addin

Syukuri segala nikmat

Oleh Laman Nurani bersama Fadly Samsudin

ANTARA benda yang Allah SWT tinggalkan keberkatan adalah pada sisa makanan yang kita makan pada setiap hari.

Kita tidak tahu nasi yang tersisa itu, terdapat beberapa butir daripadanya yang membawa keberkatan.

Maka, menjilat jari selepas makan adalah salah satu sunah yang diamalkan Nabi SAW.

Perkara itu dinyatakan dalam satu hadis diriwayatkan sahabat Nabi SAW yang mahsyur iaitu Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang daripada kamu makan maka jilatlah jari-jarinya kerana sesungguhnya dia tidak tahu di manakah tempat yang mempunyai keberkatan.” (Riwayat Muslim)

Jangan sesekali kita berasa malu, apatah lagi memperlecehkan amalan sunah itu walaupun sedikit dalam hati.

Bagaimanapun, ia perlu dilakukan pada masa tertentu iaitu selepas selesai makan. Jangan pula menjilat jari ketika sedang menikmati makanan.

Itu perbuatan ditegah kerana ia tidak beradab selain tidak disenangi orang yang makan bersama kita terutamanya apabila dapat makan dalam satu talam bersama mereka.

Apabila mendapat keberkatan, sudah pasti perkara itu akan menjadikan diri orang yang mengamalkannya sihat.

Selain itu, tanda berkat yang dikurniakan Allah SWT kepada seseorang adalah dirinya kuat beribadat.

Dalam artikel Irsyad Al-Hadith dikeluarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengenai hikmah menjilat jari selepas makan menyatakan, Imam Badr al-Din al-‘Aini dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah,

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang daripada kamu makan maka jilatlah jari-jarinya kerana sesungguhnya dia tidak tahu di manakah tempat yang mempunyai keberkatan.” (Riwayat Muslim)

Selain itu, dinyatakan cara menjilat jari adalah bermula dengan jari tengah, kemudian telunjuk dan seterusnya ibu jari.

Itu berdasarkan perbuatan Nabi SAW sebagaimana diriwayatkan Imam al-Thabarani yang bermaksud: “Aku melihat Rasulullah SAW makan dengan menggunakan tiga jari iaitu ibu jari, telunjuk dan jari tengah. Kemudian, aku juga melihatnya menjilat tiga jarinya sebelum menyapunya (membersihkannya). Baginda SAW menjilat jari tengah, kemudian selepas daripada itu (jari telunjuk) dan juga ibu jari.” (Riwayat al-Thabarani di dalam al-Awsath)

Itu satu adab yang sangat baik untuk diamalkan. Kita perlu sentiasa menghargai serta mensyukuri segala nikmat yang Allah SWT kurniakan dalam hidup ini.

Kita sendiri dapat memahami dan merasai keberkatan dalam hidup ini menerusi perkara kebaikan yang dapat dilakukan semakin bertambah.

Hebat dan ajaibnya keberkatan itu contohnya, apabila diukur melalui pendapatan diperoleh seseorang, ia akan menjadikannya semakin hebat menjana saham akhirat.

Golongan yang mendapat keberkatan juga sangat tinggi tawakalnya kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).” (Surah at-Talaaq, ayat 3)

Sangat penting kita meraih keberkatan dalam rezeki, usia, masa, ilmu dan hidup berumah tangga.

Penulis wartawan Harian Metro

Disiarkan pada: November 13, 2019 @ 9:41am
d