addin

Bila cemburu dibenarkan

Oleh Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan

CEMBURU adalah satu daripada sifat dalam diri manusia. Cemburu isteri kepada suami, cemburu adik-beradik antara satu sama lain dan kawan cemburu akan kawannya yang lain. Sifat cemburu itu boleh menjadi sesuatu yang terpuji serta dituntut atau menjadi perkara tercela yang patut dielakkan.

Cemburu itu menjadi sesuatu yang amat digalakkan apabila kita di dalam situasi mempertahankan sesuatu yang berkait rapat dengan diri kita dalam menjaga batasan agama, keluarga dan kehormatan diri mahupun hak orang lain.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya di antara cemburu itu ada yang disukai Allah dan ada yang dibenci Allah. Cemburu yang disukai Allah adalah cemburu dalam keraguan dan yang dibenci Allah adalah cemburu di luar keraguan.” (Hadis Riwayat Ahmad, No 22632)

Hadis ini menerangkan cemburu yang disukai Allah itu adalah cemburu dalam keraguan iaitu sesuatu yang diraguinya maka lebih baik jika diambil langkah berhati-hati. Contohnya adalah seperti seorang isteri yang berdua-duaan dengan lelaki yang tidak dikenali dan mereka bergurau senda dengan mesra. Maka itu perlu diragui dan berhati-hati kerana takut akan berlaku maksiat. Begitu juga sebaliknya kepada lelaki yang bersama wanita yang tiada hubungan kekeluargaan maka sudah pasti isteri perlu mempunyai sifat cemburu.

Ada juga dalam kalangan kita yang mencemburui kebaikan yang dilakukan seseorang contohnya seperti sekarang yang mana ramai dalam kalangan dermawan yang bermurah hati membantu mereka yang memerlukan khususnya di waktu wabak Covid-19. Tetapi, ada pihak menganggap perbuatan itu satu perbuatan menunjuk-nunjuk, riak dan tidak ikhlas.

Satu persoalan yang wajar ditujukan kepada mereka, adakah mereka membelah dada dermawan berkenaan dan mengetahui niat seseorang itu ikhlas ataupun tidak? Keikhlasan seseorang itu hanya dapat dinilai Allah yang Maha Mengetahui bukan oleh kita sesama makhluk yang lemah.

Sepatutnya kita bangga dan senang hati akan kebaikan yang dilakukan seseorang bahkan berdoa untuk kebaikan yang dia lakukan diterima Allah juga menjadi satu daripada perkara yang terpuji dan lebih dekat dalam menjaga hati. Berdoa supaya diri kita mengikut jejak langkah mereka suatu hari nanti.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak ada hasad (cemburu) yang dibenarkan kecuali terhadap dua orang: Iaitu kepada orang yang Allah SWT berikan harta, dia menghabiskannya dalam kebaikan. Dan kepada orang yang diberikan ilmu dan dia beramal dengan ilmu tersebut dan mengajarkannya pula kepada manusia.” (Hadis Riwayat Bukhari, No 71)

Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani, istilah hasad dalam hadis ini membawa maksud Al-ghibtoh iaitu keinginan untuk memperoleh nikmat seperti orang lain tanpa rasa mahu melihat nikmat terbabit ditarik daripada orang itu. Keinginan ini juga disebut sebagai persaingan dan ia menjadi sesuatu yang terpuji jika dalam perkara ketaatan.

Cemburu tidak salah, cemburu perlu ada dalam hati kita semua untuk menjaga apa yang perlu dijaga. Namun berhati-hati dan bersederhana jangan sampai menuduh dan merendahkan seseorang. Moga kesan daripada tindakan rasa cemburu kita nanti tidak membuatkan kita sesal di kemudian hari.

Firman Allah di dalam Surah Al-Hasy ayat 10: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun, lagi Maha Penyayang.

Semoga hati kita sentiasa dijaga Allah daripada penyakit hati yang boleh mengotorkan jiwa dan terhalangnya daripada hidayah Allah.

Sabda Rasulullah: Hendaklah kalian menjauhi sifat hasad dengki kerana ia menghapuskan kebaikan, sepertimana api menghanguskan kayu. (Hadis Riwayat Abi Daud, No 4903)

Penulis adalah Ahli Panel Ulama dan Ilmuwan Malaysia Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 7:00am
d