addin

Di sebalik nikmat tangan dan kaki

Oleh Siri Kitab Qalbun Salim

ALLAH SWT tidak menjadikan sesuatu perkara itu dengan sia-sia dan semuanya mempunyai tujuan yang khusus terutama membabitkan anggota berkait rapat dengan manusia sudah pasti Allah mengurniakan dengan tujuan ketakwaan dan iman.

Ketahuilah Allah SWT menjadikan kedua-dua tangan dan kedua kaki untuk kebaikan di dunia dan akhirat malah anggota berkenaan penting untuk seseorang hamba melakukan tugasan hariannya.

Menerusi tangan dan kaki ini, manusia yang dikurniakan nikmat sempurna kejadian tubuh badan dapat mencari rezeki yang halal untuk dirinya, keluarga, anak-anak, malah membantu masyarakat sekeliling.

Imam Ghazali RH menyatakan rezeki terbahagi kepada empat iaitu:

1. Madhmun iaitu rezeki yang sudah dijamin Allah SWT

Rezeki ini seperti makanan yang boleh diperoleh tanpa mencarinya untuk membolehkan seseorang beribadah kepada Allah SWT. Allah sudah menjaminnya kerana Dia yang memerintahkan hamba untuk beribadah sudah pasti Dia yang menjamin rezeki.

2. Maqsum iaitu rezeki yang sudah dibahagikan oleh Allah

Itulah yang sudah dibahagikan oleh Allah SWT dan ditulis di Lauh Mahfuz seperti apa yang dimakan, diminum dan dipakai selama mana seseorang itu hidup dan pada waktu yang ditentukan ia tidak bertambah atau berkurang.

3. Mamluk iaitu yang dimiliki oleh hamba

Ia adalah rezeki yang dimiliki oleh seseorang hamba termasuk harta di dunia itu mengikut apa yang sudah ditentukan dan dibahagikan oleh Allah SWT kepadanya.

4. Mau'ud iaitu rezeki yang dijanjikan oleh Allah SWT

Rezeki yang sudah dijanjikan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya yang bertakwa.

(Sumber Kitab Minhaj al Abidin)

Allah SWT berfirman: "...Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki daripada jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah sudah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu." (Surah At-Talaq, ayat 2 hingga 3)

Isnin: Hikmah nikmat anggota tubuh

Disiarkan pada: July 10, 2020 @ 9:44am
d