addin

Jangan mudah mengeluh

Oleh Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

IMAN adalah harta paling berharga yang dimiliki oleh Muslim di dalam kehidupan ini. Iman juga yang bertindak sebagai piawaian yang menentukan martabat seseorang manusia di sisi Allah SWT sama ada berbahagia di dunia dan akhirat ataupun sengsara yang tidak berkesudahan dalam neraka. Oleh itu, untuk menilai tahap kualiti iman Muslim, maka Allah SWT sentiasa mengujinya dengan berbagai-bagai bentuk ujian dan cubaan dalam kehidupan seharian. Adakalanya ujian itu berupa musibah atau bala yang amat membebankannya dan ada juga ujian itu berbentuk sesuatu yang amat menyenangkan hatinya. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman dalam surah al-Anbia', ayat 35 yang bermaksud: "Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan."

Meminjam kata-kata Sayyid Qutub dalam kitab tafsirnya Di bawah Bayangan al-Quran, beliau menegaskan kedua-dua bentuk ujian ini sebenarnya mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk mengingatkan dan menyedarkan manusia supaya tidak lupa diri kepada Allah SWT. Namun, apa yang berlaku pada hakikatnya, ramai yang tidak sedar diri maupun insaf dengan peringatan Allah SWT itu. Justeru, ramailah daripada kalangan manusia yang lupa diri dan akhirnya mereka mula semakin berani melanggar hukum hakam ketetapan Ilahi.

Begitulah lumrah realiti kehidupan yang senantiasa menghiasi pentas hidup manusia. Ada kejayaan dan kegagalan, kemenangan dan kekalahan, kegembiraan dan kedukaan, untung dan rugi, sihat dan sakit dan sebagainya. Yang pentingnya, ujian yang mendatang itu adalah sebagai ukuran terhadap iman yang bertakhta dalam hati. Sama ada berjaya atau tidak adalah bergantung kepada sejauh mana kemampuannya mendepani ujian-ujian tersebut. Sehubungan itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya kamu tetap melalui beberapa keadaan yang bertingkat-tingkat baik buruknya, (sebelum kamu menemui Tuhan - menerima kesenangan dan kebahagiaan atau sebaliknya)."  (Surah al-Insyiqaq, ayat 19)

Jika kita merenung dengan lebih mendalam tentang realiti kehidupan manusia di dunia ini, dengan memberi tumpuan kepada aspek metafiziknya, maka secara fundamentalnya tiada sebarang kesulitan dan kepayahan kehidupan manusia. Hal ini kerana manusia dikurniakan Allah sumber kekuatan dan keupayaan untuk menelusuri perjalanan hidup yang penuh onak dan duri. Untuk itu, manusia dilengkapkan oleh Allah SWT dengan kemampuan fizikal, kecerdasan akal fikiran dan kecelikan hati nurani untuk menyesesuaikan diri dengan sebarang situasi yang melanda di samping mencari jalan untuk mengatasi kesulitan yang dihadapi. 

Jika direnung pada makna ujian dan kesulitan yang mewarnai pentas kehidupan ini, ternyata bahawa ujian dan kesulitan itu dapat menjana kekuatan dan ketahanan diri manusia. Tanpa ujian dan kesulitan, tidak akan wujud istilah kemajuan dalam kamus kehidupan manusia. Perlu ditegaskan manusia adalah makhluk yang sentiasa belajar memahami erti kehidupan. Justeru, manusia belajar dan menjadi kuat kerana berjaya menghadapi tentangan kesulitan yang merintangi di hadapannya. Sebaliknya, tanpa kesulitan dan kepayahan, daya kekuatan fizikal dan kecerdasan akal yang dimiliki manusia, tidak akan ada ertinya dan tiada manfaat sama sekali. Tanpa kesulitan dan ujian juga, daya pemikiran dan kewarasan manusia pun akan terencat, sekali gus akan membantutkan survival manusia dalam kehidupan yang penuh dinamik dan sentiasa berubah ini.

Dalam erti kata lain, kesulitan dan ujian hidup, jika dilihat daripada sumber kehidupan adalah satu jalan pendakian menuju ke puncak kejayaan, kebahagiaan dan keredaan Ilahi. Oleh sebab itu, kesulitan hidup jangan dikeluhkan, apatah lagi dicaci maki kerana kelak ia akan menghancurkan kemampuan yang dimilikinya. Maka, ada baiknya setiap kesulitan dan ujian hidup akan dihadapinya sebagai langkah untuk mendekatkan diri ke hadrat Allah SWT yang Maha Esa.

Oleh yang demikian, setiap Muslim janganlah mudah berputus asa daripada Rahmat Ilahi dan jangan pula mudah mengeluh kerana keluhan yang dilafazkan hanya akan mengakibatkan kesulitan itu menjadi lebih berat dan sukar untuk ditangani. Di satu segi yang lain, kegagalan bukan bererti gagal selama-lamanya. Ini adalah falsafah hidup yang sewajarnya menjadi pegangan hidup Muslim di dunia yang serba mencabar ini. Sepatutnya kegagalan yang ditempohi itu mampu menyuntik semangat juang dan meningkatkan keimanan serta ketabahan dalam menelusuri hidup yang penuh pancaroba. 

Selanjutnya, umat Islam sewajibnya memahami dan menyedari makna kehidupan sebenar yang sarat dengan ujian, perjuangan dan pertarungan sengit yang bakal menentukan kualiti diri insan sama ada merupakan insan yang salih atau insan yang tolih. 

Kesimpulannya, ujian hidup ini sebenarnya adalah satu perjalanan hidup yang pasti dan mesti dilalui oleh setiap insan yang menghuni bumi Allah ini. Setiap insan sewajarnya bersiap sedia kerana ujian itu kadang-kadang menjelma tanpa diundang dan disedari olehnya biarpun tidak dirancang sama sekali. Ini kerana ujian itu berada di bawah ketentuan dan ketetapan Ilahi jua. Yang paling penting sekali, tidak kira sama ada kesenangan mahu pun kesusahan yang menimpa, setiap Muslim berbekalkan keimanan kepada Allah SWT semestinya bersedia mendepani setiap liku-liku hidup yang penuh onak dan duri. Ingatlah kepada Allah taala sentiasa dalam semua keadaan, mudah-mudahan rahmat dan hidayah Allah SWT menemani setiap detik hidup insan yang beriman.

Penulis profesor di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin

Disiarkan pada: December 19, 2020 @ 5:59am
d