addin

Istiqamah 'asing diri'

Oleh Prof Madya Dr Nurkhamimi Zainuddin

SEJAK ribuan tahun dahulu penularan wabak penyakit berjangkit seperti influenza, MERS dan SARS sering menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat dunia kerana kemunculannya menelan korban yang besar.

Kini timbul pandemik Covid-19 yang semakin pantas merebak dengan angka kematian kini melebihi 15,000 orang dengan lebih 341,000 orang dijangkiti di seluruh dunia, manakala hampir semua negara di dunia merekodkan kes jangkitan.

Suatu ketika dahulu, jangkitan wabak penyakit berjangkit sering ditanggapi sebagai balasan dan hukuman daripada Tuhan atas kesalahan dan kesilapan yang dilakukan manusia di muka bumi.

Malah, akhbar The Times pernah melaporkan bahawa pada 1947, ketika wabak kolera menyerang Mesir, terdapat segelintir masyarakat yang mengadakan upacara menggunting ruangan udara menggunakan gunting kayu besar dengan kepercayaan bahawa tindakan berkenaan mengelak sebarang bentuk penularan wabak penyakit.

Beberapa lama kemudian baru masyarakat mula menyedari bahawa kemasukan individu dan barangan dari wilayah yang dijangkiti wabak penyakit ke kawasan lain menyebabkan penularan wabak penyakit berkenaan.

Malaysia mengambil langkah proaktif dalam mengawal penularan Covid-19 dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bertujuan menyekat jangkitan tempatan dan memastikan mereka dari luar negara dikuarantin dan meningkatkan pengesanan kes secara aktif.

Perintah kuarantin juga dikenakan ke atas rakyat Malaysia dan warga asing yang masuk negara ini. Tahukah anda bahawa perkataan kuarantin berasal daripada perkataan Itali quaranta yang bermaksud 40 hari tempoh pengasingan?

Kaedah kuarantin sangat penting dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19 yang amat digeruni masyarakat.

Selain itu, penulis percaya bahawa pendekatan work from home dan stay at home mampu memutuskan rantaian Covid-19 daripada terus merebak kepada masyarakat.

Sebenarnya pelbagai aktiviti boleh dilakukan mereka yang menjalani kuarantin sama ada di rumah atau di tempat khas yang disediakan.

Ambil peluang ini untuk memperbaiki dan meningkatkan hubungan dengan Allah, keluarga dan persekitaran. Dalam Islam, rumah bukan sahaja dilihat sebagai ruang fizikal, malah ia tempat bermulanya interaksi sosial dan pembinaan komuniti yang sejahtera. Rumah juga menjadi sebahagian penanda aras kebahagiaan dalam kehidupan. Rasulullah SAW bersabda: “Dan antara kebahagiaan individu ialah jiran yang baik, kenderaan yang selesa dan kediaman yang luas. (Hadis Riwayat Ahmad)

Penulis percaya tempoh 14 hari yang diperuntukkan turut memberikan peluang untuk individu istiqamah dalam mengerjakan sesuatu amalan soleh.

Apabila kita mengulang-ulang melakukan amalan seperti membaca al-Quran, berzikir dan membantu urusan harian keluarga, pasti ia akan meresap dan sebati dalam jiwa. Firman Allah SWT: Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu. (Surah Hud, ayat 112)

Bagaimanapun, usaha ini pasti menemui kegagalan sekiranya tidak mendapat kerjasama dan sokongan rakyat Malaysia. Marilah kita berganding bahu menyokong usaha ini supaya kita dapat menjalani kehidupan seharian seperti biasa. Kalau bukan kita, siapa lagi?

Penulis adalah Dekan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Disiarkan pada: April 11, 2020 @ 7:10am
d