addin

Usah buat kerosakan

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

AWAL 2021 ini, beberapa tempat dilanda banjir teruk. Ribuan orang terpaksa mendiami pusat pemindahan mangsa banjir akibat rumah mereka ditenggelami air. Berita menyedihkan turut dilapor media melibatkan kehilangan nyawa insan tidak berdosa akibat lemas dalam air banjir. Ada mangsa yang meninggal dunia lemas kerana usahanya menyelamatkan diri dan orang lain daripada musibah banjir namun Allah SWT lebih menyayangi mereka. 

Berdasarkan berita dan gambar yang dikongsikan dalam berita dan media sosial, banjir kali ini melibatkan banyak kejadian jalan putus, tanah runtuh, mendapan tanah, jambatan dihanyutkan air deras, hakisan tanah dan seumpamanya. Semua kejadian ini pasti mempunyai perkaitan dengan tindakan manusia yang mungkin tersilap langkah dalam mengatur pembangunan fizikal sehingga menjejaskan ekosistem alam.

Memang banjir berlaku disebabkan hujan turun. Walau bagaimanapun, manusia perlu menginsafi bahawa aturan alam ciptaan Allah SWT tidak akan membawa kemudaratan melainkan atas tindakan dan perbuatan manusia sendiri. Ketidakseimbangan ekosistem alam disebabkan perancangan manusia yang tidak tepat akhirnya mengakibatkan bencana alam seperti banjir yang melanda negara sekarang.

Insafilah firman Allah SWT yang bermaksud:  "Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."  (Surah ar-Rum, ayat 41)

Allah SWT menghendaki manusia agar kembali menginsafi tindakan mereka yang menjadi punca berlakunya kerosakan di atas bumi ini. Tindakan salah yang diambil dalam mentadbir alam perlu diperbetulkan dengan mencari jalan penyelesaian agar bencana sama tidak berulang lagi.

Mungkin antara sebab berlakunya perubahan ekosistem alam ialah apabila manusia cuba mencari jalan pintas untuk kemudahan mereka tanpa memikirkan makhluk lain seperti pokok, tanah, bukit yang turut menjadi sebahagian daripada alam. Orang tidak mahu lagi jalan yang berliku-liku kerana dianggap menyukar atau melambatkan perjalanan mereka. Akhirnya jalan baharu yang lurus dibina dengan pokok terpaksa ditebang, bukit-bukau perlu ditarah, kawasan tadahan air hujan terpaksa dikambus sehingga semua ini mengganggu perjalanan ekosistem alam.

Apabila berlakunya hujan lebat maka air tidak mengalir mengikut aturan semula jadi yang betul sehingga menyebabkan berlaku banjir kilat, tanah runtuh, tumbuhan musnah dan sebagainya. Setiap ciptaan Allah SWT mempunyai fungsi yang tersendiri dalam melancarkan perjalanan alam ini. Sebab itu, manusia dilarang sewenang-wenangnya menebang pokok tanpa memikirkan kesan buruk yang akan berlaku sekiranya perbuatan tersebut dilakukan.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  "Sesiapa yang memotong pokok bidara, maka Allah akan merendahkan kepalanya di dalam neraka."  (Hadis riwayat Abu Daud).

Imam Abu Daud dalam kitab sunannya menjelaskan maksud hadis ini merujuk kepada larangan Rasulullah SAW terhadap perbuatan menebang pokok bidara yang tumbuh di tanah lapang tanpa sebarang tujuan munasabah. Perbuatan ini menyebabkan orang yang bermusafir dan haiwan yang melalui kawasan tersebut tidak dapat berteduh pada pokok tersebut.

Lihatlah betapa Islam mengajar manusia agar bijak mengurus alam semesta yang dihuni bukan sahaja oleh manusia, tetapi juga haiwan dan tumbuhan. Sekiranya ada penghuni alam ini tidak dapat berfungsi memberi manfaat kepada yang lain, maka pastinya akan berlaku ketidakseimbangan terhadap ekosistem alam. 

