addin

Teras penyucian hati

Oleh Prof Madya Dr Muhammad Khairi Mahyuddin

KEPEMIMPINAN berteraskan penyucian hati sudah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat baginda sehingga dikenali sebagai kepemimpinan rabbani.

Baginda berjaya membangunkan kepimpinan hati sahabat baginda sehingga Islam sampai ke Nusantara ini.

Contohnya kepemimpinan Abu Bakar, Abdullah bin Abi Quhafah al-Siddiq (w. 634M), beliau dibukakan mata hati kepada usaha pengumpulan al-Quran dalam satu mashaf selepas ramai huffaz mati syahid dalam perang al-yamamah.

Ini untuk memastikan al-Quran kekal menjadi kitab hidayah kepada generasi sekarang.

Begitu juga kepemimpinan Saidina Umar al-Khattab (w. 644M) yang dijernihkan hatinya untuk melakukan pembaharuan dalam Islam seperti memulakan kalendar takwim tarikh Hijrah Islam, penubuhan Bait al-mal untuk menguruskan perbendaharaan negara dan lain-lain.

Menurut pengamatan sejarah kebangkitan Islam, Majdi Irsan Kaylani berpandangan bahawa dua ulama rabbani Islam yang mengembalikan semula kepemimpinan berteraskan hati melalui jalan kepemimpinan dan 'tarbiah rohaniah' iaitu Abu Hamid Muhammad Muhammad al-Ghazali (w. 1111M) dan Sheikh Abdul Qadir al-Jilani (w. 1166M).

Kedua-dua tokoh ini menyusun semula formula kepemimpinan berteraskan hati secara terpadu daripada al-Quran, sunah, perjalanan sahabat dan salaf soleh.

Imam Ghazali dilihat sebagai mujaddid yang menyusun semula kekuatan kepemimpinan berteraskan penyucian hati umat Islam dalam kitab seperti Ihya Ulum al-Din, al-Tibr al-Masbuk fi Nasihat al-Muluk dan Sir al-alamin Wa Kashf ma fi al-Darayn.

Begitu juga dengan usaha Sheikh Abdul Qadir al-Jilani yang mengarang kitab al-Ghunya li-Talibi Tariq al-Haq.

Kitab karangan kedua-dua tokoh tasawuf ini memberi petunjuk dan garis panduan kepada pemimpin untuk menjaga hubungan dengan Allah dan masyarakat secara seimbang berpaksikan akidah yang benar, pengamalan syariah dan akhlak mahmudah.

Menerusi kaedah ini pemimpin beroleh kemenangan dan kejayaan daripada Allah SWT dalam mengharungi liku-liku kepemimpinan, cabaran dan dugaan hidup.

Menurut pengamatan Majid Irsan Kaylani juga pemimpin Islam diasuh oleh guru mereka dengan sentuhan dan pengaruh kerohanian Imam al-Ghazali dan Sheikh Abdul Qadir al-Jilani.

Tokoh pemimpin agung rabbani yang lahir daripada pengaruh mereka adalah seperti Abu Abd Allah Muhammad Ibn Tumart (w. 1130), Nuruddin Mahmud Zanki (w. 1174), Salahuddin al-Ayyubi (w. 1193M), Muhammad al-Fatih (w. 1481), Saifuddin Qutuz (w. 1260), Sultan Salim I (w. 1512) dan Sultan Sulaiman I (w. 1566).

Mereka merubah kemunduran umat melalui jihad yang berpaksi 'tazkiyyah al-nafs', memelihara akidah ummah, syariah Islam terlaksana, maruah, keturunan dan harta masyarakat Islam.

Kesan tarbiah Imam al-Ghazali dan Sheikh Abdul Qadir al-Jilani mempengaruhi kepemimpinan rabbani tokoh pemimpin Nusantara seperti Sheikh Wan Ahmad al-Fatani, Haji Muhammad Yusuf Ahmad (Tok kenali), Muhammad Said al-Linggi, Sayyid Abd al- Rahman Muhammad Zayn al-Idrus (Tokku Paloh), Sheikh Haji Wan Sulaiman Wan Sidiq, Sheikh Abdullah Fahim, Abdul Rahman Limbong dan Yasin Muhammad.

Kepentingan tazkiyyah al-nafs dalam pendidikan dan kepemimpinan Islam diakui benar oleh ramai ulama seperti Junayd al-Baghdadi (w. 909), Abu Talib al-Makki (w. 996M), Abd al- Karim ibn Huzan Abu al-Qasim al-Qushayri (w.1073M), Ahmad Ibn Taymiyyah (w. 1328) dan Muhammad ibn Abu Bakar Ibn Qayyim al-Jawzy (w. 1330M).

Amalan tazkiyyah al-nafs menjadi titik pertemuan perpaduan ummah, persaudaraan ukhuwah menghilangkan perbezaan perselisihan kefanatikan mazhab, organisasi dan aliran perjuangan.

Dalam arus kemodenan ini, tazkiyyah al-nafs masih diperlukan sebagai asas kejayaan dalam pentadbiran dan pengurusan negara.

Barisan kepemimpinan tertinggi negara, pegawai tinggi, staf pentadbiran dan masyarakat perlu menghayati falsafah ilmu Islam, adab, matlamat yang jelas dan konsep ubudiyah dalam kehidupan berdasarkan tazkiyyah al-nafs.

Sifat asas kepemimpinan seperti ilmu kepemimpinan, profesionalisme dan cara pentadbiran mesti dimantapkan dan disertai pelaksanaan yang tersusun, berorganisasi dan berdokumentasi.

Sifat mahmudah seperti beramal, kuat, benar, amanah, muraqabah, adil, ikhlas, syura, muwafaqah, istikharah dan tawakal mesti diterapkan dengan istiqamah dan sentiasa melakukan muhasabah.

Manakala sifat mazmumah seperti khianat, dengki, malas, pengurusan pentadbiran dan kewangan yang tidak tersusun dan terancang, kecuaian dan lain-lain lagi akan merosakkan, membantut kemajuan dan perkembangan negara.

Oleh itu, kepemimpinan berteraskan penyucian hati adalah penting kepada semua masyarakat, organisasi dan negara di Malaysia bagi memastikan segala usaha kita berhasil dan mendapat keredaan Allah serta menjadi amalan ibadah yang diterima Allah.

Penulis adalah Penyelidik di Unit Penyelidikan Sekretariat Kumpulan Penyelidik Ahli Sunnah Wal Jamaah (ARG) Negeri Sembilan

Disiarkan pada: June 11, 2020 @ 10:00am
d