addin

Tiga amalan terbaik

Oleh Bersama Mohd Shahrizal Nasir

KEHIDUPAN manusia tidak sama dari sudut kedudukan dalam masyarakat. Itulah lumrah kehidupan dunia yang mewujudkan perbezaan antara seorang insan dengan insan lain.

Harta, pangkat, jawatan, keturunan antara perkara yang dijadikan asas dalam membezakan kedudukan manusia.

Hakikatnya, manusia yang istimewa di sisi Allah SWT adalah mereka yang memiliki takwa.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “…Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Kebanyakan manusia inginkan kedudukan yang tinggi di mata manusia lain.

Kedudukan itu membuatkan diri berasa istimewa dan memiliki kelebihan tertentu.

Sebenarnya, kedudukan tinggi menurut pandangan manusia tidak semuanya benar. Malah, kebanyakannya palsu kerana penilaian dibuat manusia tidak pernah sempurna dan adil.

Tidak ada yang lebih bernilai selain mendapat keampunan daripada Allah SWT.

Dengan keampunan daripada Allah SWT itulah melayakkan diri memperoleh nikmat yang disediakan oleh-Nya bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat nanti.

Disebabkan semua kelebihan itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar, maka ramai mengabaikannya.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menjelaskan beberapa perkara yang sekiranya dilakukan seseorang Muslim, dirinya akan diampuni Allah SWT.

Bukan itu sahaja, malah kedudukannya turut diangkat oleh-Nya. Rasulullah SAW menjelaskan, untuk mendapat keistimewaan itu, setiap Muslim perlu bersungguh-sungguh melakukannya.

Ia bukan sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan, namun boleh jadi ‘berat’ jika tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang dengannya Allah menghapuskan dosa-dosa dan mengangkat darjat kalian?”

Para sahabat menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah”. Baginda bersabda: “Menyempurnakan wuduk ketika diri merasa berat (untuk berwuduk), memperbanyak langkah ke masjid, serta menunggu solat selepas menunaikan solat sebelumnya. Maka itulah ribat (jihad), maka itulah ribat (jihad).” (Hadis riwayat Muslim)

Itulah tiga perkara yang perlu diusahakan setiap Muslim bagi mendapat keampunan serta kedudukan tinggi di sisi Allah SWT.

Pertama, menyempurnakan wuduk tatkala diri berasa berat dan malas untuk melakukannya.

Ketika nafsu menguasai diri, ambil wuduk dengan sempurna. Bukan sekadar mengenakan air ke anggota wuduk semata-mata.

Ketelitian itulah yang menyebabkan perbuatan mengambil wuduk diberi ganjaran istimewa.

Kedua, memperbanyakkan usaha ke masjid bagi menunaikan solat. Hati yang sentiasa terikat dengan masjid membuktikan usaha murni mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Ramai orang ke masjid hanya untuk menunaikan solat fardu Jumaat. Sepatutnya, perlu berusaha ke masjid bagi menunaikan solat fardu lima waktu yang lain.

Ketiga, jadikan amalan menunggu solat fardu yang seterusnya setelah selesai menunaikan solat fardu sebelumnya.

Hal itu tidak bermakna setiap Muslim hanya perlu duduk di atas sejadah pada setiap masa.

Paling tidak, manfaatkan masa menunggu waktu solat fardu Isyak sebagai usaha penantian selepas menunaikan solat Maghrib.

Manfaatkan masa itu dengan ibadat khusus seperti membaca al-Quran, berzikir dan yang penting dapat menimba ilmu menerusi aktiviti kuliah atau tazkirah yang disampaikan.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Disiarkan pada: October 21, 2019 @ 10:42am
d