addin

Amalkan sikap bertolak ansur

Oleh Mohd Ajib Ismail

MEMBINA sebuah keluarga yang harmoni dan sejahtera adalah tuntutan ajaran Islam.

Islam sebagai agama yang mengatur segenap aspek kehidupan manusia sentiasa menganjurkan umatnya untuk menjalinkan hubungan yang baik sesama manusia terutama dengan ahli keluarga.

Manusia lumrahnya tidak hidup bersendirian bahkan memiliki keluarga meskipun berhadapan pelbagai isu dan konflik dalam hubungan kekeluargaan.

Keluarga asas dalam pembinaan masyarakat dan negara serta menjadi tempat seseorang dibesarkan, diasuh serta dididik sebelum menjalani kehidupan dalam masyarakat.

Sebuah keluarga terdiri daripada suami, isteri, anak dan anggota keluarga lain yang mempunyai pertalian darah atau nasab serta hubungan pernikahan sah mengikut hukum syarak.

Keluarga dalam Islam adalah rumah tangga dibangunkan hasil pernikahan antara seorang lelaki dan wanita dilaksanakan selaras dengan syariat Islam yang memenuhi syarat pernikahan dan rukun nikah ditetapkan.

Dalam ajaran Islam, pernikahan menjadi asas dalam membangunkan rumah tangga seterusnya membentuk keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: “Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai lelaki), isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.” Surah ar-Rum (ayat 21)

Ajaran Islam menetapkan kaedah serta peranan yang perlu dilaksanakan dalam membangun dan menjalankan fungsi sesebuah keluarga.

Di antara fungsi keluarga dalam Islam adalah menyempurnakan keperluan kebajikan dan ekonomi, mendidik dengan asas moral dan akhlak bagi membentuk keperibadian terpuji, menjadi tempat untuk menyemai dan menyuburkan perasaan kasih sayang, memberikan rasa ketenangan, serta paling utama menanam nilai keagamaan dan memelihara daripada perbuatan dosa dan maksiat.

Firman Allah SWT dalam surah al-Tahrim ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala diperintahkan.”

Terdapat beberapa elemen penting yang perlu dihayati bagi mendapatkan kebahagiaan dan kedamaian dalam keluarga serta rumah tangga iaitu mengamalkan sikap saling menyayangi, sentiasa mengungkapkan ucapan sayang, memberikan panggilan kepada suami isteri dengan panggilan yang terbaik, sentiasa berhubungan dan berkomunikasi walau di mana berada dengan memanfaatkan media terkini.

Selain itu, setiap anggota keluarga perlu mengamalkan sikap sentiasa memahami dalam apa juga situasi termasuk ketika berhadapan cabaran dan perubahan persekitaran.

Setiap ahli keluarga terutama pasangan suami isteri harus mengamalkan sifat memberi dalam erti kata bertolak ansur dalam melaksanakan tanggungjawab memberikan nafkah serta saling membantu dalam urusan rumah tangga.

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada al-Aswad RA, beliau bertanya kepada Saidatina Aishah RA: “Apakah yang Nabi SAW lakukan ketika berada bersama keluarganya?” Aishah menjawab: “Rasulullah SAW biasa membantu pekerjaan keluarganya di rumah. Jika tiba waktu solat, beliau berdiri dan segera menuju solat.” Hadis Riwayat Bukhari

Setiap ahli keluarga perlu sentiasa mengambil berat antara satu sama lain dengan bertanya khabar, mengambil peduli, saling berkongsi kesenangan dan kepayahan kerana ia adalah lambang serta bukti kecintaan.

Sifat memaafkan penting dibudayakan kerana setiap rumah tangga dan keluarga pasti berhadapan pelbagai konflik serta dugaan.

Di dalam al-Quran dijelaskan bahawa perkara tauhid yang paling besar adalah menyembah Allah SWT dan sekali-kali tidak mensyirikkan-Nya.

Penulis adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Disiarkan pada: February 19, 2020 @ 6:45am
d