addin

Kedamaian mesej Islam

Oleh Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

ALLAH menciptakan alam ini untuk dihuni oleh manusia sebagai menjunjung pelantikan mereka sebagai khalifah Allah di atas alam semesta ini.

Serentak dengan itu, Allah juga mencipta manusia daripada pelbagai jenis keturunan dan bangsa untuk memakmurkan bumi yang terbentang luas ini di samping mengutuskan Islam sebagai al-Din yang diredai-Nya dan juga sebagai teras yang mendasari ruang hidup mereka.

Sehubungan itu, Allah menjelaskan matlamat utama di sebalik kejadian manusia dengan firman-Nya yang bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah SWT ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunannya atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Sejajar dengan Islam sebagai al-Din yang amat menitikberatkan soal kedamaian sejagat dan kesejahteraan umah, maka Islam dari awal-awal lagi menganjurkan umat Islam agar bekerjasama dan bertoleransi antara satu sama lain dalam memakmurkan bumi Allah ini.

Bumi Allah ini adalah milik semua makhluk yang diciptakan Allah dan bukan milik atau kepunyaan istimewa sesuatu kaum atau bangsa tertentu.

Malah kesemuanya diberikan hak dan keistimewaan yang sama rata untuk sama-sama mendiami alam ini di samping untuk memakmurkan ke arah kejayaan dan kebahagiaan sejagat.

Oleh itu, Islam melarang keras sebarang bentuk penindasan, kezaliman, kekejaman atau permusuhan dengan bangsa lain biarpun berlainan akidah dan kepercayaannya, sedangkan Islam adalah al-Din yang bersifat rahmat kepada sekalian alam sebagaimana firman Allah maksudnya: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam." (Surah al-Anbia, ayat 107)

Lanjutan daripada itu, sudah menjadi misi dan wawasan utama Islam untuk mencipta kedamaian dan keamanan sejagat di kalangan umat manusia di samping menyampaikan kebenaran Islam untuk menaungi alam semesta ini.

Islam juga adalah satu agama yang sarat dengan peraturan dan pedoman hidup untuk menyusun kelangsungan hidup makhluk Allah di bumi ini agar mereka dapat menghuni alam semesta ini dengan aman damai dan saksama tanpa ada penindasan dan kezaliman antara satu sama lain.

Natijahnya, mereka dapat hidup dengan bertolak ansur dan bertimbang rasa serta bekerja sama dalam mewujudkan kemakmuran dan kesejahteraan untuk faedah mereka bersama.

Rasulullah SAW adalah teladan dan contoh utama dalam hal ini kerana pada zaman Baginda adalah zaman keemasan Islam yang dianggap kemuncak kegemilangan Islam yang tiada tolok bandingnya hingga setakat ini.

Baginda SAW berjaya mencipta sebuah masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai bangsa iaitu orang Islam, Yahudi, Nasrani dan Musyrikin untuk hidup bersatu padu dan bermuafakat di bawah naungan pemerintahan Rasulullah SAW sendiri.

Baginda SAW kerap kali menziarahi orang sakit dan juga mengunjungi orang yang meninggal dunia biarpun berlainan agama.

Malahan perbezaan akidah tidak menyebabkan permusuhan dan pertelagahan antara kaum, sebaliknya mereka saling bekerja sama dan berganding bahu dalam membangunkan negara Madinah ketika itu, terutama dalam membangunkan sektor ekonomi, sosial, pertahanan dan keamanan negara.

Ini kerana agama yang berbeza bukanlah penghalang yang besar ke arah mewujudkan satu hubungan kemanusiaan yang bersifat harmoni dan erat antara sesama komuniti masyarakat.

Penulis adalah Profesor di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin

Disiarkan pada: June 27, 2020 @ 9:48am
d