addin

Masa laju mengejar kita!

Oleh Prof. Madya Dr. Azlan Shaiful Baharum

Terlalu pantas masa berputar dan bergerak. Pejam celik kita sudahpun sampai ke penghujung tahun 2020 iaitu bulan Disember. Pergerakan masa ini dianggap lumrah kehidupan yang akan bergerak dengan cepat sama ada kita sedar atau tidak menyedarinya. Ini bertepatan dengan kata pujangga Arab: "Masa itu umpama sebilah pedang, jika kamu tidak memotongnya, nescaya dia akan memotong kamu (meninggalkan kamu tanpa kamu sedari)." Kata-kata ini cukup memberikan pengajaran kepada kita mengenai betapa berharganya masa dalam kehidupan kita. 

Cendekiawan Arab selalu mengaitkan masa dengan sesuatu yang berharga umpamanya: "Masa itu umpama emas, hanya orang memahami harganya yang mengetahui nilainya." Begitu juga kata-kata pujangga: "Masa itu ibarat makanan, lama kelamaan ia akan habis dan akan jadi sisa serta dibiarkan bagi orang yang tidak menghargainya." Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, dirasakan peralihannya cukup pantas, dek pandemik Covid-19 dan pelbagai cabaran yang dihadapi di seluruh dunia pada masa ini.

Sudah tentu semua ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihatmu sebelum sakit. Masa kayamu sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapangmu sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan masa hidupmu sebelum tiba masa mati." (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi). Ini jelas membuktikan Nabi SAW sangat menitikberatkan umatnya untuk meneliti setiap aspek kehidupan supaya setiap yang dilalui itu tidak diisi dengan perkara yang sia-sia. Baginda menekankan lima aspek penting iaitu kesihatan, kekayaan, kelapangan, kecergasan dan ketangkasan (zaman muda) dan kehidupan. 

Peringatan Allah SWT di dalam al-Quran mengenai kesibukan manusia mengejar dunia dirakamkan dalam Surah at-Takathur ayat 1 dan 2 yang bermaksud: "Kamu semua (manusia) telah dilalaikan (dan tamak) dengan perkara-perkara yang banyak. Hinggalah kamu menziarahi kubur-kubur (masuk ke dalamnya)." Amaran Allah SWT ini jelas mengingatkan kita betapa manusia di muka bumi ini alpa dengan perkara dunia. Jika tidak diuruskan dengan baik, maka empat perkara yang disebutkan itu iaitu anak-pinak, harta benda, pangkat dan pengaruh itu akan menjadi 'Tuhan' dan kita pula menjadi hambanya.  Alangkah malangnya nasib golongan manusia begini!

Oleh itu antara panduan dan tips yang penting untuk memanfaatkan lima aspek utama kehidupan yang disebutkan oleh baginda Nabi SAW di awal bicara tadi ialah: 

Memanfaatkan masa lapang: Kita hendaklah mengisi masa lapang yang ada  dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah dan tidak memudaratkan. Pada musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini ramai orang mempunyai masa yang banyak di rumah. Oleh itu gunakanlah masa yang terluang untuk bekerja dari rumah dengan sebaiknya, berniaga secara dalam talian, beriadah bersama keluarga, beribadah bersama pasangan dan anak-anak semaksimum yang boleh. Lakukanlah hobi yang baik dan bermanfaat bukan untuk kepentingan diri sendiri sahaja, tetapi untuk dikongsikan dengan orang lain.

Memanfaatkan masa sihat: Orang yang sedang sihat dan cergas pula, jangan memudaratkan diri dengan menyalahgunakan najis dadah dan merokok. Kita juga dilarang mendedahkan diri kita kepada pencemaran alam sekitar, persekitaran yang tidak kondusif, aktiviti ekstrem yang berbahaya dan mengancam nyawa serta melakukan aktiviti dan hubungan yang tidak sihat. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: "Dan janganlah mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan." Selain itu, kita disarankan untuk mengamalkan pemakanan yang sihat, tidur yang mencukupi supaya nikmat kesihatan tubuh badan kurniaan Allah ini dipelihara dengan sebaik mungkin. Jangan setelah sakit, barulah adanya penyesalan tidak berkesudahan.

