addin

Manusia kian hilang toleransi

Oleh Prof Madya Dr Mohd Mizan Mohd Aslam

DI tengah-tengah isu Covid-19 yang melanda dunia, kita dapat melihat bagaimana golongan berfahaman ekstremis dalam mempraktikkan agama mampu menjadikan isu Covid-19 ini besar dan mengancam seluruh dunia. Melalui penelitian melebihi dua dekad dalam kajian  ekstremis berasaskan agama, maka dapat dilihat fahaman ekstrem dan radikal meresapi semua ajaran termasuk Islam, Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain. Manusia hilang satu sifat yang disebut ‘toleran atau toleransi.’ Penganut agama menjadi hilang pertimbangan apabila berbicara dan mempraktik agama hingga memperleceh agama lain dan hanya mahu khalayak memahami mereka tanpa berusaha memahami masyarakat atau agama lain.   

Agak lama masa diambil bagi menulis tajuk ini, jika tak ditulis ia fakta, jika ditulis dianggap musuh agama, begitu sandiwara dunia. Bagaimanapun hakikatnya, memang ada yang ekstrem dalam beragama hingga menafikan kewujudan virus ciptaan Tuhan Sekalian Alam. Seluruh pelusuk dunia menyaksikan bagaimana Covid-19 menyelinap, bergabung, menyerang dan akhirnya membunuh penganut agama dalam majlis keagamaan. Beberapa kluster perhimpunan agama antaranya  kluster Tabligh Sri Petaling, Perhimpunan Tabligh Sedunia Sulawesi dan Tabligh Nizamuddin, India.

Bagaimana pula dengan sikap segelintir umat Islam yang masih menghadiri perhimpunan, majlis keagamaan dan solat jemaah di surau dan masjid? Ada yang jelas menolak perintah sekatan perjalanan hingga mengakibatkan bencana lebih besar. Malah ada juga mengatakan siapa yang perlu menanggung dosa tidak hadir ke masjid da mendirikan solat jemaah? Apakah mereka memberi hujah dengan tidak menyemak dalil al-Quran dan Sunnah, adakah mereka menafikan hadis Rasulullah SAW yang menyeru tinggal diam dalam tempat ada wabak dan juga jangan masuk ke tempat dilanda wabak? Keadaan dan hujah dangkal ini kemudian senyap apabila kerajaan Arab Saudi juga mengarahkan Masjidil Haram, Makkah dan Madinah ditutup. 

Menerusi hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Apabila kamu mendengarnya (wabak) di sesuatu tempat, maka jangan kamu pergi ke situ. Dan apabila ia berlaku di tempat kamu, maka jangan kamu keluar lari daripadanya.”  (Hadis riwayat Imam Muslim)

Selain itu, disenaraikan beberapa perhimpunan keagamaan dilakukan dan menjadi kluster yang memberi kesan dahsyat kepada penyebaran Covid-19 di seluruh dunia. Antaranya kluster Perhimpunan Gereja,  Sarawak, peserta perhimpunan gereja di Emmanuel Baptist Church mengadakan perhimpunan beberapa hari sebelum PKP  diisytiharkan hingga membawa kepada kematian pastor dan ramai pengikutnya. Kluster ini menjangkiti sekurang-kurang lima  generasi hingga ke hari ini.

Selain itu, kluster perhimpunan gereja di Korea Selatan dan kluster Haredim,  Yahudi ultra ortodoks. Mereka menafikan semua arahan pemerintah dan  mengadakan perhimpunan di sekolah serta rumah ibadat tidak ditutup. Kelompok yang dikenali sebagai ultraortodoks ini menjadikan jumlah kes Covid-19 di Israel melebihi 4,000 hingga kini. Dipercayai, puluhan ribu rakyat Israel dijangkiti dan mampu memberikan ancaman besar kepada negara dengan kepadatan penduduk 7 juta. 

Penulis ingin menyentuh kluster Gereja Baton Rouge, Lousiana. Pastor gereja ini menyiarkan siaran langsung untuk terus mengadakan perhimpunan gereja walau apa pun terjadi. Malah beliau juga menyatakan sedia melanggar arahan kerajaan yang dianggap menyekat amalan dan perkembangan ajaran Kristian di bumi Amerika. Kluster ini menyebabkan ribuan dijangkiti Covid di Amerika Syarikat. Bagi kluster gereja di Salerno, Itali, kematian yang mencecah 15,000 nyawa diakibatkan oleh siri perhimpunan gereja yang berterusan di Itali termasuk di wilayah Salerno.

Akhirnya, masyarakat dunia yang majoritinya menganuti agama dan ada pegangan hidup dan amalan tersendiri, tidak harus ekstrem dalam beragama. Bukan anda menjadi liberal, tetapi perlu memahami ajaran agama masing-masing dengan lebih mendalam. Pelajari agama melalui kitab dan sumber tepat, bukan melalui ketua agama semata-mata. Malah mempercayai seorang imam atau paderi atau sami sahaja tidak mencukupi, seharusnya mempelajari agama daripada pelbagai sumber dan rujukan tepat. Covid adalah ujian ke atas semua manusia supaya kembali mendekati tuhan Pencipta alam, bukan menjadikan kita semakin bongkak dan menolak ajaran agama atas kesombongan dan sikap ekstremis yang dimiliki secara tidak disedari. Jangan kerana kesombongan dan kenaifan sendiri, akhirnya agama dijadikan bahan tohmahan dan fitnah sebagai sebab penyebaran Covid-19.

Penulis adalah Pakar Kajian Strategik, Universiti Malaysia Perlis dan Pakar Kajian Ideologi Pengganas.

Disiarkan pada: April 15, 2020 @ 7:00am
d