addin

Cara lepaskan diri dari harta haram

Oleh Qira’ah Fatwa

Bolehkah mewarisi harta bersifat syubhah atau haram dan kaedah untuk keluar daripadanya?

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda dengan maksud: “Bahagikanlah harta warisan itu kepada orang yang berhak ke atasnya dan berikan bakinya kepada orang laki-laki yang terdekat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari: No. 6746 dan Muslim: No. 1615).

Hadis berkenaan menjadi dalil kepada berlakunya pewarisan harta seseorang kepada warisnya yang berhak. Imam al-Nawawi berkata dalam kitabnya, ayat ini menunjukkan suruhan untuk membahagikan harta peninggalan kepada warisnya yang berhak berpandukan pada kitab Allah SWT iaitu al-Quran.

Dan lebihan harta itu perlulah diberikan kepada lelaki yang terutama dan ulama berkata ia bermaksud diberikan kepada lelaki yang terdekat. (Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim; 11/53).

Perlu diketahui yang dimaksudkan dengan harta peninggalan ialah setiap apa ditinggalkan si mati sama ada dalam bentuk harta seperti rumah, tanah, duit atau dalam bentuk hak atau dalam bentuk manfaat seperti sewaan, pinjaman dan sebagainya. (Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 4/344-345).

Berbalik kepada persoalan yang diajukan mengenai status pewarisan harta yang haram, maka di sini ulama ada membahaskan dengan lebih jelas berkenaan dengannya.

Imam al-Nawawi berkata di dalam kitabnya bermaksud: “Sesiapa yang mewarisi harta dan dia tidak mengetahui sumber harta bagi si mati berkenaan sama ada daripada sumber yang halal ataupun yang haram dan tiada sebarang tanda atau petunjuk berkenaannya maka harta itu halal untuk diwarisi mengikut ijmak ulama. Dan jika sekiranya dia (waris) mengetahui bahawa pada harta itu terdapat bahagian yang haram dan syak pada kadar bilangannya, maka perlulah bagi waris untuk mengeluarkan kadar haram itu berdasarkan ijtihad.” (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab; 9/35.

Imam al-Nawawi menambah lagi mengenai cara melepaskan diri daripada harta yang haram bermaksud: Imam al-Ghazali berkata sekiranya bersamanya ada harta yang haram dan dia ingin berlepas diri daripadanya, maka jika wujud pemilik asal bagi harta itu wajib ke atasnya untuk memulangkan harta itu pada pemiliknya yang asal atau kepada wakilnya. Atau sekiranya pemilik itu sudah mati, maka wajib untuk menyerahkannya kepada para warisnya. Dan jika tidak diketahui siapa pemilik asal harta tersebut, maka hendaklah dia menginfakkannya untuk kepentingan umum orang Muslim seperti jambatan, benteng pertahanan, masjid dan kepentingan jalan raya dan sebagainya, ataupun jika tidak hendaklah disedekahkannya kepada fakir dan miskin.” (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab; 9/351).

Kesimpulannya, tidak boleh bagi seseorang itu mewarisi harta haram daripada seseorang dan wajib ke atasnya untuk memulangkan harta terbabit kepada pemiliknya yang asal jika didapati. Manakala bagi kes harta haram disebabkan judi, maka kami katakan jika diketahui kadar harta haram tersebut, hendaklah diinfakkan kepada kepentingan umum orang Islam atau disedekahkan kepada fakir miskin, namun jika tidak diketahui, maka hendaklah berijtihad padanya.

Sumber daripada Al Kafi Li Al Fatawi Mufti Wilayah Persekutuan

Disiarkan pada: February 3, 2020 @ 7:10am
d