addin

Pendusta agama bertambah

Oleh Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Seringkali kita mendengar tentang mereka yang mengaku sebagai nabi palsu dan mendakwa diri mereka lebih baik dari ilmuan yang lain. Adakah ini merupakan salah satu tanda akhir zaman? 

Mereka yang berdusta atas jalan agama lebih-lebih lagi yang mengakui sebagai nabi palsu ini merupakan salah satu daripada tanda kiamat yang telah berlaku sejak zaman Baginda Nabi SAW lagi. Bermula dengan Abhalah bin Ka'ab bin Ghauts Al Kadzdzab alias Al Aswadi Al Ansi yang berasal dari Yaman dan  Musailamah bin Tsumamah bin Habib Al Kazzab.

Sehingga kini, wujud ramai yang mengaku sebagai nabi palsu di seluruh dunia dan Malaysia juga tidak terlepas dengan mereka yang mengaku nabi palsu dan pada satu ketika mengaku sebagai tuhan. 

Baginda bersabda maksudnya: "Dan sesungguhnya akan muncul dalam kalangan umatku 30 orang pendusta yang kesemuanya mengaku menjadi nabi. Ketahuilah aku adalah nabi terakhir dan tiada lagi nabi selepas aku." (Hadis Riwayat at-Tirmidzi) 

Apakah yang dimaksudkan dengan  dajjalun wa kazzabun?

Terdapat hadis yang menjelaskan akan muncul pada akhir zaman  dajjalun wa kazzabun.  Maksud  dajjalun  adalah ramainya dajjal-dajjal yang merujuk kepada ramainya mereka menutup dan menyembunyikan kebenaran.  Dajjalun di sini bukan merujuk kepada Al-Masih Al-Dajjal yang akan keluar sebagai tanda kiamat besar, namun merujuk kepada manusia yang banyak melakukan pendustaan dan pembohongan kepada agama. Maksud ini selari dengan  kazzabun  yang merujuk kepada penipuan dan pembohongan.

Nabi SAW bersabda maksudnya: "Akan datang pada akhir zaman (kemunculan) dajjal-dajjal para pendusta. Mereka akan datang kepada kalian dengan ucapan yang tidak pernah kalian dengar. Bahkan ayah-ayah kalian juga tidak pernah mendengarnya. Maka jauhilah mereka. Mereka tidak akan menyesatkan kalian mahupun mendatangkan fitnah kepada kalian."   (Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis ini, sekiranya kita mendapati sesuatu yang diungkapkan adalah bertentang dangan al-Quran, hadis, ijmak dan qias, maka tinggalkan dan jauhilah mereka supaya kita tidak tersesat dan menyesatkan. 

Apakah tujuan utama pendusta dan nabi palsu ini?

Ulama menjelaskan pada akhir hayat baginda terdapat beberapa orang yang mengaku nabi palsu dan berterusan selepas kewafatan baginda. Mereka pada asasnya adalah berpura-pura bagi mendapatkan pengaruh dan sokongan orang ramai kemudian bertukar menjadi satu bentuk kepercayaan yang diplopori oleh golongan tersebut.  

Terdapat dua bentuk pendusta, pertama mereka yang sengaja berpura-pura menjadi nabi palsu, kedua mereka mengatakan didatangi oleh satu mimpi yang menabalkan mereka menjadi seorang nabi. Kedua-dua situasi ini telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku dengan situasi lebih membimbangkan.  

Kebanyakan masyarakat yang mempercayai kemunculan nabi palsu ini adalah mereka yang taasub dengan seseorang dan menganggap nabi palsu dapat menyelamatkan mereka. Terdapat juga dalam kalangan mereka yang tersalah pilih jalan untuk taubat dengan mempercayai dan mengikuti nabi palsu tersebut. Peranan besar yang diterapkan oleh pendusta dan nabi palsu ini adalah berbentuk kemudahan dalam mengamalkan ajaran Islam. Mereka tidak perlu solat dan puasa kerana dengan niat sahaja segala amalan telah diterima. Dalam masa sama, mereka juga bebas melakukan apa yang diharamkan seperti zina dan sebagainya. Semua ajaran yang disampaikan oleh pendusta dan nabi palsu ini amat mudah diikuti sehingga bilangan pengikut daripada pelbagai latar profesional semakin ramai dari tahun ke tahun. 

