addin

Masjid indah tetapi kosong hidayah

DARIPADA Ali bin Abi Thalib RA, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sudah hampir tiba suatu zaman apabila tiada yang tinggal daripada Islam itu kecuali namanya sahaja dan tiada tinggal daripada al-Quran kecuali tulisannya sahaja. Masjid dibina indah, tetapi kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang berada di bawah langit. Daripada merekalah keluarnya segala fitnah dan kepada mereka fitnah itu kembali." (Hadis Riwayat Baihaqi)

Hadis di atas adalah pernyataan jelas daripada Nabi SAW berkenaan perihal tanda yang menghampiri kiamat sesuatu zaman apabila terjadinya tiga keadaan. Ringkasnya, tiga keadaan itu adalah:

1. Al-Quran hanya tinggal tulisan. Ia bermakna al-Quran sudah tidak diamalkan di dalam kehidupan, tidak dibaca seharian, tidak dihayati segala peringatan dan perintah yang terkandung di dalam kitab suci itu oleh manusia dan al-Quran hanya tinggal tulisan. Keadaan itu juga memperlihatkan kepada kita bahawa tiada lagi penghafaz al-Quran atau pun tiada lagi individu yang mengambil setiap peringatan dan perintah di dalam al-Quran sebagai panduan hidup seharian.

2. Masjid yang besar dan indah, namun jemaahnya kurang atau tiada. Situasi ini sudah kita lihat sedikit demi sedikit pada zaman sekarang. Mungkin untuk solat fardu Jumaat, semua masjid penuh namun cuba kita perhatikan jemaah yang datang menunaikan solat fardu lain. Ada sesetengah masjid yang boleh dikatakan kosong apabila yang mendirikan setiap waktu solat fardu adalah imam, bilal dan ahli jawatankuasa masjid sahaja.

3. Ulama pada waktu itu tidak menyelesaikan masalah, tetapi menambah kekeliruan. Kenyataan ini juga jelas, kita menghampiri zaman apabila ulama yang seharusnya menyelesaikan masalah tidak berbuat demikian, sebaliknya menambah kekeliruan sedia ada.

Jika kita perhatikan dunia Islam hari ini, keadaannya tidak begitu jauh dengan gambaran hadis berkenaan. Kalau pun belum sampai, ia semakin hampir dengan setiap kenyataan hadis daripada Rasulullah SAW.

Golongan ulama jahat yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah ulama su' yang menjual agama dengan harta benda dunia, bukan ulama akhirat yang mewarisi tugas para nabi dan meneruskan penyebaran dakwah dari zaman ke zaman.

Ahad: Umat Islam mengikuti langkah Yahudi dan Nasrani

Disiarkan pada: July 11, 2020 @ 10:04am
d