Penciptaan makhluk Allah SWT di atas dunia ini termasuk pelbagai jenis haiwan dan tumbuhan tidak boleh dimusnahkan sesuka hati manusia demi untuk memenuhi kehendak mereka. Kemusnahan alam akan berlaku sekiranya manusia gagal mengurus alam seperti mana yang ditetapkan oleh-Nya. 

Firman Allah bermaksud: "Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya doa diterima)." (Surah al-A'raf, ayat 56

Baru-baru ini tular berita dan gambar melibatkan individu yang dilihat membuang sampah di kawasan yang tidak sepatutnya. Perbuatan ini perlu dijadikan iktibar oleh semua orang agar tidak sekali-kali melakukan perbautan sama. Manusia memang perlu sentiasa diberi peringatan agar melakukan perbuatan baik dan meninggalkan perbuatan salah. Ramai orang boleh menjaga kebersihan dirinya, namun tanggungjawab menjaga kebersihan alam sekitar nampaknya masih sukar untuk disematkan dalam diri.

Usah menuding jari ke arah orang lain. Semaklah diri sendiri yang mungkin melakukan perbuatan yang sama lebih-lebih lagi apabila mungkin keadaan tidak diperhatikan orang lain. Kesedaran untuk menjaga kebersihan alam sekitar mencerminkan sikap murni dalam diri yang prihatin terhadap orang lain. Perbuatan membuang sampah di tempat awam yang tidak sesuai jelas boleh membahayakan orang lain dengan longgokan sampah kotor.

 Rasulullah SAW ada bersabda mafhumnya:  "Takutlah (jauhilah) kalian kepada tiga perkara yang menyebabkan kalian dilaknat iaitu membuang hajat di tempat-tempat sumber air, di tempat berteduh serta di tengah-tengah jalan."  (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Baginda juga ada bersabda:  "Takutlah (jauhilah) dua perbuatan terkutuk." Sahabat bertanya:  "Apakah kedua perbuatan itu, wahai Rasulullah?"  Jawab baginda:  "Orang yang membuang hajat di jalan tempat orang ramai melintas atau di tempat mereka berteduh (seperti di bawah pokok)."  (Hadis riwayat Muslim)

Peringatan daripada Rasulullah SAW ini menunjukkan betapa Islam amat mementingkan kebersihan alam sekitar. Apatah lagi melibatkan tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang ramai seperti jalan, tempat berteduh, sumber air dan sebagainya. Maka manusia dilarang mengotori tempat-tempat tersebut kerana perbuatan mencemarkannya menjadi punca berlakunya masalah yang menjejaskan ekosistem alam dan juga hubungan kemanusiaan. 

Manusia bukan sahaja dilarang membuang najis di tempat awam, malah perbuatan membuang sampah di tempat awam juga boleh difahami sebagai termasuk dalam cakupan larangan oleh Islam. Sikap ingkar terhadap ketetapan agama mengenai kewajipan menjaga alam sekitar menyebabkan berlakunya bencana alam. Hal ini bukan sahaja menyebabkan harta benda rosak, penyakit mudah menular, malah turut menjadi punca kehilangan nyawa manusia. Kita perlu memperbetulkan keadaan dengan menanamkan sikap lebih cakna terhadap pengurusan alam sekitar. Setiap makhluk di atas bumi ini mempunyai fungsinya yang tersendiri dalam mengatur ekosistem alam semula jadi. Kecuaian manusia dalam mengurus alam sekitar akan merencatkan perjalanan alam mengikut  sunnatullah  (ketetapan Allah) yang wajib dipelihara dan diurus secara hikmah dan bijaksana.

Firman Allah SWT bermaksud:  "Dan bumi ini Kami (Allah) bentangkan dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh terdiri serta Kami tumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu yang tertentu timbangannya."  (Surah al-Hijr, ayat 19)

Penulis pensyarah  Fakulti Bahasa Dan Komunikasi,  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Disiarkan pada: January 11, 2021 @ 6:30am
d