Memanfaatkan waktu muda: Memantapkan bekalan ilmu yang bermanfaat sebanyak yang mungkin dalam semua cabangnya (ilmu duniawi dan agama), berusaha mengamalkannya. Ini kerana tempoh ini golongan muda terutama remaja dan belia mempunyai tenaga, semangat dan keupayaan yang tinggi. Ini bertepatan dengan sebuah hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang bermaksud:  "Tujuh golongan dinaungi Allah SWT pada hari yang tiada naungan lain melainkan naungan-Nya (pada hari akhirat) iaitu salah seorang adalah pemuda yang membesar dan rajin beribadah." (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Selain itu, golongan muda hendaklah menghormati ahli masyarakat yang terdiri daripada pelbagai keturunan, agama dan bangsa. Pemuda yang baik bukan hanya asyik dengan permainan gajet dan game online sehingga menimbulkan ketagihan yang melampau serta menjejaskan kesihatan. 

Memanfaatkan kekayaan: Manusia yang dianugerahkan oleh Allah dengan kekayaan, jangan menyalahgunakannya dengan berfoya-foya tanpa batasan. Kita sewajarnya menggunakan harta yang diberikan Allah SWT untuk membantu golongan  asnaf, fakir miskin serta orang yang susah sama ada dalam atau di luar negara. Bak kata orang bijak pandai: "Jangan tunggu kaya baru hendak bersedekah, tetapi bersedekahlah untuk menjadi orang yang kaya (jiwa dan harta). Berdoalah agar kita menjadi hartawan yang soleh dan dermawan, bukan hartawan yang kikir dan mementingkan diri sendiri sahaja. Harta yang halal dan berkat bukan diperoleh dengan cara rasuah, penyelewangan ataupun berjudi. Ini semua penting untuk menjamin keberkatan hidup dan keredaan-Nya.

Memanfaatkan kehidupan: Allah berfirman dalam surah al-An'am, ayat 162 yang bermaksud: "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanya kerana Allah Tuhan Sekalian Alam." Maka untuk menjamin kelangsungan hidup yang baik, ikutilah perintah Allah dan sunah Nabi SAW, dengan berpandukan Maqasid Syariah yang sudah ditetapkan. Membina masyarakat yang kukuh melalui keluarga yang merupakan unit paling kecil dalam sesuatu komuniti. Keluarga yang bahagia adalah asas masyarakat madani yang sempurna. Terapkanlah asas takwa, amanah dan ikhlas sebagai asas kehidupan manusiawi yang bertunjangkan elemen rabbani.

Di samping itu, kita perlu membetulkan akidah mengikut ahli Sunnah Wal Jamaah, mempelajari syariah dan membina akhlak mahmudah. Pendek kata, semuanya adalah asas kehidupan yang akan membawa kehidupan yang berlandaskan keredaan Allah.

Marilah kita mengamalkan doa yang disarankan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabda baginda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang dibaca sebelum memberi salam dalam solat yang bermaksud: "Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada seksa neraka jahanam, daripada seksa kubur, daripada fitnah kehidupan dan kematian, serta daripada kejahatan fitnah al-masikh ad-Dajjal." (Hadis riwayat Muslim)

Akhirnya, ingatlah segala nikmat yang diperoleh oleh manusia terlalu banyak dan tidak terhitung bilangannya. Ambillah semangat motivasi al-Quran daripada ayat pertama surah al-Kauthar yang bermaksud: "Sesungguhnya kami telah menganugerahkan kepadamu al-Kauthar (nikmat yang melimpah ruah dunia dan akhirat). "

Penulis Profesor Madya, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia

Disiarkan pada: December 3, 2020 @ 6:00am
d