addin

Tahap keyakinan terhadap hadis

Oleh Dr Mohd Khafidz Soroni

Berdasarkan fakta sejarah, hadis tidak dibukukan secara rasmi pada zaman Nabi SAW seperti al-Quran dibukukan. Kebanyakan hadis diriwayatkan secara lisan sehinggalah zaman Khalifah Umar bin Abd al-Aziz (wafat 101H) baru hadis dibukukan secara rasmi. Terdapat jarak tempoh yang jauh di antara zaman Nabi SAW dengan zaman Khalifah Umar ini. Justeru di antara tempoh berkenaan, pelbagai faktor kemungkinan boleh berlaku terhadap periwayatan hadis yang disebabkan oleh kesilapan perawi, kekurangan ingatan perawi, periwayatan hadis secara makna serta kesan kemunculan hadis palsu.

Maka, hanya perawi yang bersifat adil dan benar-benar kuat ingatan sahaja yang dapat dipercayai riwayatnya sebagai tepat. Bagaimanapun, tidak semua mereka memiliki tahap yang sama kerana perbezaan fitrah semula jadi manusia. Oleh itu, perawi yang benar-benar berkualiti dan berkredibiliti pada tahap tertinggi tidak ramai bilangannya. Syu'bah bin al-Hajjaj berkata: "Sekiranya aku tidak meriwayatkan hadis kepada kamu melainkan hanya daripada orang yang thiqah, nescaya aku tak dapat meriwayatkan hadis kepadamu melainkan daripada segelintir orang sahaja." Yahya al-Qattan berkata: "Sekiranya aku tidak meriwayatkan hadis melainkan hanya daripada orang yang aku reda, nescaya aku tidak meriwayatkan hadis melainkan daripada lima orang sahaja atau sekitar itu."

Oleh yang demikian, memadai perawi itu diketahui bersifat adil dan tidak pula melakukan banyak kesilapan dalam meriwayatkannya. Berbuat silap adalah sifat lumrah manusia dan berlaku walau kepada perawi yang paling thiqah sekalipun, namun kesilapan yang sedikit tidak mengurangkan kebolehpercayaan terhadapnya.

Oleh itu, ulama menyatakan, dalam aspek periwayatan hadis memadai dibina atas sangkaan yang berat (zann ghalib) sahaja terhadap kredibiliti perawi yang menyampaikannya dan tidak perlu memastikan sehingga tahap yakin padanya. Maka, daripada aspek ini dan berdasarkan konsep sangka baik (husnuz zann) sesama Muslim, hadis boleh diterima daripadanya. Sebab itu sebahagian ulama seperti Imam Abu Hanifah menerima hadis mursal sebagai hujah meskipun ditolak oleh Imam as-Syafii.

Demikian adalah daripada aspek periwayatan hadis sahaja. Namun, daripada aspek tahap keyakinan terhadap hadis itu sendiri terdapat perbincangan lain di sisi ulama. Tujuannya bagi menentukan garis sempadan akidah dan syarak. Juga sejauh mana penolakan terhadap hadis itu boleh memberi implikasi seseorang itu jatuh kufur atau sekadar fasik.

Bagi membezakannya, hadis umumnya dibahagikan kepada dua iaitu hadis mutawatir dan hadis ahad. Kedudukan hadis mutawatir adalah sama seperti al-Quran iaitu perlu diterima secara yakin. Dalam membicarakannya, ulama usul memberikan kepada hadis mutawatir ini nilai al-'ilm kerana al-'ilm menurut pengertian bahasanya ialah yakin. Justeru, ada juga yang menyebutnya sebagai al-'ilm al-yaqini. Oleh kerana hadis mutawatir ini menghasilkan keyakinan maka sesuailah dijadikan syarat dalam dasar akidah yang memang memerlukan kepada keyakinan yang jazam (sepenuhnya). Oleh itu, orang yang mengingkarinya boleh menjadi kufur.

Kedudukan hadis ahad adalah bersifat kemungkinan besar dan berat pada kepercayaan ia daripada Nabi SAW sahaja, tidak sebagaimana hadis mutawatir. Ulama usul memberikan kepada hadis ahad ini nilai az-zann, dengan erti kata kemungkinan besar (ghalabat az-zann) atau sangkaan yang berat (zann ghalib). Nilai az-zann bukanlah seperti makna bahasanya iaitu prasangka atau sangka-sangkaan, tetapi bermaksud berat pada kepercayaan ia benar daripada Nabi SAW. Namun, bukan diyakini secara qat'ie 100 peratus ia daripada baginda SAW sehingga jatuh kufur orang yang mengingkarinya. Justeru, sesuailah ia dijadikan sempadan syarak. Meskipun orang yang mengingkarinya tidak kufur, namun ia dianggap fasik dan berdosa kerana menolak hadis Nabi SAW yang sabit.

Bagaimanapun, sekiranya hadis ahad itu diiringi bukti sokongan (qara'in) maka ulama berselisih pendapat tentang masalah ini. Adakah ia boleh meningkatkan kedudukannya daripada tahap kemungkinan besar (az-zann) kepada tahap yakin (al-'ilm al-yaqini)? Menurut ramai ulama seperti Ibn as-Solah, Ibn Hajar dan as-Suyuti ia menghasilkan keyakinan. Menurut sebahagian ulama pula seperti Imam al-Haramain dan an-Nawawi, ia tetap menghasilkan az-zann sahaja. Semua perbahasan ini adalah berdasarkan pandangan jumhur ulama. Adapun menurut mazhab Zahiri dan segelintir ahli hadis, hadis ahad menghasilkan keyakinan sama seperti hadis mutawatir. Namun, pandangan mereka adalah lemah.

Perbahasan tahap keyakinan terhadap hadis ini adalah bagi menentukan batasan dasar akidah dan syarak sahaja. Maka, janganlah dicampuradukkan aspek ini dengan aspek kewajipan beramal dengan hadis sahih. Para ulama bersepakat bahawa hadis sahih yang tiada sebarang pertikaian wajib diterima dan diamalkan.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Disiarkan pada: October 10, 2021 @ 6:00am
d