addin

Satu amanah yang berat

Oleh Nor Asree Mohd Noh

Di dalam buku A Ranking of The Most Influential Persons in History yang dikarang oleh Michael H  Hart,  Rasulullah SAW  tersenarai dalam kedudukan pertama, orang paling berpengaruh yang tertullis dalam liputan sejarah manusia. Perkara ini membuktikan junjungan besar Nabi Muhammad SAW  bukan sahaja mendapat pengiktirafan dalam kalangan orang Islam, bahkan bukan Islam. Ciri kepemimpinannya  menjadikan antara elemen yang dikagumi oleh dunia dulu dan kini.  Hal ini tidak perlu diperkatakan lagi apabila kelahiran baginda SAW ke dunia ini membawa rahmat ke seluruh alam, sebagai firman Allah SWT:  "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (Surah al-Anbiyaa': 107)

Rasulullah SAW  satu-satunya pemimpin agung yang wajib dicontohi oleh semua orang tidak kiralah sama ada ia bermula daripada membina sekecil sebuah keluarga sehingga sebesar sebuah negara. 

Dalam keluarga, Rasulullah SAW  pernah memiliki isteri, anak dan cucu yang semuanya dilayani dengan kasih sayang dan rahmat. Bila berjiran tetangga, baginda SAW  sangat mengambil berat orang sekelilingnya supaya hak mereka senantiasa terjaga. Semasa memimpin dan mentadbir, Rasulullah SAW  menyelesaikan segala masalah negara dengan menyatukan kaum yang bermusuhan puluhan tahun, menjaga kebajikan rakyat, menunaikan hak semua makhluk termasuk binatang dan tumbuhan, menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran, menjaga keselamatan negara serta menegakkan keadilan.

Selepas kewafatan Nabi SAW, legasi memimpin umat ini diteruskan Khulafa' Ar-Rasyidin bermula daripada Abu Bakar RA, Umar RA, Uthman RA  dan Ali RA.  Mereka ini sahabat yang dimuliakan oleh Tuhan, bukan kerana ketakwaan kepada Allah SWT  semata-mata, akan tetapi besarnya pengorbanan yang dicurahkan demi 'menyambung rahmat' agama Islam seperti yang dibawa oleh Rasulullah SAW  sebelum ini.

Antara pengorbanan yang dimaksudkan adalah meletakkan rakyat jelata di bawah jajahan mereka hidup dalam keadaan rahmat dan terbela. Keimanan mereka yang jitu kepada Allah SWT  membuatkan jawatan yang digalas mereka bukan sesuatu perkara main-main, bahkan ia adalah tanggungjawab dan amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah Azzawajalla kelak. Oleh itu, tidak hairan terdapat begitu banyak riwayat yang mengisahkan perihal keprihatan mereka buat rakyat mereka. 

Sejarah juga membuktikan mereka pemimpin yang hebat dan disegani disebabkan jawatan yang dipikul mereka utuh teguh berpandukan al-Quran dan sunah. Hak dan rintihan rakyat jelata menjadi perkara utama semasa tampuk pemerintahan mereka. Sebagai contoh, Khalifah Islam Kedua, Saidina Umar al-Khattab RA  diceritakan banyak menghabiskan masanya untuk mengambil tahu hal ehwal rakyat di bawah jajahannya. Disebut dalam banyak riwayat bahawa Saidina Umar  sering meronda kawasan terutama pada waktu malam untuk menyelami kehidupan masyarakat di luar sana. 

