addin

Amalan menjadi insan bertakwa

Oleh Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

MENURUT al-Quran, salah satu ciri orang bertakwa adalah orang yang selalu berbuat ihsan dalam kehidupan sehariannya.

Jika kita perhatikan dalam al-Quran, daripada sebanyak 16 kali ayat yang mengandungi kalimah 'Allah mencintai', terdapat lima di antaranya disandarkan kepada orang yang berbuat ihsan iaitu muhsinin.

Menurut ulama tafsir al-Raghib al-Ashfahani, ihsan itu bermakna melimpahkan kenikmatan atau kebajikan kepada pihak lain baik secara fizikal mahu pun spiritual.

Di samping itu, ketundukan manusia secara tulus ikhlas kepada Allah SWT juga termasuk dalam pengertian ihsan sebagaimana dapat difahami daripada firman Allah yang bermaksud: "Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan dan ia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid); dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya." (Surah al–Nisa', ayat 125)

Bagi golongan sufi, ihsan adalah ibadah yang disertai sifat keinsafan rohani yang amat mendalam sehingga memiliki pengaruh secara moral.

Nabi SAW menyuruh kita melakukan ibadah seperti itu sebagaimana dalam sebuah hadis yang panjang daripada Abu Hurairah RA, di mana Malaikat Jibril bersoal jawab dengan Nabi SAW dan di sana ada menyebut mengenai maksud ihsan. "Apakah itu ihsan? Baginda menjawab: 'Sesungguhnya kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihatnya, walaupun kamu tidak melihatnya, akan tetapi Allah melihat kamu.'" (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut Ibnu al-Qayyim al-Jauziyah, ibadah yang digambarkan dalam hadis ini, memperlihatkan kesempurnaan iman dan kesedaran rohani yang sangat tinggi, juga memperlihatkan rasa cinta dan pengenalan manusia kepada Allah yang sangat tinggi.

Sebagai konsep yang mengandung idea peningkatan kualiti ibadah dan kebajikan, ihsan menurut al-Jauziyah memiliki tiga tingkatan sebagaimana berikut:

Pertama, kebaikan dalam niatnya, di mana setiap orang harus mengarahkan perhatiannya menuju Allah. Pada tingkat ini, seseorang harus memasang niat dan motivasi yang kuat. Namun, ia harus membekalkan dirinya dengan ilmu supaya niat dan tujuannya tidak melencong dan keluar dari syariat Islam.

Kedua, kebaikan dalam sikap dan perilaku. Pada tingkat ini, seseorang harus mampu menjaga dan memelihara kebaikan sikap dan perilakunya secara konsisten. Tanpa pemeliharaan ini, kebaikan sikap dan perilaku itu akan hilang dan lenyap.

Selanjutnya, dia harus berusaha menjadikan kebaikan sikap dan perilaku itu sebagai penampilannya sehingga tidak mudah dipengaruhi oleh situasi dan cabaran yang mendatang.

Namun, pada tingkat ini, dia harus tetap menyembunyikan dan merahsiakan kebaikannya kerana memperlihatkan kebaikan bukanlah cara hidup orang yang bertakwa.

Sebaliknya, memperlihatkan kebaikan secara terbuka dapat diterima jika memang ada kepentingan untuk itu atau dipandang boleh membawa kemaslahatan yang lebih besar kepada orang lain.

Ketiga, kebaikan dalam waktu. Pada tingkat ini, seseorang harus berusaha supaya sepanjang waktu dia dapat menyaksi Allah iaitu yang disebut musyahadah. Di sini, dia harus menjaga cita-cita dan perhatiannya supaya tidak beralih kepada sesuatu yang lain daripada Allah.

Dia juga harus mengarahkan seluruh perjalanan hidupnya hanya menuju kepada Allah. Pada tingkat ini, ihsan sudah mencapai kemuncak kesempurnaannya.

Pada tingkat yang paling tinggi ini, ihsan akan memperlihatkan kematangan tauhid, ajaran Islam yang paling fundamental. Tauhid adalah kunci syurga. Maka, tidak ada balasan ihsan kecuali syurga yang penuh kenikmatan. Menurut al-Jauziyah lagi, inilah makna firman Allah yang bermaksud: "Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik - melainkan balasan yang baik juga." (Surah al-Rahman, ayat 60)

Justeru, setiap Muslim hendaklah menyempurnakan segala amalan ibadat sebaiknya bertepatan landasan digariskan Allah dan sunah Rasulullah SAW. Wadah ini penting supaya amalan diterima tanpa sebarang cacat cela dan memperoleh ganjaran berlipat ganda di sisi Allah.

Imam al-Asfahani mentafsirkannya ihsan dalam muamalat dengan dua pengertian iaitu memberikan limpahan nikmat untuk kesejahteraan dan kepentingan pihak lain, selain mempertingkatkan kualiti kerja.

Pengertian pertama dapat dilihat dengan jelas melalui aktiviti kekeluargaan dan kemasyarakatan dalam komuniti Islam. Dalam lingkungan kekeluargaan, setiap unit dalam keluarga iaitu ibu bapa, anak, suami dan isteri mempunyai tanggungjawab serta rasa saling hormat menghormati.

Demikianlah konsep ihsan yang perlu difahami, dihayati serta dipraktikkan dalam segenap aspek kehidupan. Penghayatan secara menyeluruh terhadap konsep ihsan membolehkan manusia mencapai matlamat yang diimpikan ke arah melahirkan individu bertakwa.

Firman Allah yang bermaksud: "Negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun." (Surah Saba', ayat 15)

Penulis adalah Profesor di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin

Disiarkan pada: July 1, 2020 @ 9:22am
d