addin

Pilihan di tangan kita

Oleh Fatimah Syarha Mohd Noordin

Allah SWT membuat perbandingan yang berbekas di hati berkaitan air dan buih. Demikian juga berkaitan logam dan sisanya yang seumpama buih. 

Manakah antara kedua-duanya akan diguna pakai? 

Sudah tentu yang memberi manfaat. Begitulah dalam hidup ini. Hanya yang bermanfaat bagi manusia akan kekal manakala yang tiada manfaat akan lenyap. 

Firman Allah SWT yang bermaksud:  “Allah menurunkan air (hujan) dari langit, maka mengalirlah air di lembah-lembah menurut ukurannya, maka arus itu membawa buih yang mengambang. Dan daripada apa (logam) yang mereka lebur dalam api untuk membuat perhiasan atau alat-alat, ada (pula) buihnya seperti buih arus itu. Demikianlah Allah membuat perumpamaan (bagi) yang benar dan yang bathil. Adapun buih itu akan hilang sebagai sesuatu yang tak ada harganya, adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan.” (Surah al-Ra’d, ayat 17)

Dalam hidup ini, terdapat banyak idea, falsafah dan gaya hidup yang menerjah pemikiran kita setiap hari. 

Kita pasti terpanggil untuk mengikuti sebahagian daripadanya. 

Bagaimana cara kita memutuskan satu pilihan? Adakah berpandukan selera nafsu atau berlandaskan ilmu? 

Adakah kita mempunyai kayu ukur untuk menentukan mana yang baik dan buruk?

Hakikatnya, dalam Surah al-Ra’d, ayat 17  mendidik kita kriteria penting bagi memilih apa yang terbaik. 

Bahkan, zaman-berzaman, pilihan demi pilihan sudah wujud sejak lama dahulu dan yang bermanfaat akan terus bertahan. 

Sebaliknya, yang buruk akan lenyap ditinggalkan masa dan bersifat sementara. 

Ia pasti akan musnah seiring waktu berlalu. Misalnya, terdapat banyak buku yang mencorakkan pemikiran manusia. 

Hanya sesetengah buku yang akan diingati dan diperkatakan dalam jangka waktu yang cukup lama terutamanya yang bersifat keagamaan, sosial kemasyarakatan, sejarah dan berunsur pendidikan. 

Lihat pula karya klasik karangan cerdik pandai yang tetap dijadikan rujukan meskipun sudah berabad lamanya. 

Begitulah tabiat sesuatu yang bermanfaat, jangka hayatnya lama dan terus diingati.

Daripada semua kitab rujukan terbaik yang menjadi pilihan kita selama ini, tidak ada satu pun boleh menandingi kuasa dan pengaruh al-Quran dalam kehidupan. 

Ajarannya mengenai tauhid iaitu mengatakan Allah SWT adalah satu konsisten sejak zaman rasul terdahulu. 

Bagaikan air yang sentiasa diperlukan. Begitulah setiap zaman, manusia memerlukan, mengagumi dan menyanjungi Kalam Tuhan. 

Bagaimana pula sikap kita terhadapnya?

Firman Allah SWT:  “Dia menurunkan Al Kitab (al-Quran) kepadamu dengan sebenarnya, membenarkan kitab yang telah diturunkan sebelumnya dan menurunkan Taurat dan Injil, sebelum (al-Quran), menjadi petunjuk bagi manusia dan Dia menurunkan Al Furqaan...” (Surah Al-Imran, ayat 3-4)

Setiap manusia dilahirkan dan dibesarkan dalam pelbagai perasaan, idea dan pandangan serta prasangka yang mewakili budaya.

Semua itu adalah dasar pembentukan cara berfikir manusia. 

Namun, dalam pelbagai gagasan idea yang muncul, terdapat persoalan berkaitan pengetahuan rohani dan ilmu agama yang diwarisi daripada generasi sebelumnya. 

Kita semua bertanggungjawab menentukan mana yang bernilai daripada apa yang kita pelajari agar kita memilih air, bukannya buih. 

Setelah itu, kita perlu menggunakan kaedah yang betul untuk mengamalkan ilmu itu.

Seni dalam kehidupan apabila kita dapat menemukan kebijaksanaan, hidup dalam kebijaksanaan dan mewujudkan kebijaksanaan dalam kehidupan bersama masyarakat terutamanya orang di sekeliling kita. 

Begitulah caranya kita memilih cara hidup seperti aliran air, bukannya buih.

Sekiranya kita mendisiplinkan diri untuk meraih ilmu dunia akhirat, segala usaha akan dibalas dengan kebahagiaan yang berpanjangan.  

Berbalik kepada analogi menjadi air atau buih. Analogi itu turut berguna bagi kita saat mencari pekerjaan. 

Carilah pekerjaan yang dapat memberikan manfaat buat diri dan masyarakat sekeliling walaupun kita sudah tiada lagi di dunia ini.

Rancanglah pekerjaan yang baik dan sekiranya kita merasakan pekerjaan yang sedang kita lakukan itu tidak memberikan kebaikan buat manusia, niatkanlah untuk mencari pekerjaan yang lebih bermakna. 

Renungkanlah doa yang sering dipanjatkan oleh Nabi Muhammad SAW: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat bagi manusia, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.” (Riwayat Ahmad)

>>Penulis adalah pendakwah

Disiarkan pada: November 23, 2019 @ 8:28am
d