addin

Bagai dalam era 60-an

SEPANJANG tempoh lebih tiga tahun iaitu dari 1976 hingga 1979, rejim komunis pimpinan Pol Pot membunuh ramai ulama serta imam di Kemboja.

Tentera Khmer Rouge ketika itu, membakar al-Quran, kitab serta buku selain turut memusnahkan ratusan masjid menyebabkan kawasan yang diduduki umat Islam etnik Melayu Champa hampir hilang pedoman agama.

Sukarelawan, Maziiana Mohd Azhari, 37, berulang alik selama lapan tahun ke Phnom Penh bagi melakukan misi kemanusiaan bagi membantu umat Islam di sana yang sangat memerlukan sokongan dan perhatian.

“Banyak pengalaman pahit dan manis dikutip sepanjang perjalanan itu. Antaranya menginsafi nasib rakyat Phnom Penh yang menjadi mangsa kekejaman rejim kuku besi Pol Pot sehingga menyebabkan umat Islam ditindas dan dianiaya,” katanya seperti diceritakan kepada wartawan, Mohamad Fahd Rahmat.

Sepanjang kembara kemanusiaan itu, pengalaman paling tidak dapat dilupakan adalah lawatan ke Kampung Ampil yang terletak di wilayah Cham iaitu kira-kira tiga jam perjalanan dari Phnom Penh.

Masyarakat Melayu Champa tidak boleh berbahasa Melayu dan hanya berbahasa Cham.

Kedatangan kami di sana sering ditemani penterjemah yang berasal dari kampung berkenaan.

Walaupun wujud jurang komunikasi, namun tidak mematahkan semangat kami untuk terus berkomunikasi dengan masyarakat kampung walau hanya menggunakan gerak badan dan bahasa isyarat.

Kampung Ampil adalah kampung tradisi berusia lebih 100 tahun.

Kehidupan masyarakat Muslim Kemboja yang tinggal di pedalaman itu seakan-akan kehidupan Malaysia di era 60-an.

Mereka memasak menggunakan dapur kayu, lampu bercahayakan pelita selain rumahnya daripada binaan papan usang selain bergantung hasil tani dan ikan dari Sungai Mekong.

Pendidikan anak-anak Muslim di sana juga hanya bersekolah pondok dan Sekolah Kerajaan Khmer memperuntukkan sejumlah yuran untuk setiap kemasukan.

Kekurangan itu cuba diisi pasukan kami dengan mengadakan aktiviti mewarna, kebersihan diri, wayang pacak, sukan dan lain-lain lagi.

Aktiviti yang diadakan buat anak-anak itu bukan sahaja memberi keterujaan pada anak-anak, malah menarik minat mereka untuk turut berada di lokasi aktiviti.

Disiarkan pada: September 27, 2019 @ 7:42am
d