addin

Isteri berhak tuntut

Oleh Suriany Awaludin

JIKA suami meninggal dunia, adakah isteri yang tidak bekerja boleh menuntut harta sepencarian seperti rumah, kenderaan serta wang simpanan?

Bagaimana pula dengan ibu  bapa atau adik-beradik suami, adakah mereka boleh mengambil harta suami berkenaan tanpa minta persetujuan isteri disebabkan suami tiada meninggalkan wasiat?

Rusnah Selamat

Subang Jaya 

Jika suami meninggal dunia, selepas selesai pengurusan jenazahnya, isteri atau waris terdekat hendaklah menunaikan hak dan kewajipan berkaitan harta pusaka suami.

Kitab Mughil Muhtaj tulisan As-Sheikh Muhammad Al-Khatib As-Syarbini menyatakan, antara perkara yang perlu diselesaikan ke atas harta si mati adalah zakat yang belum ditunaikan, barang gadaian yang belum ditebus, hutang si mati ke atas harta yang ditinggalkan, harta sepencarian, wakaf, nazar, hibah yang sempurna rukunnya, tetapi belum dipindah milik, perbelanjaan pengebumian, hutang dan wasiat.

Harta sepencarian adalah antara hak ke atas harta pusaka suami. Hak itu isteri diharuskan menuntutnya sebelum diselesaikan hak lain.

Undang-undang dan hukum syarak mengiktiraf hak isteri dalam perolehan apa-apa  harta dalam tempoh perkahwinan sama ada bercerai hidup atau bercerai mati.

Harta sepencarian ialah harta yang diperoleh bersama suami isteri ketika perkahwinan.

Harta sepencarian termasuk wang ringgit, harta alih, harta tak alih atau apa-apa aset yang dihasilkan atas perkongsian bersama dalam tempoh perkahwinan.

Al-Quran menyebut: “Orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan.” (Surah An-Nisa’, ayat 32)

Berdasarkan Seksyen 2, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, ‘harta sepencarian’ ertinya harta yang diperoleh bersama suami isteri ketika perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat yang ditentukan hukum syarak.

Setiap individu termasuk suami dan isteri berhak memiliki sebarang harta kerana ikatan perkahwinan Islam  tidak menafikan hak berkenaan.

Tuntutan harta sepencarian boleh dipohon di mahkamah syariah dalam tiga keadaan iaitu selepas perceraian, ketika perkahwinan dan selepas kematian.

Bagi tuntutan selepas perceraian, Seksyen 122, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 misalnya memperuntukkan mahkamah mempunyai bidang kuasa memerintahkan pembahagian harta sepencarian apabila mahkamah membenarkan lafaz cerai atau perintah perceraian.

Oleh itu, mahkamah hanya berbidang kuasa membicarakan kes harta sepencarian di mahkamah di negeri di mana perceraian berlaku dan didaftarkan.

Manakala Seksyen 23(10) (b), Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan, isteri boleh memohon perintah mahkamah supaya diadakan dahulu pembahagian harta sepencarian sebelum permohonan poligami disahkan.

Bagi tuntutan selepas kematian, meskipun tiada peruntukan khusus yang membolehkan mahkamah membahagikan harta sepencarian sekiranya akibat kematian namun Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 18 April 2005 memutuskan seperti berikut:

n Harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan di Selangor boleh dibahagikan kepada suami atau isteri sebelum difaraidkan termasuk setelah dilepaskan tanggungan si mati.

n Pembahagian harta sepencarian itu hendaklah diberikan mengikut takat sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung daripada kedua-dua pihak.

n Persetujuan pembahagian hendaklah dibuat melalui perintah mahkamah.

Dalam isu isteri  tidak bekerja dan dalam tempoh perkahwinan dengan arwah suami ada memiliki harta sama ada atas nama suami atau nama bersama, isteri berhak membuat tuntutan ke atas mana-mana harta yang dimiliki ketika perkahwinannya  dengan arwah suami.

Manakala waris suami seperti ibu bapa atau adik-beradik berhak ke atas harta pusaka arwah suami selepas diselesaikan pembahagian harta sepencarian dan hak lain seperti hibah dan wasiat.

 

>>Penulis ialah peguam syarie

Disiarkan pada: December 19, 2019 @ 7:47am
d