addin

Ada unsur puja hantu

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

SATU ketika dahulu, terdapat dalam kalangan generasi muda terperangkap dalam amalan merayakan sesuatu yang sejarah asal usulnya daripada amalan agama lain.

Misalnya, menyambut Hari Kekasih dan April Fool. Pelbagai pendekatan dilakukan bagi menyatakan haram menyambut atau meraikan kedua-kedua budaya itu.

Namun, gejala meniru amalan budaya bertentangan ajaran Islam itu sejak kebelakangan ini merebak kembali.

Antaranya, ada generasi muda meraikan budaya Halloween yang diceduk bulat-bulat dari Barat.

Sejarah awal Halloween berasal dari amalan masyarakat agama kristian Barat. Berdasarkan etika prosedur sambutannya, jelas ia mempunyai unsur pemujaan kepada syaitan dan hantu.

Perkara itu jelas bertentangan syariat Islam yang melarang sebarang perbuatan dan amalan syirik kepada Allah SWT.

Intipati perayaan Halloween sebenarnya bagi memperingati orang mati khususnya golongan Santo dan Santa atau lebih popular dengan panggilan Saint dalam masyarakat beragama Kristian.

Kedua-dua golongan itu diyakini penganut Kristian sebagai mereka yang dikurniakan keramat.

Namun, situasi sedemikian beransur-ansur mengalami arus perubahan apabila Halloween lebih dirayakan dalam bentuk parti pakaian, kanak-kanak berpakaian aneh dan pelik sambil melawat rumah dengan meminta pemberian gula-gula.

Selain itu, budaya nyala unggun api, melawat rumah dianggap berhantu, mengusik orang lain dengan pelbagai gaya permainan dan menyampaikan kisah seram diamalkan masyarakat Kristian moden hari ini.

Tetapi, budaya pelik dan bertentangan syariat Islam itu diikuti pula segelintir anak muda kita hari ini.

Penerangan yang jelas seharusnya diberikan untuk menyedarkan masyarakat Islam supaya tidak terpengaruh budaya melanggar syariat berkenaan.

Walaupun ada pihak beranggapan merayakan Halloween sekadar bersuka-suka tanpa berniat untuk meniru apa penganut agama lain lakukan.

Namun, seandainya ia tidak ditangani dengan bijaksana, berkemungkinan generasi muda akan terperangkap sehingga boleh menggoncangkan akidah mereka.

Sebarang amalan berbentuk syirik kepada Allah perlu dibasmi sepenuhnya dan hal itu difirmankan Allah menerusi Surah al-Kafirun, ayat 1-6 yang bermaksud: Katakanlah(Wahai Muhammad): “Wahai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah), apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat dan secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.”

Justeru, apabila ada masyarakat Islam turut sama menyambut apa yang penganut agama lain rayakan, ia bukan perkara remeh.

Perbuatan mungkar sebegitu wajib dihindari bagi mengelakkan imej dan maruah Islam tercalar.

Islam sesekali tidak menyekat umatnya untuk berhibur dan mencari gaya hidup santai, namun segalanya perlu kepada pematuhan kehendak agama.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami, maka ia akan ditolak.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan sabda Baginda itu, jelas meletakkan amalan budaya Barat seperti Halloween sebagai amalan yang diharamkan ke atas kita.

Ini kerana perayaan budaya itu berasal daripada pengamalan anutan agama lain.

Selain itu, Rasulullah ada bersabda yang menegaskan, “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka.” (Hadis Riwayat Imam Abu Daud)

Dalam dunia tanpa sempadan ini, pelbagai maklumat boleh dicapai menerusi Internet sehingga ada kalanya boleh ‘membuai’ jiwa umat Islam sehingga apa sahaja unsur dari luar yang bersalahan dengan ajaran Islam mudah diserap.

Berdoalah semoga Allah sentiasa melindungi diri dan masyarakat kita daripada sebarang perbuatan mungkar yang mengundang kemurkaan Allah.

Sebaliknya, kita perlu berdoa semoga Allah kurniakan kepada kita rahmat dan berkat-Nya supaya dilorongkan petunjuk yang benar untuk mengharungi kehidupan dunia ini.

>>Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Disiarkan pada: October 8, 2019 @ 8:09am
d