addin

Elakkan kita dikuasai nafsu syahwat

Oleh Muhammad Saufi Hassan

EDISI yang lalu kita membicarakan berkenaan perihal nikmat Allah SWT mengurniakan kemaluan kepada manusia termasuk juga larangan melakukan perbuatan yang dibenci oleh Allah seperti zina atau melakukan sebarang perbuatan yang jelas bertentangan dengan syarak.

Kali ini, penulis ingin menyingkap pendekatan mensyukuri nikmat berkenaan seperti yang digariskan oleh pengarang kitab Qalbun Salim (Syarah Bagi Penawar Hati) karangan Syeikh Abdul Qadir Abdul Muthalib al-Mandili.

Menerusi perihal kaedah mensyukuri nikmat ini, kita hendaklah menjaganya daripada perkara yang diharamkan seperti zina, liwat dan mengeluarkan mani selain daripada tangan dan jari isterinya.

Sebagai hamba-Nya perlulah kita menjaga setiap nikmat yang dikurniakan dan untuk mengelakkan kita terjebak daripada perbuatan haram berkaitan kemaluan ini adalah dengan menjaga mata daripada melihat perempuan yang haram untuk dilihat.

Allah SWT memuji orang yang menjaga kemaluan mereka dalam beberapa ayat antaranya Surah An-Nur bermaksud: "Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui tentang apa yang mereka kerjakan." (Surah An-Nur, ayat 30)

Natijahnya, ini menjadi asbab Nabi Muhammad SAW diperintahkan Allah SWT supaya memerintahkan isteri-isteri Baginda dan seluruh perempuan beriman untuk menutup aurat.

Allah SWT berfirman: "Wahai Nabi, suruhlah isterimu, anak perempuanmu serta wanita yang beriman agar melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya. Yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali maka mereka tidak akan diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah Al-Ahzab, ayat 59)

Selain itu, kita juga perlu menjaga hati daripada membayang-bayangkan kecantikan rupa paras perempuan kerana perkara itu akan membawa kepada nafsu syahwat serta memungkinkan kita menjerumuskan diri dalam dosa kemaksiatan jika tidak berlandaskan iman dan takwa.

Imam Abdullah Husain Thohir dalam kitab Al-Manhaj As-Sawi berkata: "Warak adalah perkara yang sangat penting sekali. Ia bukan hanya dianjurkan dalam muamalah dan makanan yang syubhah saja, bahkan dianjurkan dalam semua anggota tubuh. Dianjurkan kepada setiap orang untuk tidak melihat, mendengar dan berbuat setiap sesuatu yang menurut pendapat lain perkara itu haram untuk dilihat, didengar dan dilakukan atau menurut pendapat lain perkara itu adalah makruh."

Perbuatan zina jelas adalah dosa besar dan perkaitan dosa berkenaan adalah kemaluan. Syahwat yang tidak dijaga berlandaskan iman hanya akan membawa kita dikuasai oleh nafsu, sekali gus membawa kita ke lembah yang hina lagi dimurkai Allah SWT.

Siri Kitab Qalbun Salim

Jumaat: 15 keburukan zina

Disiarkan pada: July 2, 2020 @ 9:17am
d