addin

Jaga perut elak makanan haram, syubhah

Oleh Siri Kitab Qalbun Salim

SETIAP apa juga kejadian yang dicipta Allah SWT terutama kepada manusia mempunyai faedah dan tujuan tertentu. Ketahuilah Allah SWT menjadikan perut untuk beberapa kebaikan di dunia dan akhirat.

Antara kebaikan zahir dapat kita fahami dengan mudah adalah merasa kelazatan makanan dan minuman serta kepuasan ketika melakukan hubungan suami isteri atau jimak.

Mensyukuri nikmat perut ialah dengan menjaga daripada memakan makanan haram serta syubhah. Daripada Saidina Abdullah Mas'ud berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Sifat malu kepada Allah yang sebenarnya adalah engkau menjaga kepalamu dan setiap yang ada di sekitarnya dan engkau menjaga perutmu serta apa yang ada di dalamnya." (Hadis Riwayat At-Tarmizi)

Apa dimaksudkan dengan 'menjaga kepala dan setiap apa yang ada di sekitarnya' adalah menjaga pendengaran, penglihatan dan lisan daripada perkara yang haram. Apa dimaksudkan 'menjaga perut dan segala apa yang ada di dalamnya' termasuk menjaga hati daripada perkara yang haram. (Jami'al-Ulum wa al-Hikam)

Selain itu, Imam Ibnu Ruslan dalam kitabnya Az-Zubad menukilkan yang bermaksud: "Ketaatan daripada seseorang yang makanannya haram adalah seperti sebuah rumah yang didirikan di atas ombak." Seorang lagi ulama terkenal iaitu Sayyid Ahmad Idris berkata: "Sesiapa sentiasa berhati-hati dalam bersuci dan menjauhkan diri daripada najis, tetapi dia makan yang haram maka waraknya sama seperti warak seekor anjing yang makan najis dan sesuatu yang kotor, tetapi ketika kencing, ia mengangkat kakinya supaya tidak terkena kencingnya." (Al-Manhaj as-Sawi)

Kita sememangnya perlu menjaga perut daripada makanan yang syubhah serta haram kerana perbuatan itu akan menjadi halangan tatkala kita berusaha menuju kepada reda Allah SWT.

Kita hendaklah bersungguh-sungguh menjaga perut daripada yang haram dan syubhah kerana tiga faktor iaitu:

1. Kita perlu takut azab api neraka kerana perbuatan itu bukan saja mendapat kemurkaan Allah SWT, malah menjadi sebab kita akan dihumban ke dalamnya. Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala." (Surah An-Nisa, ayat 10).

2. Tidak mendapat pedoman yang benar dalam melakukan ibadat. Ini juga sebab mengapa setiap ibadah dilakukan tidak merasa nikmat, malah terasa lebih berat untuk melakukannya.

3. Ibadat tidak diterima atau tidak dimakbulkan. Orang yang makan makanan haram dan syubhah ditegah mengerjakan kebajikan. Jika dikerjakan juga, maka ia tidak diterima. Rasulullah SAW bersabda: "Berapa ramai orang yang bangun malam tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya itu melainkan hanya berjaga malam dan berapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya selain lapar dan dahaga." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Isnin: Menjauhkan tabiat makan terlalu kenyang

Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 8:14am
d