addin

Tambah amal kebaikan

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

JIKA 30 tahun dahulu tatkala mendengar Wawasan 2020, kita merasakan ia satu tempoh yang sangat lama. 

Namun, lusa bakal membuka lembaran baharu kehidupan apabila kita bakal memasuki tahun 2020. 

Begitulah cepatnya masa berlalu yang hakikatnya mencatatkan sama ada kebaikan atau keburukan dalam buku amalan setiap insan.

Setiap orang mempunyai sorotan kehidupan tersendiri sepanjang tahun ini.

Sebagai Muslim yang sentiasa inginkan diri dalam kebaikan dan meraih pahala, setiap perkara yang berlalu perlu dijadikan iktibar. 

Perkara yang baik mesti diteruskan manakala perkara buruk wajib ditinggalkan.

Kehidupan memerlukan perancangan baik. Kebaikan tidak akan datang bergolek tanpa pilihan dan usaha.

Hatta doa memohon kebaikan daripada Allah SWT juga termasuk dalam usaha yang perlu digerakkan.

Orang yang mendapat kebaikan dalam hidupnya dimulai dengan niat dan hasrat untuk melakukan kebaikan.

Oleh itu, amat wajar setiap Muslim membuat perancangan untuk melakukan kebaikan. 

Ibnu Qayyim al-Jawziyah dalam kitabnya  Al-Jawab al-Kafi  menyatakan: “Jika dirimu tidak disibukkan dengan perkara-perkara yang baik, pasti akan disibukkan dengan perkaraperkara yang batil.”

Justeru, menyibukkan diri dengan perkara yang baik akan menghindarkan diri daripada melakukan perkara buruk

Apabila tibanya tahun baharu, rata-rata orang mempunyai azam baharu yang semestinya membabitkan perkara-perkara baik. 

Usah kita hanya menetapkan keazaman berkaitan urusan dunia semata-mata, sebaliknya perlu berazam meningkatkan kualiti diri sebagai hamba Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Tidak akan berganjak kaki manusia pada hari kiamat dari sisi Tuhannya sehingga ditanya tentang lima perkara iaitu tentang umurnya dalam cara apa ia digunakan, tentang masa mudanya dalam cara apa ia dihabiskan, tentang hartanya dari mana ia diperoleh dan dalam cara apa ia dibelanjakan dan tentang apa yang ia amalkan daripada ilmu yang diketahui.”  (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Hadis itu memberi peringatan kepada setiap Muslim agar sentiasa berwaspada dalam mengendali kehidupan.

Tidak ada sesuatu perkara akan terlepas daripada perkiraan Allah SWT di akhirat kelak. 

Perkara penting dalam kehidupan iaitu umur, masa, harta dan ilmu yang diperoleh, semuanya akan ditanya oleh Allah SWT.

Justeru, kedatangan tahun 2020 patut menginsafkan diri mengenai perhitungan yang bakal dibuat oleh Allah SWT terhadap kehidupan kita di dunia. 

Ia tidak boleh dipandang remeh kerana yang akan menerima balasannya adalah diri kita sendiri.

Firman Allah SWT yang bermaksud:  “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami (Allah) hanya menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?”  (Surah al-Mukminun, ayat 115)

Allah SWT merakamkan lagi sangkaan manusia dalam al-Quran yang maksudnya:  “Patutkah manusia menyangka bahawa dia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)?”  (Surah al-Qiyamah, ayat 36)

Sambutlah kedatangan tahun 2020 dengan keazaman untuk melakukan kebaikan bagi mendapat rahmat dan kasih sayang daripada Allah SWT. Keazaman murni sebegini tidak akan muncul dalam diri yang tidak memahami tentang kebenaran perhitungan di akhirat nanti. Justeru, marilah kita memanfaatkan kurniaan masa 2020 oleh Allah SWT untuk terus menjadi hamba-Nya yang benar-benar taat.

>>Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Disiarkan pada: December 30, 2019 @ 12:38pm
d