedih terhadap individu tertentu.

Lebih memburukkan keadaan apabila Facebook dipanjangkan dengan komentar yang tidak sepatutnya terutamanya membabitkan hal rumah tangga.

Penggunaan media sosial secara tidak beretika boleh membawa kepada hubungan tidak baik antara suami isteri kerana masing-masing tidak menjaga sensitiviti seperti memuat naik status atau gambar yang tidak bersesuaian untuk tatapan umum.

Justeru, apa yang dihadapi suami pembaca pada minggu ini adalah salah satu permulaan ke arah ketagihan terhadap media sosial.

Jika gagal diperbaiki, ia akan menyebabkan terjadinya perkara lebih buruk.

Satu tindakan bijak apabila isteri merasakan dia perlu mengambil langkah pencegahan supaya tidak berlaku perkara yang buruk dan berlanjutan sama ada disedari atau tidak.

Penerimaan pasangan dalam isu tegur-menegur serta membetulkan kesilapan itu akan menyebabkan berlakunya krisis. Bagaimanapun, sama ada perbuatan suami menjadi krisis atau tidak, suami isteri mesti saling berkomunikasi secara berhadapan untuk meluahkan rasa terkilan.

Komunikasi secara atas talian tidak digalakkan kerana ia tidak mempunyai nada, mimik muka dan sukar untuk membuat penjelasan.

Suami dan isteri mesti duduk berbincang terutamanya apabila menghadapi masalah rumah tangga.

Melarikan diri atau mewakilkan orang lain untuk berbincang serta menyelesaikan masalah sebenarnya tidak membantu meregangkan konflik, bahkan menyebabkan ia lebih buruk.

Sekiranya perlukan orang tengah untuk membantu, maka ajaklah saudara-mara untuk menyelesaikan masalah kita.

Orang itu sama ada daripada sebelah suami atau isteri atau kedua-duanya bagi memberi pendapat atau suami isteri boleh berjumpa pegawai bahagian kaunseling rumah tangga bagi menyelesaikannya.

Bagi umat Islam, ada dua tinggalan untuk kita iaitu al-Quran dan sunah Nabi Muhammad SAW.

Allah SWT juga berfirman: “Mengadulah kepada-Nya atas segala permasalahan yang berlaku, pasti akan didengari-Nya.”

Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu.” (Surah al-Baqarah, ayat 45)

Penulis peguam syarie

Disiarkan pada: August 29, 2019 @ 7:17am
d