addin

Sejahat-jahat manusia...

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

SEPANJANG tempoh negara berusaha mendepani cabaran wabak Covid-19, rakyat berdepan dengan pelbagai cabaran. Langkah kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac lalu membuktikan usaha menyekat penularan wabak Covid-19 dilakukan dengan serius. Hal ini mengundang banyak cabaran dalam hidup rakyat yang terpaksa meneruskan kehidupan dalam suasana norma baharu.

Perubahan hidup yang terpaksa dilakukan secara mendadak tanpa persediaan bukan satu perkara yang mudah. Setiap orang perlu sentiasa mendapat maklumat yang tepat bagi memastikan tindakan yang dibuat tidak melanggar keputusan yang ditetapkan pihak berwajib seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Saban hari rakyat mengamati pengumuman yang dibuat oleh kerajaan khususnya KKM bagi mendapat informasi mengenai situasi terkini berkaitan wabak Covid-19. Sungguhpun semua orang berada dalam situasi yang mencabar masih ada segelintir pihak yang menyebarkan berita palsu kepada khalayak masyarakat.

Penyebaran berita palsu dalam keadaan semua orang berada dalam kesusahan merupakan satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab. Sebenarnya perbuatan jahat itu boleh menimbulkan suasana tidak tenteram dalam kalangan masyarakat.

Sebagai contoh, ada berita tersebar mengenai kononnya orang ramai akan diperintahkan berada di rumah dan tidak dibenarkan langsung keluar termasuk untuk mendapatkan keperluan harian. Akibatnya orang ramai menjadi panik lantas membuat pembelian barang makanan melebihi keperluan.

Begitu juga tersebar berita mengenai pelajar di institusi pengajian tinggi tidak dibenarkan pulang ke kampung masing-masing untuk satu tempoh yang tidak diketahui. Berita sebegini membuatkan ibu bapa di rumah risau dengan keadaan anak mereka sedangkan sebenarnya pihak universiti sentiasa mengambil langkah proaktif memastikan pelajar sentiasa berada dalam keadaan baik.

Semua ini membuktikan betapa bahayanya jika sesuatu berita palsu disebarkan kepada khalayak umum. Berita palsu bukan sahaja melibatkan kandungannya yang tidak benar, tetapi juga berita yang faktanya tidak tepat atau mungkin mengandungi maklumat lama sedangkan fakta terkini menunjukkan hal yang berlainan.

Penyebaran berita palsu ini boleh dikira sebagai perbuatan khianat kerana pihak yang terlibat tidak akan bertanggungjawab atas informasi yang disebarkan. Golongan seperti ini adakalanya bangga kerana menjadi orang yang pertama mengetahui sesuatu berita lalu menyebarkannya kepada orang ramai sedangkan maklumat itu tidak tepat.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:  "Cukuplah seseorang itu dianggap sebagai pembohong, sekiranya dia menyebarkan apa sahaja yang didengarinya." (Hadis riwayat Muslim)

Hadis ini membuktikan betapa bahayanya perbuatan menyebarkan sesuatu berita yang diperoleh tanpa memastikan kesahihannya. Orang yang menyebarkan setiap berita yang didengarinya tanpa sebarang usaha menyemaknya terlebih dahulu dikira sebagai orang yang berbohong.

Perbuatan membohongi orang lain bukan sesuatu yang remeh sebaliknya ia termasuk dalam tanda-tanda golongan munafik. Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  "Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati." (Muttafaq 'alaih)

Sesungguhnya golongan munafik akan berada di dalam neraka Allah SWT dengan kedudukan yang paling bawah sepertimana firman-Nya bermaksud: "Sesungguhnya orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang paling bawah sekali daripada (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sesiapa pun yang boleh menolong mereka." (Surah an-Nisa', ayat 145)

Penubuhan satu pasukan dikenali Pasukan Respons Pantas (PRP) oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia susulan penularan wabak Covid-19 adalah satu usaha baik bagi mengekang berlakunya penyebaran berita palsu. Ini secara langsung dapat mendidik masyarakat supaya lebih berhati-hati ketika ingin menyebarkan sesuatu berita. Buat semakan terlebih dahulu sebelum membuatkan orang ramai berasa panik dengan berita palsu yang disebarkan bagi mengelak kekecohan.

Sebagai seorang Muslim, kita dianjurkan sentiasa menyebarkan kebaikan kepada orang lain. Islam melarang perbuatan menyebarkan sesuatu perkara yang buruk termasuk berita palsu kerana ia menatijahkan kesan yang buruk terhadap hubungan sesama manusia.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:  "Sejahat-jahat hamba Allah ialah mereka yang berjalan membawa mulut iaitu mengadu domba, yang suka memecah belah antara orang yang berkasih sayang, yang melampau dan mengenakan keburukan serta aib terhadap orang yang baik dengan kata-kata yang jahat."  (Hadis riwayat Ahmad)

Penulis adalah pensyarah di  Pusat Pengajian Bahasa Arab,  Fakulti Bahasa dan Komunikasi,  Universiti Sultan Zainal Abidin

 

Disiarkan pada: June 22, 2020 @ 9:06am
d