addin

IR4.0 dan umat Islam

Oleh Bersama Mohd Rizal Azman Rifin

RASULULLAH SAW berpesan kepada umatnya supaya menyeimbangkan hal keduniaan dengan urusan akhirat.

Dua lapangan itu seharusnya direbut umat Islam. Tidak ada istilah ‘berat sebelah’ dalam memperoleh keuntungan duniawi dengan kebahagiaan hakiki di akhirat kelak.

Demikian indahnya ajaran Islam yang menganjurkan umatnya merebut setiap peluang ketika hidup untuk mendapatkan keuntungan namun pada waktu sama tidak sesekali membenarkan umatnya memencilkan urusan akhirat.

Dalam hal ehwal keduniaan seperti mencari rezeki, wajib dicari dan diperoleh demi meneruskan kehidupan, tetapi berpandukan asas dan prinsip yang diredai Ilahi.

Begitu juga dengan urusan dunia lain seperti meraih ilmu pengetahuan.

Islam bukan agama yang sekadar menganjurkan umatnya memfokuskan ilmu pengetahuan dalam skop ilmu agama semata-mata, sebaliknya mengajak menggali ilmu duniawi.

Umat Islam yang gagal menyeimbangkan hal ehwal duniawi dengan urusan akhirat menyebabkan mereka gagal dalam kehidupan.

Misalnya, kegagalan memperoleh ilmu duniawi seperti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) akan mengakibatkan imej dan maruah umat Islam rendah dan terpencil daripada arus dunia moden.

Dunia hari ini menyaksikan manusia semakin rakus dalam mencari dan meneroka ilmu baharu.

Malah, Revolusi Industri (IR4.0) sudah sampai ke tahap keempat yang lebih mengkhususkan kepada pengaplikasian peralatan robotik dan automasi.

Apakah umat Islam khususnya generasi muda Muslim hari ini mahu menjadi ‘penonton’ sahaja dalam perkembangan semasa itu?

Sudah tentu kita tidak mahu melihat umat Islam terus tertinggal.

Penuntut Muslim di institusi pengajian tinggi (IPT) tidak sewajarnya menganggap ilmu dan kemahiran terkini itu sebagai satu beban buat mereka.

Generasi muda juga seharusnya membuang persepsi ilmu sains, kejuruteraan dan teknologi sebagai cabang ilmu yang ‘menekan’ minda mereka.

Pengalaman penulis selaku pensyarah mendapati generasi muda Muslim lebih santai dan bersikap mudah mengalah dengan cabaran.

Rata-rata mereka tidak bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan tugasan yang diberi pensyarah.

Segala urusan pembelajaran sekadar mahu lulus sahaja. Sehubungan itu, penghijrahan sikap dan budaya hidup positif amat perlu sekiranya mahukan kejayaan cemerlang.

Imej dan maruah umat Islam kini banyak terletak pada generasi muda hari ini. Andai pemuda-pemudi beragama Islam hari ini gagal dalam bidang intelek dan kemahiran bermakna masa depan umat Islam turut menjadi suram.

Generasi muda Muslim juga perlu menjadikan ilmuwan terdahulu sebagai suntikan semangat dalam meraih ilmu.

Mereka terpaksa menghadapi seribu satu dugaan dan cabaran dalam mencari ilmu, tetapi semangat mereka tidak pernah pudar.

Berbekalkan niat yang murni mencari ilmu untuk mendapat reda Allah, segala kekangan dan halangan tidak menjadi hal besar buat mereka.

Imam At-Tirmizi misalnya, beliau bukan berbangsa Arab, tetapi atas niat dan hasrat yang ikhlas memperoleh ilmu kerana Allah, beliau sanggup ke mana sahaja asalkan impian hati tercapai.

Bayangkan beliau berangkat dari kampung halamannya di Termez, Uzbekistan dengan meredah gurun sehingga ke negara Arab semata-mata mahu mencari ilmu khususnya ilmu hadis selain turut berguru dengan puluhan guru tersohor.

Meredah gurun gersang, berbumbungkan langit yang panas membahang namun langkah kaki tetap dihayun.

Pantang mendengar ada guru yang mahir dalam bidang hadis, beliau pasti tidak akan lepaskan peluang berjumpa guru berkenaan.

Soal lapar, dahaga dan keadaan yang serba kekurangan tidak pernah ada dalam kotak fikirannya.

Lihat pula pada watak diri seorang lagi ulama terbilang iaitu Imam Ahmad bin Hanbal. Beliau anak kelahiran Kota Baghdad dilahirkan pada 164H bersamaan 780 Masihi.

Beliau tidak pernah merenggangkan dirinya daripada aktiviti keilmuan. Diceritakan, beliau pernah ditanya, “Sehingga bilakah tuan akan menuntut  ilmu, padahal sekarang tuan sudah bergelar seorang ulama?”

Lalu beliau menjawab dengan penuh makna, “Saya akan terus mencari ilmu dari hujung pena sehinggalah ke pintu kubur.”

Ternyata, sepanjang hayatnya, Imam Ahmad tidak pernah berenggang dengan kitab untuk belajar, mengkaji dan mengaji.

Semoga kita selalu meneliti sejarah riwayat tokoh ilmuwan silam dalam usaha membangkitkan semangat mencari ilmu pengetahuan.

Insya-Allah, berkat usaha tanpa mengalah dengan cabaran, umat Isam akan muncul sebagai umat hebat dalam mencungkil ilmu demi kemaslahan umat global.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Disiarkan pada: September 10, 2019 @ 11:02am
d