addin

Mahu beri peluang ketiga

Oleh Kemusykilan Syariah Bersama Suriany Awaludin

Saya pernah berumah tangga selama tujuh tahun sebelum bercerai buat kali kedua dengan suami, Julai lalu.

Kami dikurniakan tiga anak berusia tiga hingga lima tahun.

Suami panas baran. Apabila berlaku perselisihan faham, dia kerap menengking selain memukul saya.

Sepanjang lima tahun perkahwinan, memang saya banyak bersabar dan beralah.

Kejadian pada Julai lalu terjadi akibat suami melafazkan cerai taklik. Tanpa diduga talak itu jatuh sebaik keluar rumah.

Pada awalnya, saya hanya berniat untuk pulang ke kampung bagi menenangkan fikiran yang sedang berserabut.

Apabila perkara itu dirujuk kepada pejabat agama, saya tidak sangka lafaz yang dikeluarkan suami itu sah dan ia talak kali kedua ke atas diri saya.

Adakah saya perlu memberi peluang terakhir kepada suami kerana masih sayang?

Kila,

Johor Bahru

Dalam menyelesaikan konflik rumah tangga, apatah lagi membabitkan sikap dan masalah diri pasangan, sebaik-baiknya buat pertimbangan bijak serta mendapatkan nasihat daripada ahli keluarga masing-masing.

Suami atau isteri wajib menyediakan diri dengan pengetahuan agama yang menjadi asas untuk menilai serta membuat pertimbangan bagi setiap masalah rumah tangga yang dihadapi.

Tuntutan agama dan nasihat yang diberikan perlu dinilai, seterusnya disesuaikan dengan situasi yang dihadapi.

Jangan terus membuat keputusan atas desakan pihak lain.

Perceraian yang berlaku di dalam rumah tangga puan, khasnya apabila berlaku perceraian kali kedua sewajarnya diteliti puncanya.

Sikap panas baran suami perlu ditangani kerana ia menyebabkan berlakunya penganiayaan dan kezaliman terhadap diri puan.

Dalam Islam, melayani isteri dan membina komunikasi adalah dituntut. Ia juga menjadi hak isteri yang perlu ditunaikan suami.

Komunikasi yang baik terhadap isteri termasuklah melayaninya dengan baik, lemah-lembut dan bertolak ansur sama ada dalam hubungan fizikal atau mental.

Ini bersesuaian dengan sifat semula jadi wanita yang lembut dan mudah terguris hatinya.

Perkara itu jelas dinyatakan dalam hadis Nabi SAW. Daripada Abu Hurairah, beliau berkata: “Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ‘Pergaulilah kaum wanita itu dengan pergaulan yang lemah-lembut kerana sesungguhnya kaum wanita itu dijadikan daripada tulang rusuk dan sesungguhnya tulang rusuk itulah yang sebengkok-bengkoknya ialah yang paling atas. Maka apabila engkau hendak meluruskannya, luruskanlah dengan perlahan dan apabila tidak diluruskan, ia sentiasa bengkok selama-lamanya. Oleh sebab itu pergaulilah wanita dengan pergaulan yang lemah-lembut.’” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis itu menerangkan cara komunikasi yang berkesan terhadap wanita. Perlakuan kasar kepada isteri pula mencakupi ucapan atau tindakan yang menyakitkan fizikalnya.

Bentuk tindakan yang menyakitkan perasaan isteri seperti mencari kesilapannya, berbuat khianat, mengganggu ketenangan isteri pada malam hari seperti pulang lewat malam daripada berfoya-foya, bermain atau bersembang di luar hanya memenuhi selera sendiri.

Tindakan seperti itu dilarang Rasulullah SAW. Daripada Jabir, beliau berkata, “Nabi SAW melarang suami mengetuk pintu keluarganya pada malam hari, melarang berkhianat kepada mereka atau mencari-cari kesalahan mereka.” (Hadis Riwayat Muslim)

Seandainya puan merasakan masih ada rasa sayang terhadap suami dan yakin dia boleh berubah, tidak salah memberi peluang kepadanya.

Kekurangan suami mungkin kerana sikapnya yang panas baran. Namun, dia juga mungkin mempunyai kelebihan lain yang hanya diketahui dan difahami puan sendiri.

Bagaimanapun, suami perlu ditegur terutama berkaitan perbuatannya menengking dan memukul puan sebelum ini.

Memukul isteri dibenarkan selama pukulan itu bersifat pengajaran dan tidak menimbulkan rasa sakit yang membahayakan.

Walaupun suami bermaksud memberi pengajaran kepada isteri, dia tetap bertanggung-jawab melindungi keselamatan isterinya.

Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’, ayat 19 yang bermaksud: ... “Dan bergaullah dengan mereka secara patut (makruf), kemudian bila kamu tidak menyukai mereka (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.”

Sekiranya suami sukar menerima teguran, puan tidak perlu membiarkan diri terus dianiaya dan disakiti.

Keputusan yang bakal dibuat adalah di atas pertimbangan diri puan untuk memaafkan suami dan memberi peluang kepadanya berubah seterusnya menentukan hala tuju dan kehidupan.

Lakukan ibadat dan dekatkan diri kepada Allah SWT untuk memohon doa dan petunjukNya kerana Allah SWT sebaik-baik perancang.

Disiarkan pada: October 24, 2019 @ 9:09am
d