addin

Objek gerak di Bukit Magnet

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

BUKIT Magnet terletak di Madinah dan ia antara lokasi pilihan utama buat setiap rombongan umrah yang berkunjung ke Kota Nabi SAW.

Hal ini termasuk penulis bersama jemaah rombongan umrah pimpinan Ustaz Mohd Safri Ibrahim. Sejak awal ketika berada di pinggiran Masjid Nabawi, Ustaz Mohd Safri mengingat ahli rombongan akan ke Bukit Uhud dan Bukit Magnet.

Lantas ketika itu, penulis seakan-akan terpinga-pinga juga kerana nama Bukit Uhud memang tersedia dalam kotak pemikiran, tetapi apabila disebut sahaja Bukit Magnet tercetus pula keinginan untuk mengetahuinya lebih lanjut.

Pada pagi yang dijadualkan untuk sesi ziarah ke Bukit Uhud dan Bukit Magnet, masing-masing bersemangat dengan senyuman tanda tidak sabar mahu menjejaki ke lokasi berkenaan.

Penulis begitu kagum dengan keindahan suasana di lereng bukit dan menghiasi pokok kurma. Pastinya, penulis serta jemaah lain akan mengingati setiap inci berada di bumi Madinah sebagai detik sejarah bagi sahabat yang bersama-sama dengan Rasulullah SAW dalam mengembangkan syiar Islam.

Masing-masing tidak mahu melepaskan peluang apabila kamera di tangan tidak henti memfokuskan lensa ke arah panorama buat kenangan. Selepas selesai melakukan ziarah di perlembahan Bukit Uhud, kami berkumpul untuk mendengar apa yang ustaz ingin sampaikan.

Beliau menerangkan dengan serba ringkas berkenaan lokasi Bukit Magnet yang kedudukannya tidak jauh dari Bukit Uhud itu yang memerlukan jemaah kembali menaiki bas untuk sampai ke sana. Sebaik hampir sampai, Ustaz Mohd Safri mula menunjukkan Bukit Magnet itu dan membenarkan kami turun buat seketika.

Mulanya penulis serta jemaah lain tidak mendapati apa-apa keistimewaan berkenaan bukit ini memandangkan nilai sejarah yang berhubung dengan syiar dakwah Islam dahulu juga tidak begitu jelas. Apakah Nabi SAW pernah hadir di kawasan ini? Apakah detik peristiwa yang pernah berlaku ketika syiar Islam dahulu? Mungkin itu yang menjadi titik soalan kepada setiap ahli jemaah umrah. Menerusi penerangan daripada Ustaz Mohd Safri, Bukit Magnet ini antara saksi kepada betapa hebatnya ciptaan Allah.

Ini kerana di sekitar bukit ini ada tarikan kuasa magnet yang membuat sesuatu benda itu bergerak sendiri. Hal itu dicuba sendiri dan penulis mendapati beberapa botol bergerak sendiri ke arah hadapan dan ini petanda ia mempunyai daya tarikan magnet pada sesuatu objek. Terdiam jemaah seketika menyaksikan fenomena itu, sekali gus menginsafi betapa hebatnya kekuasaan Allah. Jika diperhatikan daripada sudut sains geologi, Bukit atau Jabal Magnet, Madinah ini terletak di kawasan yang dikenali sebagai Arabian Shield Tua yang dianggarkan berusia ratusan juta tahun yang mana persekitarannya terdiri daripada enapan lava jenis Alkali Basal dan mempunyai kawasan seluas 180 ribu kilometer persegi.

Sebenarnya, kawasan Bukit Mag net pada masa ini seolah-olah suatu kawasan riadah buat masyarakat tempatan dan mereka memanggilnya sebagai wadi atau Mantiqa al-Baidha yang bermakna lembah putih. Ada juga yang memanggilnya dengan nama wadi al-jinn atau dalam bahasa Melayu lembah jin.

Menerusi Surah Ali Imran ayat 191, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), ‘Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada siksa api neraka.”

Penulis adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Disiarkan pada: April 10, 2020 @ 7:00am
d