addin

Sampaikan perkara baik

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

SELAMA 446 tahun lamanya negara ini secara silih berganti dijajah. Akhirnya, impian menjadi  penduduk negara yang merdeka tercapai.

Ia berkat kegigihan perwira negara yang ‘tidak pernah tidur’ menjaga perbatasan negara daripada sebarang ancaman musuh.

Berlainan pula  halnya dengan negara saudara kita yang saban hari berdepan konflik yang tidak pernah berkesudahan.

Anak kecil menjadi mangsa dan entah macam mana  nasib mereka pada masa hadapan.

Padang permainan yang sebelum ini riuh dengan suara kanak-kanak, kini sepi tanpa pengunjung lagi.

Bumi Syam dan Yaman ketika aman dahulu pernah menjadi destinasi pilihan pelancong. Malah, industri pelancongan turut menyumbang pendapatan yang tinggi buat negara berkenaan.

Maka, rakyatnya secara langsung dapat merasai nikmat terbabit dalam pelbagai aktiviti perniagaan.

Teringat penulis ketika zaman persekolahan dahulu, terdapat  pakej umrah ziarah ke Syria dan Yaman.

Pakej seperti itu amat digemari jemaah kerana mereka dapat menziarahi banyak tempat bersejarah di bumi berkenaan.

Kini pakej sedemikian sudah tidak lagi dibuat syarikat pengendali umrah. Ia kesan secara langsung apabila sesebuah negara sudah tidak lagi aman.

Dua negara itu juga popular dan sentiasa menjadi pilihan bagi penuntut melanjutkan pengajian.

Namun, tumpuan kini terpaksa beralih arah ke tempat lain memandangkan situasi di sana sangat bahaya.

Sebagai sebuah negara yang aman dan harmoni, rakyat perlu sentiasa memanjatkan rasa syukur dengan nikmat keamanan yang Allah SWT kurniakan selama ini.

Penghargaan perlu ditujukan buat pejuang kemerdekaan negara terdahulu.

Ulama tempatan seperti Tok Janggut di Pasir Putih, Kelantan serta Haji Abdul Rahman Limbong di Hulu Terengganu antara puluhan ulama yang bangun mengajak rakyat menentang penjajah.

Semangat yang ditiupkan ulama dahulu begitu padu hinggakan ramai sanggup mengetepikan kepentingan peribadi demi kelangsungan dan maruah agama, negara dan bangsa.

Mereka menyuntik rasa kesedaran kepada masyarakat agar bersama-sama menggalas tanggungjawab sebagai rakyat yang cintakan negara.

Haji Abdul Rahman Limbong misalnya, terpaksa bermastautin di bumi Makkah lantaran dibuang negeri oleh penjajah British.

Di sana juga  hayat hidupnya berakhir. Demikian juga dengan ulama lain yang boleh kita umpamakan sebagai wira yang tidak didendang.

Sayang sekali, anak-anak di bangku sekolah kurang didedahkan riwayat perjuangan ulama dalam memperjuangkan kemerdekaan negara.

Pihak yang berkepentingan wajar mengangkat kembali nama ulama terdahulu untuk dijulang sebagai pejuang kemerdekaan negara.

Mereka bukan sahaja bergiat aktif dalam lapangan pengajian agama di pondok dan madrasah sahaja, malah mereka berjiwa merdeka dan tidak sanggup menggadai maruah agama, bangsa dan negara kepada penjajah.

Jiwa cintakan agama itulah yang mendorong mereka tidak sesekali mengizinkan diri bersekongkol dengan penjajah.

Mereka bangun meniupkan semboyan bagi mengusir penjajah. Kini mereka sudah tiada bersama kita lagi.

Demikian juga dengan perwira lain, semuanya sudah pergi buat selama-lamanya.

Negara ini adalah pusaka khazanah yang mereka tinggalkan. Jangan sesekali kita robekkan kemerdekaan yang mahal harganya ini.

Ingatlah, bersyukur atas nikmat Allah, insya-Allah akan berganda nikmat-Nya yang dikurniakan nanti.

Disiarkan pada: September 24, 2019 @ 9:01am
d