addin

Waspada dalam berinteraksi dengan hadis

Oleh Ahmad Irfan Ikmal Hisham

BARU-BARU ini, tersebar secara meluas petikan ceramah yang mendakwa tempikan al-Saihah akan berlaku pada 15 Ramadan 1441 Hijrah.

Penceramah itu bersandarkan sepotong hadis yang bermaksud: “Pada 15 Ramadan pada malam Jumaat, akan berlaku gegaran /suara yang keras /angin kencang, ia mengejutkan orang yang tidur, menjatuhkan orang yang sedang berjaga, keluarlah wanita daripada bilik tidur mereka. Pada hari itu, akan berlaku banyak gempa.”

Hadis itu adalah munkar, maudu’ dan tidak datang daripada sanad yang diterima. Ia adalah satu pendustaan besar atas nama Nabi Muhammad SAW.

Berikut adalah sebahagian pandangan ulama mengenai hadis berkenaan:

• Hadis itu tiada asal daripada hadis yang boleh dipercayai dan bukan daripada jalan yang boleh diisbatkan (ditetapkan) (Al-‘Uqaili, al-Du’afa’ al-Kabir, 3:52)

• Hadis itu adalah palsu atas nama Nabi (Ibn al-Jauzi, al-Maudu’at, 3:191)

• Matannya gharib kerana wujud keraguan pada perawinya bernama Musallamah dan tidak boleh diambil berhujah (al-Hakim)

• Hadis palsu yang turut diriwayatkan dalam versi berbeza. Ada yang pendek dan panjang, antaranya seperti yang dinisbahkan kepada Ibn Mas’ud kononnya nabi bersabda maksudnya: “Sekiranya berlaku al-Saihah (tempikan) pada bulan Ramadan, akan berlaku gegaran di bulan Syawal, perang kabilah dalam bulan Zulkaedah, pertumpahan darah pada bulan Zulhijjah dan Muharam.

“Apakah Muharam? Kata baginda tiga kali. Aduhai, aduhai, manusia berbunuh-bunuhan. Sahabat bertanya, apakah al-Saihah ya Rasulullah.

“Nabi menjawab, ia berlaku pada pertengahan Ramadan, pada malam Jumaat berlaku hentakan yang akan mengejutkan orang yang tidur, menjatuhkan orang yang berdiri, keluar gadis daripada tempat berlindung mereka pada malam Jumaat, pada tahun ini berlaku banyak gempa dan dingin yang ekstrem.

“Sekiranya Ramadan jatuh pada tahun itu pada malam Jumaat, apabila kamu solat Subuh pada Jumaat pada pertengahan Ramadan, maka masuk ke rumah kamu, tutup pintu kamu, tutup api tempat masak kamu, selimuti diri kamu, tutup telinga kamu. Apabila kamu rasa betul sudah reda, maka sujud kepada Allah, dan katakan Subhana al-Quddus. Subhana al-Quddus, rabbuna al-Quddus. Siapa yang berbuat demikian, dia akan selamat, siapa yang enggan, akan celaka.”

Hadis itu juga adalah hadis palsu mengikut pandangan ulama hadis. Sehubungan itu, setiap penceramah perlu berhati-hati dalam berinteraksi dengan hadis.

Apatah lagi hadis yang membahaskan peristiwa akhir zaman dan eskatologi (cabang teologi atau kepercayaan agama yang berkaitan dengan berakhirnya dunia) boleh mengundang kerunsingan dalam kalangan umat Islam.

Sebaliknya, penceramah perlu mendidik umat Islam supaya meningkatkan amal ibadat supaya sentiasa bersedia menghadapi hari kematian dan akhirat, tanpa perlu mengaitkan ia dengan maklumat palsu seperti kononnya dakwaan maklumat ‘sulit’ daripada Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) dan seumpamanya.

Bertakwa dan ingat pesanan Nabi yang bermaksud: “Barangsiapa yang berdusta atas nama aku (nabi), maka bersiaplah ke neraka.” (Riwayat Bukhari)

>>Penulis Ketua Program Pusat Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang

Disiarkan pada: October 30, 2019 @ 8:56am
d