Contohnya riwayat yang dinukilkan oleh Ibnu Asakir dalam bukunya Tarikh Dimashq (m/s 353-354), suatu hari Khalifah Umar RA  keluar bersama pembantunya, Aslam menuju ke bandar Hurrah. Setibanya beliau di Sarar, beliau melihat terdapat nyalaan api dari jauh dengan sangkaan ada pengembara sedang bermalam dalam kesejukan. Lalu mereka bersegera mendekatinya dan ternyata di situ adalah seorang wanita duduk bersama beberapa anaknya yang menangis. Ketika itu, wanita berkenaan sedang memasak sesuatu dengan meletakkan sebuah periuk di atas api. Lantas Saidina Umar RA  meminta izin si wanita tadi untuk memasuki kawasannya dan menanyakan khabar. Wanita itu memaklumkan beliau bahawa mereka tidak mempunyai tempat bermalam dan berada dalam keadaan kesejukan. Tangisan anak-anaknya adalah disebabkan kelaparan.

Saidina Umar RA  dalam keadaan hairan menanyakan apakah yang dimasak oleh sang ibu di dalam periuk itu. Wanita tadi mengatakan bahawa ia hanyalah air yang dinyalakan api di atasnya bagi menenangkan anak-anaknya agar mereka menyangka ada makanan sedang dimasak, hinggalah mereka tertidur kepenatan. Selepas mendengar itu, Umar RA  dan pembantunya terus menuju ke gudang penyimpanan bekalan dan mengambil gandum dan minyak samin (sejenis minyak yang sering digunakan oleh orang Arab untuk memasak dan menambah aroma) untuk wanita terbabit. Lalu Umar berkata: "Bawalah ini atas perintahku". Aslam berkata: 'Kalau begitu, aku akan mendapat pahala daripada makanan itu." Kemudian Umar menyahut kembali dengan kata-kata indah keluar dari mulutnya: 'Kamu kira kamu akan mendapat pahala daripada perbuatan baikku pada hari kiamat nanti? Sungguh kamu tidak akan menanggung beban dosa mahupun pahala sesiapa pun.'"

Setelah itu, beliau sendiri memikulnya menuju ke tempat wanita tadi. Seterusnya, Khalifah Umar RA  menolong menyalakan api dan memasakkan gandum bersama minyak samin untuk diberikan kepada sang ibu dan anaknya yang sedang kebuluran. Beliau  sedikit tidak berganjak dari tempat itu sehingga memastikan mereka sudah kenyang. Lalu wanita itu berkata: "Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan."

Peristiwa seakan-akan ini sering didengari dalam sejarah hidup Khalifah Umar RA. Hal ini mencerminkan bahawa jiwa beliau  bergerak untuk memenuhi perintah Allah SWT  bahawa jawatan itu adalah amanah yang akan dipersoalkan sebagaimana firman Allah Azzawajalla:  "Sesungguhnya Kami kemukakan amanah Kami kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya dan (pada ketika itu) manusia sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia akan melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara yang tidak patut dikerjakan." (Surah al-Ahzab: 72)

Ciri-ciri kepemimpinan seperti Khalifah Umar RA  wajib ditelani oleh setiap pemimpin bagi memastikan kesejahteraan dan keharmornian terus dirasai oleh semua rakyat. Setiap apa yang dilakukan mereka (Khulafa' ar-Rasyidin) tidak lain tidak bukan adalah semata-mata mencari reda Allah SWT. Agenda untuk meraih kepentingan peribadi daripada jawatan, pangkat mahupun kuasa adalah suatu yang tidak ada sama sekali dalam kamus kehidupan mereka.

Oleh itu, setiap pemimpin yang memimpin diingatkan jawatan disandang bukan suatu anugerah malah suatu amanah berat yang pasti akan dipersoalkan. Selain itu, seseorang pemimpin perlu menanamkan dalam diri perasaan takwa dan 'takut' dengan bebanan yang ditanggungnya kerana bimbang jika tersalah menggunakan kuasa akan mengundang murka Allah SWT  kelak. 

Penulis Timbalan Dekan dan Pensyarah  Fakulti Bahasa dan Pendidikan, Kolej Universiti Islam Melaka (Kuim)

Disiarkan pada: October 20, 2020 @ 5:59am
d