addin

Transformasi organisasi masjid: Bagi peluang profesional

Oleh Sarfarizmal Md Saad

Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Apabila kamu melihat seorang lelaki sentiasa dan rajin menuju ke masjid-masjid, maka saksikanlah baginya dengan iman." Riwayat al-Tirmizi (2617)

Ia adalah suatu dalil yang jelas dan sahih kepentingan kita untuk menjadikan masjid atau Rumah Allah sebagai rumah kedua kita
di dunia ini.

Pesanan ini bukan baharu diberitahu, malah lebih 1400 tahun dahulu diajar kepada kita. Persoalannya, sejauh mana kita mengikut apa yang diajar Kekasih Allah ini?

Isu dan cabaran untuk memenuhkan saf masjid serta surau ini bukan masalah baharu, sebaliknya ia sudah lama menjadi barah atau virus dalam kalangan komuniti beragama Islam di negara kita.

Pelbagai pendekatan dan idea dicurahkan pelbagai pihak untuk menyelesaikan saf masjid dan surau yang kosong, namun ia tetap menemui jalan buntu dan gagal.

Ia menjadi makin parah dan serius apabila menyentuh kepada isu kekurangan remaja hadir mengimarahkan Rumah Allah sekurang-kurangnya pada waktu solat Maghrib dan Isyak.

Pergilah ke mana-mana masjid atau surau di 14 negeri di negara ini, sudah pasti virus ini menjadi masalah terbesar bagi jawatankuasa masjid dan surau berkenaan. Justeru, di manakah punca dan salah kita?

Maaf bercakap, sebagai jemaah yang masih dalam lingkungan umur pertengahan (tidak terlalu remaja dan tidak terlalu warga emas), penulis amat kecewa dan sedih apabila ramai dalam kalangan 'pak lebai' dan 'kaki masjid' yang masih meletakkan salah ke atas diri remaja dan jiran yang enggan hadir ke masjid serta surau.

Sebaliknya, sesetengah daripada mereka ini yang bergelar 'pak lebai' dan 'kaki masjid' tidak pernah langsung memandang diri sendiri bersalah atau melihat tindakan mereka masih tidak cukup impak sehingga masih banyak ruang kosong saf masjid atau surau belum diisi.

Bak kata pepatah, satu jari menunjuk salah orang, ingat empat jari lagi sedang menunjuk pada diri kita.

Dalam kita asyik mencari salah orang lain, rupa-rupanya tanpa disedari, kita sendiri punya empat kali ganda salah.

Justeru, bersifat tabayyun dalam kita menafsir mereka yang tidak datang ke Rumah Allah setiap kali azan dikumandangkan.

Sudah cukup dengan sikap kita yang suka memandang salah orang lain dan yang menganggap orang lain tidak layak bergelar ahli syurga kerana tidak mahu menyahut seruan Ilahi untuk berjemaah. Kalau begitu, apa perlu kita lakukan?

Dalam memerangi virus sikap ini, selaku 'pak lebai' atau 'kaki masjid', kita perlu mencontohi akhlak Baginda Rasulullah yang bukan sahaja tenang dan sabar, malah Baginda juga sentiasa positif serta lemah lembut dalam bertindak.

Seharusnya kita lebih berkawan dan rapat dengan mereka yang langsung tidak pernah jejak kaki ke pintu masjid dan surau. Ini tidak, kita hanya selesa untuk berkawan dengan mereka yang selalu datang ke masjid dan surau, tetapi memandang jijik kepada mereka yang tidak langsung hadir ke Rumah Allah.

Jangan begitu, reda Allah adalah suatu perkara yang tidak nampak. Tidak mustahil mereka yang kita keji itu lebih cepat dapat reda Allah berbanding kita yang setiap hari mengikuti kuliah agama di masjid serta surau.

Satu lagi perkara yang mungkin kita terlepas pandang dalam menghapuskan virus sikap manusia yang tidak mesra kepada Rumah Allah ini adalah struktur organisasi masjid dan surau itu sendiri.

Kebanyakan yang berlaku di zaman terdahulu, mereka yang memegang jawatan dalam jawatankuasa kariah masjid dan surau lazimnya daripada golongan agamawan semata-mata.

Sekiranya ada orang asing (bukan ilmuan agama) atau ada mereka yang profesional mahu dilantik sebagai jawatankuasa masjid dan surau, ia dianggap seperti makan budu dengan 'chicken chop', amat tidak kena dan kontradik.

Walhal, tiada siapa menghalang daripada apa saja latar belakang manusia untuk mengisi jawatan dalam masjid atau surau. Waima undang-undang negara atau hukum-hakam dalam Islam, tidak pula mensyaratkan mereka yang ahli dalam jurusan ilmu Islam sahaja yang boleh mengisi jawatan berkenaan.

Ini satu ideologi yang sudah lama terpasak dalam diri masyarakat kita.

Apa salahnya doktor perubatan menjadi pengerusi masjid atau surau? Di mana lompongnya jika usahawan terkenal menjadi ahli jawatankuasa Rumah Allah? Berdosakah pegawai kerajaan gred JUSA A dilantik menjadi pengerusi lajnah dakwah masjid atau surau? Ya, salah bagi masyarakat Melayu kita.

Bagi kita yang punya ideologi cara lama, apa sahaja jawatan dalam masjid dan surau perlu diisi seorang yang bergelar syeikh, habib, maulana, ustaz, tuan haji atau sekurang-kurangnya 'pak lebai'.

Tiba masanya pada 2020 seluruh masjid dan surau dalam negara kita membuat transformasi dalam organisasi dan cara kerja masjid serta surau.

Mulai saat ini, jangan takut lagi melantik mereka yang bukan dalam bidang agama untuk memegang jawatan dan berfungsi secara langsung terhadap organisasi masjid serta surau kita.

Percayalah, sekiranya kaedah ini digunapakai dengan sehabis baik, institusi masjid dan surau akan lebih berkembang maju dengan cukup pesat.

Tidak percaya? Cuba pada sesi akan datang setiap masjid dan surau membuat perubahan drastik. Izinkan 'muka lama' berundur diri daripada memegang jawatan utama di masjid dan surau, lantik mereka yang profesional bagi mengisi jawatan tertentu.

Yakni mereka yang punya idea baharu, mereka yang punya networking yang besar untuk projek kemajuan masjid serta surau, mereka yang mampu lebih banyak menyumbang kepada tabung masjid dan surau.

Insya-Allah, sekiranya garapan antara perubahan cara kita berfikir terhadap mereka yang jarang datang ke masjid dan surau serta membenarkan profesional bagi mengisi jawatan utama dalam organisasi di masjid dan surau, ia pasti akan membawa dimensi berbeza terhadap masjid serta surau berkenaan.

Percayalah dengan izin Allah, kita sendiri akan menjadi saksi bahawa masjid dan surau itu akan berubah daripada sebuah Rumah Allah yang suram dan muram menjadi sebuah rumah ibadah yang menjadi titik tumpuan masyarakat setempat. Insya-Allah, saya doakan.

Penulis adalah ahli Lajnah Hal Ehwal Belia,  Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Islami),  Cawangan Wilayah Persekutuan Putrajaya

Disiarkan pada: October 16, 2020 @ 7:00am
d