addin

Empat golongan manusia dimurkai Allah

Oleh Siri Qalbun Salim

ALLAH SWT menjadikan manusia itu berpasang-pasangan, lelaki dengan perempuan dengan jalan perkahwinan yang halal mengikut syarak supaya manusia boleh memperoleh zuriat, memelihara keturunan sekali gus menjaga akhlak supaya tidak dicemari dengan perbuatan yang tidak sepatutnya.

Namun, akhir-akhir ini, sudah banyak lelaki yang menyerupai wanita 'mempromosikan' diri mereka di media sosial malah tiada segan dan malu. Perbuatan lelaki menyerupai wanita ini adalah tergolong dalam empat jenis manusia yang dilaknat Allah SWT.

Daripada Saidina Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Empat jenis manusia dimurkai Allah pada waktu pagi dan dikutuk Allah pada waktu petang." Aku bertanya: "Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Orang lelaki yang menyerupai perempuan, perempuan yang menyerupai lelaki, orang yang melepaskan nafsu pada binatang dan orang yang datang kepada lelaki (homoseksual." Hadis Riwayat al-Baihaqi

Keempat-empat golongan berkenaan sudah ada di depan mata kita sekarang dan yang paling jelas adalah tiga kelompok utama iaitu lelaki yang menyerupai wanita. Dalam istilah bahasa pasar masyarakat pada hari ini dilabel dengan nama 'mak nyah' dan seumpamanya, perempuan yang menyerupai lelaki yang dikenali dengan nama 'tomboy' dan lelaki yang mendatangi lelaki untuk melakukan hubungan sejenis.

Sesungguhnya Allah SWT sudah memberi peringatan yang jelas kepada kelompok manusia ini. Tambah memberi keanehan apabila tatkala ada pendakwah yang cuba menegur mereka, ia dibalas dengan kata sinis atau pun yang lebih buruk dengan kata-kata nista seumpama mahu mempertahankan perbuatan mereka. Ini adalah kelompok yang hidup bersama kita pada hari ini, semoga Allah SWT mengurniakan hidayah kepada kita semua supaya dapat menginsafi perbuatan sendiri dan mengambil teladan daripada peringatan terdahulu.

Permasalahan kecelaruan seksual dan jantina, yang merujuk kepada komuniti Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transgender (LGBT) bukanlah isu baru. Sebaliknya, Allah SWT menjelaskan permasalahan homoseksual yang berlaku dalam kalangan umat Nabi Lut AS.

Menerusi firman Allah SWT bermaksud: "Dan Nabi Lut (juga Kami utuskan). Ingatlah tatkala dia berkata kepada kaumnya "Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada penduduk alam ini sebelum kamu?" Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.

Dan tiada jawapan oleh kaumnya melainkan mereka berkata: "Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang yang (mendakwa) mensucikan diri.

Maka Kami selamatkan dia dan ahlinya (keluarganya dan pengikutnya) melainkan isterinya, adalah dia tergolong dalam orang yang dibinasakan. Dan Kami menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan." Surah  al-A'raf, ayat 80 hingga 84

Jumaat: Memahami nikmat tangan dan kaki

Disiarkan pada: July 8, 2020 @ 10:35am
d