Apakah yang menyebabkan pendusta dan nabi palsu ini mempunyai pengikut yang ramai?

Setiap pendusta yang mengaku sebagai nabi mendakwa memperoleh wahyu daripada Allah mengiktiraf diri mereka lebih mulia daripada yang lain. Dengan fakta dan tutur kata yang indah, mereka telah berjaya mengaburi dan memperdayakan masyarakat awam yang pada satu ketika sangat-sangat memerlukan pengisian dalam agama. Dalam masa sama, mereka juga mempunyai kitab dan menjadi panduan pengikut mereka. Kitab yang direka ini menjadi panduan utama sehingga mengetepikan al-Quran dan sunah. 

Ketaasuban pengikut mereka ini telah melampaui batasan apabila menjadi nabi palsu tersebut sebagai sembahan mereka bertujuan untuk memperolehi sesuatu. Situasi ini menggambarkan satu bentuk kesesatan yang akan diikuti oleh manusia yang ternyata terpesong dari ajaran Islam. 

Siapakah yang menjadi pengikut golongan pendusta dan nabi palsu ini? 

Golongan yang menjadi pengikut setia kepada pendusta dan nabi palsu ini bukan di kalangan orang-orang awam biasa sahaja, bahkan meliputi cerdik pandai, golongan profesional, agamawan dan pemimpin besar. Mereka sedar kepentingan untuk menguasai ilmu agama sebaik yang mungkin, tetapi disebabkan tersalah memilih dan ketaasuban terhadap tawaran yang diberikan, akhirnya tewas dalam pendustaan. 

Hakikatnya, apabila teknologi berkembang, sebaran ilmu tidak terkawal, masyarakat mulai pening, natijahnya berbalik kepada amalan yang paling mudah dan ganjaran yang tidak logik bakal diperoleh. 

Bagaimanakah untuk mengelakkan daripada terperangkap dalam golongan pendusta dan nabi palsu ini? 

Jadilah masyarakat yang berilmu dengan ilmu yang sebenarnya iaitu ilmu yang mempunyai asas yang kukuh dan jelas. Tanpa ilmu ini, pasti manusia akan hilang arah tujuan.  

Allah SWT berfirman maksudnya: "Wahai orang yang beriman, apabila kamu diminta melapangkan tempat duduk kamu untuk orang lain dalam satu majlis, maka lapangkanlah, supaya Allah meluaskan tempat kamu di syurga. Apabila diminta supaya kamu bangun, maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang yang beriman dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan agama dalam kalangan kamu. Dan ingatlah, Allah Amat Mengetahui apa yang kamu lakukan." (Surah al-Mujadalah ayat 11)

Ibn Hajar menyatakan bahawa Allah SWT meninggikan darjat Mukmin yang berilmu berbanding Mukmin yang tidak berilmu. Ketinggian darjat yang dimaksudkan boleh berlaku semasa di dunia dengan cara memperoleh kedudukan yang baik atau di akhirat iaitu kedudukan yang tinggi di syurga.  

Bahkan Mutraf bin Abdullah pernah berkata yang bermaksud: "Aku lebih menyukai kelebihan ilmu berbanding kelebihan ibadah. Sebaik- baik cara kamu beragama ialah sifat warak." 

Apa kaitannya sifat warak dengan ilmu? Kata al-Munawi, orang yang warak sentiasa berhati-hati dan memelihara kebenaran kerana bimbang melanggar perintah Allah SWT. 

Justeru, jadilah masyarakat yang berilmu dan tidak mudah terpedaya dengan kata-kata mereka yang berdusta atas agama, bercakap atas logik tanpa asas dan secara terang-terangan terpesong dari ajaran al-Quran dan as-Sunnah.

Penulis Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Disiarkan pada: February 11, 2022 @ 9:20am
d