addin

Musailamah: Ancaman akidah pertama dalam Islam

Oleh Ustaz Hafiz Za’farani

ANCAMAN akidah yang terawal muncul ketika Rasulullah masih hidup iaitu seorang yang mengaku sebagai nabi dan mengumpulkan pengikutnya untuk menentang Islam. Individu yang mengaku nabi ialah Musailamah bin Habib dari Yamamah. Dia seorang yang berpengaruh daripada kalangan Bani Hanifah dan mempunyai ramai pengikut sejak awal lagi. Dia terkenal sebagai seorang yang bijak, lemah-lembut dan pandai berbicara. Dalam diam, dia sebenarnya seorang yang banyak helah, penipu dan pembohong.

Imam At-Thabari menceritakan permulaan Musailamah mengisytiharkan diri sebagai nabi ketika Rasulullah berada di Madinah, lalu Musailamah menghantar orang Bani Hanifah ke sana bagi mendengar bacaan al-Quran orang Islam. Setelah Musailamah mendapat surah al-Quran yang dikehendaki, dia mengubahnya mengikut lenggok surah itu, namun bunyi dan maknanya amat janggal. Dalam kitab Ajaib Wa Tharaif Abra At-Taarikh menceritakan Musailamah pernah diperdengarkan surah Al-'Ashr (Masa). Lalu dia mendakwa dia juga ada surahnya tersendiri iaitu surah Al-Wabar (Bulu). Begitu juga dalam al-Quran mempunyai surah An-Nahl (lebah) yang menceritakan kebaikan dan kandungan madu. Lalu, Musailamah mencipta surah Ad-Difda (Katak) yang hanya menceritakan habitat katak dalam air. Ada banyak lagi ayat al-Quran diubahnya mengikut gaya bahasa al-Quran namun aneh bunyinya.

Apabila sokongan golongan pentaksub makin kuat, dia menghantar utusan kepada Rasulullah yang berbunyi: "Daripada Musailamah utusan Allah, kepada Muhammad utusan Allah. Salam sejahtera ke atas kamu. Sesungguhnya aku berkongsi bersamamu, perintah daripada Allah, dan sesungguhnya bagi kami separuh bumi dan bagi Quraisy separuh bumi. Namun Quraisy kaum yang melampau."

Lantas Rasulullah segera membalas surat itu, dengan sabda Baginda: "Dengan nama Allah, daripada Muhammad utusan Allah, kepada Musailamah Al-Kazzab (pendusta). Salam sejahtera ke atas orang yang mahu mengikut hidayah Allah. Sesungguhnya bumi ini milik Allah dan Allah mewariskannya kepada sesiapa sahaja dalam kalangan hamba-Nya yang Dia kehendaki. Kesudahan yang baik itu hanyalah kepada orang yang bertakwa."

Hadirnya surat ini kepada Musailamah menyebabkan kebenciannya semakin membuak-buak dan menetapkan nekad untuk memerangi kaum Muslimin. Apabila kumpulan Musailamah semakin besar, Rasulullah mengutuskan sahabat Baginda, Habib untuk memberi peringatan kepadanya. Namun, dia makin marah dan menyeksa utusan nabi itu agar Habib mengaku kenabian Musailamah. Namun, Habib meninggal dunia mempertahankan imannya daripada mengakui nabi palsu.

Orang kedua yang mengaku Nabi ialah Sajaah binti Al-Harits, wanita qabilah Taghlib yang memeluk Islam pada tahun ke-10 Hijrah. Namun, dia murtad dan mengaku sebagai nabi. Ramai yang mengikutinya kerana dia rajin menulis sajak yang didakwanya sebagai wahyu daripada Allah. Sebahagian besar kandungan sajaknya ialah hasutan untuk membenci dan menguatkan semangat menentang kaum Muslimin di Madinah yang berada di bawah kekhalifahan Abu Bakar As-Siddiq.

Sebelum meluaskan pengaruhnya, Sajaah berniat menyerang Musailamah dan yakin memenangi pertempuran itu. Namun apabila Sajaah sampai di Yaman, Musailamah bersembunyi dan Sajaah tidak menemuinya. Selepas Sajaah kembali, Musailamah menghantar pelbagai hadiah kepada Sajaah dan menawarkan ufti kepada Sajaah untuk bekerjasama bagi memerangi kaum Muslimin. Apabila hubungan mereka makin rapat, mereka bernikah dalam sebuah khemah khas. Melalui penyatuan nabi palsu ini, mereka merasakan kekuatan mereka begitu teguh dan merancang menyerang kaum Muslimin secara besar-besaran.

Musailamah memulakan peperangan pada zaman Khalifah Abu Bakar, lalu Khalifah menghantar bala tentera yang diketuai Ikrimah bin Abi Jahl dan Syurahbil bin Hasanah untuk berhadapan dengan tentera Musailamah. Musailamah ketika itu mempunyai tentera yang ramai, hal ini memberi kelebihan kepadanya sehingga mengasak kaum Muslimin. Lalu, bantuan datang yang dipimpin oleh Khalid Al-Walid. Ketika itu Musailamah mempunyai 100,000 tentera manakala kaum Muslimin mempunyai 12,000 tentera.

Oleh itu, mereka berperang bukan kerana Musailamah atau agama, tetapi kerana maruah kabilah mereka. Akhirnya dalam peperangan yang panjang, tentera Musailamah disudutkan di satu kebun yang mempunyai tiang yang tinggi. Pada asalnya kebun itu menjadi benteng mereka namun dengan kebijaksanaan Muslimin, mereka berjaya membuka kebun tersebut dan menyerang tentera Musailamah. Kebun yang asalnya menjadi benteng menjadi kubur mereka.

Daripada kisah ini menunjukkan ancaman akidah pertama muncul ialah nabi palsu diikuti gejala murtad, mengubah al-Quran dan mencipta wahyu. Kebanyakan golongan sesat mengubah al-Quran atau menyelewengkan maknanya.

Penulis adalah Setiausaha Muzakarah dan Syariat (Muhadis)

Disiarkan pada: May 30, 2020 @ 7:40am
d