addin

Tegas jaga akidah Islam

Oleh Ustaz Hafiz Za’farani

SELEPAS kewafatan Rasulullah sebenarnya permulaan fitnah (kerosakan) yang makin merisaukan.

Antara yang terawal muncul ialah golongan yang enggan membayar zakat pada zaman Khalifah Abu Bakar As-Siddiq.

Golongan ini sebenarnya muncul daripada kalangan orang Islam sendiri yang belum mencapai kemantapan iman seperti golongan awal memeluk Islam daripada kalangan Muhajirin dan Ansar.

Secara asasnya, mereka berhujah dengan surah At-Taubah ayat 103: "Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka dan mensucikan mereka dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi kententeraman bagi mereka."

Berdasarkan ayat ini, golongan yang tidak mahu membayar zakat mengatakan, "Kami tidak akan membayar zakat kami melainkan kepada orang (Rasulullah) yang mendoakan untuk kami dengan doa itu tenteramlah hati kami."

Manakala sebahagian daripada mereka berdalih dengan berkata, "Kami hanya membayar zakat kepada Rasulullah, tidak kepada yang lain. Sekarang Rasulullah telah wafat, maka kami tidak perlu lagi membayar zakat."

Begitu sebahagian dalih yang mereka utarakan untuk menafikan kewajipan berzakat.

Urusan pembayaran zakat adalah berkaitan ilmu fiqh, manakala menafikan kewajipan membayar zakat berkaitan akidah umat Islam.

Jika dibiarkan, umat Islam akan rosak dan berpecah belah kerana ada yang wajib bayar zakat dan ada pula yang mengatakan tidak wajib bayar zakat.

Rentetan daripada itu, Khalifah Abu Bakar mengambil keputusan untuk memerangi golongan ini.

Sayyidina Umar Al-Khattab ketika itu bertindak sebagai penasihat Khalifah Abu Bakar bertanya: "Atas dasar apa engkau hendak memerangi mereka sedangkan Rasulullah bersabda "Aku diperintahkan untuk memerangi manusia (kafir) sehingga mereka bersaksi tiada tuhan melainkan Allah dan aku adalah pesuruh Allah. Apabila mereka telah bersaksi demikian, mereka telah mengikat terhadap dakwah dan harta mereka daripadaku melainkan dengan haknya?"

Lalu Khalifah Abu Bakar menjawab: "Demi Allah, sekiranya mereka enggan membayar kepadaku zakat yang pernah mereka berikan kepada Rasulullah nescaya aku akan perangi mereka disebabkan keenganan mereka. Sesungguhnya zakat merupakan hak harta. Demi Allah aku akan memerangi sesiapa yang memisahkan antara solat dan zakat."

Khalifah Abu Bakar berkata demikian kerana Allah berfirman, "Kemudian jika mereka bertaubat (daripada kekufuran) dan mendirikan solat serta memberi zakat, maka biarkanlah mereka (jangan diganggu). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani." (At-Taubah: 5)

Oleh itu, sesiapa yang menafikan kewajipan membayar zakat ialah orang yang kufur pada Allah, maka mereka ini perlu diambil tindakan oleh pemerintah Islam.

Perkara ini dibincang panjang oleh ulama. Orang yang tidak membayar zakat dibahagikan kepada dua iaitu orang yang kedekut dan orang yang menafikan kewajipannya.

Golongan yang kedekut masih lagi boleh dianggap sebagai orang Islam, tetapi ia termasuk orang fasik kerana sengaja tidak melaksanakan perintah Allah.

Adapun golongan kedua sudah menafikan kewajipan hukum syarak, maka ia dianggap kufur pada perintah Allah.

Hal ini disimpulkan Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani dengan katanya, "Adapun dalil kefarduan zakat, sesiapa yang mengingkarinya adalah kafir."

Hal sama dikatakan Imam Nawawi dalam syarah Muslim: "Sesiapa yang mengingkari kewajipan berzakat pada masa ini adalah kafir dengan ijma'."

Katanya lagi: "Begitulah hukumnya bagi orang yang mengingkari sesuatu perkara berkaitan agama yang telah disepakati oleh ulama seperti solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, mandi junub, pengharaman zina, perkahwinan dan hukum hakam yang lain."

Berdasarkan kenyataan di atas ulama mengambil pendirian sesuatu yang diperintahkan Allah dengan suruhan wajib dan diakui dengan ijma' ulama, maka menjadi kafir golongan yang menafikannya.

Maka tindakan Khalifah Abu Bakar dalam hal ini tidak salah kerana bagi memelihara kesucian agama itu sendiri. Bahkan ia termasuk dalam Hifz Ad-Din (memelihara agama) dalam Makasid Syariah.

Demikianlah Islam menekankan aspek menjaga kesucian agama daripada diselewengkan sesuka hati oleh golongan munafik.

Dalam kisah di atas seperti kewajipan membayar zakat atau perkara lain yang jelas hukumnya dalam Islam jika cuba diubah atau dinafikan maka ia menjadi isu akidah iaitu termasuk dalam perkara menghalalkan perkara haram dan mengharamkan perkara halal.

Menjaga agama itu menjadi tujuan tertinggi dalam Makasid Syariah kerana agama ini datang daripada Allah.

Maka pemerintah Islam perlu bertegas dalam hal ini supaya tidak mudah tertipu dengan musuh Islam yang merosakkan Islam secara halus dan perlahan.

Penulis adalah Setiausaha Muzakarah Hadis dan Syariat (Muhadis)

Disiarkan pada: June 12, 2020 @ 7:00am
d