addin

Bijak 'soalan bocor'

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Bahang peperiksaan bukan sahaja dirasai pelajar, malah turut membabitkan guru dan ibu bapa.

Semua orang inginkan kejayaan daripada peperiksaan. Selepas sekian lama menadah ilmu, akhirnya itu masa untuk menguji tahap penguasaan ilmu yang dipelajari.

Setiap kali musim peperiksaan, kerap juga kedengaran isu soalan peperiksaan bocor.

Baru-baru ini, kononnya berlaku kebocoran soalan PT3 untuk subjek tertentu. Sebaran dibuat sebelum calon PT3 menduduki peperiksaan bagi subjek berkenaan.

Setiap kali isu begini timbul, siasatan demi siasatan dilakukan, namun mengapa kejadian seumpama itu masih berlaku?

Mungkinkah kejadian soalan peperiksaan bocor berlaku disebabkan ramai tidak percaya dengan usaha sendiri?

Atau disebabkan harapan terlalu tinggi diberikan ibu bapa kepada anak masing-masing untuk mendapat A dalam semua subjek.

Sekolah dan guru juga inginkan nama tersenarai sebagai sekolah cemerlang. Semua hasrat itu tidak salah, namun yang menjadi kesalahan apabila masing-masing mencari jalan pintas untuk mencapai kejayaan.

Menipu adalah perbuatan yang diharamkan dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang menipu kami, dia bukanlah daripada golongan kami (Islam).” (Hadis Riwayat Muslim)

Adakah kita sanggup memperoleh ‘kejayaan’ dengan cara salah? Di saat anak orang lain mendapat A dengan usaha mereka sendiri, anak kita pula mendapat A dalam peperiksaan selepas mereka mengetahui soalan yang ditanya sebelum waktunya.

Perbuatan mencapai kejayaan dengan cara haram menyebabkan diri mendapat dosa.

Akhirnya, masyarakat menjadi rosak kerana masing-masing hilang integriti dan tidak peduli soal halal dan haram.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi dan perbuatan dosa…” (Surah al-A’raf, ayat 33)

Tidak ada gunanya ramai pelajar mendapat A, tetapi mereka gagal bersikap amanah dalam perbuatan.

Apatah lagi jika ada yang tanpa segan bermegah dengan kejayaan mereka, tetapi hakikatnya ia dicapai melalui pintu belakang.

Semua pihak perlu keluar daripada perbuatan tidak bermoral membabitkan peperiksaan itu.

Ia tidak akan berlaku jika masyarakat membenci perbuatan terbabit. Kejadian sebegini menyebabkan banyak pihak menanggung kesannya serta membuang masa, usaha dan wang ringgit untuk mengadakan peperiksaan semula.

Setiap pelajar adalah golongan yang sentiasa berada dalam kebaikan dan Allah akan menganugerahkan ganjaran istimewa buat mereka yang berusaha menuntut ilmu dengan ikhlas.

Mana mungkin keadaan itu dicemari perbuatan keji seperti menipu dalam menuntut ilmu.

Ganjaran bagi penuntut ilmu yang ikhlas bukan sembarangan kerana ia ganjaran syurga.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju ke syurga.” (Hadis Riwayat Abu Dawud)

Mari sama-sama kita meyakini usaha menuntut ilmu bertambah berkat jika perkara mungkar dijauhi.

Setiap umat Islam perlu ingat, peperiksaan yang dilalui anak adalah satu bentuk ujian untuk menentukan kebolehan mereka menguasai ilmu pengetahuan yang dipelajari.

Justeru, ia perlu disertakan didikan supaya anak tidak lupa untuk memohon bantuan Allah.

Mereka perlu sentiasa diingatkan supaya tidak melupakan Allah dalam usaha mencapai kejayaan.

Firman Allah yang bermaksud: “Oleh itu, dirikanlah solat, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dialah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifat-Nya) Dialah sahaja sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik pemberi pertolongan.” (Surah al-Hajj, ayat 78)

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Disiarkan pada: October 7, 2019 @ 8:30am
d