addin

Hilangnya harga diri

Oleh Prof Emeritus Datuk Zakaria Stapa

Kebelakangan ini dalam kehidupan harian masyarakat Muslim di Malaysia, terdapat banyak perkara berlaku yang membuatkan orang boleh mempersoalkan perihal berkaitan dengan maruah dan harga diri sebagai seorang Muslim. Pada aras mana sebenarnya terletak maruah dan harga diri dalam kalangan Muslim?  Masihkah ada lagi berbaki maruah dan harga diri itu dalam diri Muslim berkenaan atau sudah benar-benar larut terhakis bersama dengan perlakuan mungkar yang dilakukan?  

Tentunya kalangan Muslim yang waras dan berpegang dengan ajaran agama yang mereka anuti akan terkejut dan mengeluh  apabila terdapat dalam kalangan saudara mereka  tanpa sebarang silu dan rasa malu  sanggup mengaku secara terbuka di media massa pembabitan  dalam perbuatan mungkar yang terkutuk daripada segi agama.

Tidak kurang pula yang membuang bayi kelahiran luar nikah di merata tempat untuk menutup malu daripada perbuatan zina yang dilakukan, sekalipun dalam banyak kes mereka akan terpaksa juga menanggung malu yang mereka cuba selindungi.  

Di samping itu, bukan sedikit pula kalangan Muslim terjebak dalam perlakuan rasuah dan pecah amanah yang melibatkan tidak hanya jumlah kewangan atau aset yang sedikit, malah mencecah berbilion ringgit. Inilah sebahagian fenomena yang boleh diperhatikan dengan baik yang sedang berlaku dalam kalangan umat Islam.  Justeru, orang akan mempersoalkan di mana silapnya proses pendidikan agama yang diterapkan dalam masyarakat Muslim semasa?

Sekiranya fenomena kehilangan rasa malu sehingga mencalar harga diri yang terjadi dalam kalangan umat Islam seperti contoh di atas dianalisis berdasarkan perspektif kerohanian Islam, maka ia akan berkait langsung dengan suatu aspek pembangunan al-nafs manusia. 

Menurut pencerakinan psikologi rohaniah Islam, dalam al-nafs manusia secara tabiinya, terdapat dua tabiat yang diistilahkan sebagai al-shahwah  dan al-hawa. Istilah al-shahwah adalah suatu asas yang muncul di setiap sudut badan manusia yang sentiasa cuba merealisasikan pelbagai tujuannya. Justeru, syahwat perut adalah makan dan minum, syahwat mata memandang, syahwat telinga mendengar, syahwat lidah bercakap, syahwat mulut merasa (mengecap), syahwat hidung mencium, syahwat lidah bercakap, syahwat tubuh bersentuhan dan begitulah seterusnya. 

Adapun al-hawa pula merujuk kepada kecenderungan tabii yang menguasai al-nafs dan segala laku perbuatannya dalam usaha dan percubaan untuk merealisasikan segala bentuk kegemaran al-nafs tersebut bagi mendapatkan kelazatan yang bersifat tidak boleh dilihat atau dirasai dengan deria rasa, seumpama kelazatan memiliki kuasa, kebesaran dan sanjungan. 

Bagaimanapun, kedua-dua tabiat al-nafs di atas, dalam pendekatan kerohanian Islam mestilah dikawal, dilatih dan dididik dengan sempurna supaya kedua-duanya berada dalam keadaan yang selaras dengan tuntutan syariat Islam dan kewarasan akal murni manusia yang merupakan pengukur nilai akhlak mulia yang diterima pakai oleh kalangan moralis Muslim seperti Imam al-Ghazali. 

Sekiranya kedua-dua tabiat berkenaan dibiarkan tanpa latihan dan didikan yang sempurna dengan menggunakan pendekatan seumpama tazkiyat al-nafs, maka ia akan muncul menjadi penghancur atau pemusnah kepada manusia dan kemanusiaan seluruhnya. 

Contohnya, dalam konteks al-hawa misalnya, kalau dibiarkan tanpa dilatih dan dididik dengan sempurna, ia akan boleh memunculkan dalam diri manusia sejumlah sifat akhlak buruk yang amat ditakuti oleh kalangan moralis Muslim. 

Antaranya yang utama ialah apa yang diistilahkan sebagai hub al-dunya wa karahiyat al-mawt (cinta dunia dan benci kepada kematian).  Sifat ini selalunya ditandai oleh usaha gigih secara bermati-matian mencintai sesuatu yang bersifat keduniaan, dan pada masa sama bermati-matian pula benci dan takut kepada kematian. 

Sifat seumpama ini selalunya akan menyebabkan orang yang menganutinya melakukan apa sahaja, tanpa mengira dengan cara apa dan jalan mana sekalipun, untuk mencapai sesuatu yang bersifat keduniaan.

Masalah besar yang dihadapi oleh umat Islam semasa, tentunya termasuk di Malaysia  adalah jelas tertumpu kepada mereka tidak disediakan secukupnya dengan pendidikan kerohanian yang sewajarnya. 

Dalam konteks ini, aspek berkaitan pendidikan, latihan, dan pengawalan aspek al-nafs adalah satu perkara yang kelihatannya terabai dan tidak berjaya diselesaikan oleh pelbagai institusi yang wujud di tengah masyarakat dan  itu menghasilkan jenis manusia Muslim  dalam pelbagai sektor kehidupan yang melibatkan aspek sosial, politik dan ekonomi  yang sanggup melakukan perkara tidak bermaruah dan amat memalukan, yang kelihatan dalam keadaan tertentu berasa bangga pula dengan perbuatan tidak bermaruah. 

Justeru, masyarakat Muslim, jelasnya tidak ada jalan lain selain daripada perlu kembali memikir secara serius, merancang dan melaksanakan secara sungguh-sungguh pendidikan kerohanian bagi mengelak daripada umat Islam terus terpesong dalam kancah pencemaran akhlak yang amat memalukan dan seterusnya akan mengancam kesejahteraan hidup akhirat mereka.

Penulis Profesor Emeritus Pengajian Islam  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 7:05am
d